Mengapa Anda Cenderung Berasa Mengantuk Selepas Makan?
Lina Rosli
Kebiasaannya waktu yang paling kritikal – lebih-lebih lagi sewaktu lepas makan, anda mungkin akan berasa mengantuk dan menjadi tidak fokus untuk melakukan kerja ataupun tugasan.
Tahukah anda mengapa hal ini boleh berlaku? Mengapa anda cenderung berasa mengantuk selepas makan?
Untuk pengetahuan anda, keadaan mengantuk ini dikenali sebagai postprandial somnolence atau disebut sebagai mengantuk selepas makan – ia berlaku disebabkan oleh koma makanan.

Kesan Koma Makanan Dan Mengapa Ia Menyebabkan Anda Mengantuk?
Secara umumnya, individu yang mengalami keadaan mengantuk selepas makan adalah disebabkan oleh fisiologi asas manusia.
Ini kerana apabila individu makan, kebanyakan darah kita akan pergi ke organ pencernaan untuk memproses makanan. Dan ini menyebabkan tenaga yang telah disimpan di dalam tubuh telah digunakan pada kuantiti yang banyak untuk mencerna makanan.
Jadi, sekiranya anda berasa mengantuk selepas makan, ini sebenarnya situasi biasa yang akan dialami oleh kebanyakan individu.
Selain itu, terdapat beberapa faktor lain yang menyumbang kepada fenomena selepas makan ini, dan terdapat beberapa perkara yang mungkin anda boleh lakukan untuk meminimumkan kesan mengantuk tersebut.
Apa Yang Berlaku Sewaktu Proses Mencerna Makanan?
Untuk mencerna makanan, badan akan memerlukan tenaga untuk bekerja. Dan ini sekaligus menyebabkan tenaga-tenaga yang terkumpul ini perlu diagihkan mengikut keperluan lain – termasuk untuk berjalan atau berlari dan juga bernafas.
Jika anda tanya, dari mana kita mendapat tenaga ini, sudah tentulah daripada makanan dan minuman. Oleh sebab itu, keperluan untuk anda makan dan minum yang secukupnya adalah penting untuk penjanaan tenaga dalam tubuh.

Secara umumnya, makanan dipecahkan kepada bahan api (glukosa) oleh sistem pencernaan kita. Makronutrien seperti protein kemudiannya memberikan kalori (tenaga) kepada badan kita. Lebih daripada sekadar menukar makanan kepada tenaga, kitaran pencernaan kita mencetuskan semua jenis tindak balas dalam badan kita.
Sebagai contoh, hormon seperti cholecystokinin (CCK), glukagon dan amylin dilepaskan untuk meningkatkan rasa kenyang. Kemudian, apabila gula dalam darah meningkat, insulin pula akan dihasilkan untuk membolehkan gula ini pergi dari darah dan ke dalam sel, di mana ia digunakan untuk tenaga.
Sementara itu, terdapat juga hormon yang boleh menyebabkan rasa mengantuk jika paras yang meningkat ditemui di dalam otak. Salah satu hormon tersebut ialah serotonin. Hormon lain yang mendorong tidur adalah melatonin yang dikeluarkan sebagai tindak balas kepada makan.
Jenis-Jenis Makanan Yang Boleh Meningkatkan Rasa Mengantuk Atau Letih
Walaupun semua makanan dicerna dengan cara yang sama, namun ada beberapa jenis makanan yang boleh mempengaruhi tubuh anda sehingga meningkatkan rasa mengantuk. Contohnya, makanan dengan triptofan.
Apa yang dimaksudkan dengan makanan dengan triptofan? Untuk pengetahuan anda, triptofan digunakan oleh badan untuk mencipta serotonin. Seperti yang dinyatakan di atas, serotonin adalah neurotransmitter yang membantu mengawal tidur dan kemungkinan peningkatan pengeluaran serotonin bertanggungjawab dalam membuatkan anda berasa letih selepas makan.
Antara makanan yang mengandungi asid amino triptofan:
- bayam
- bijirin – seperti roti putih, oats dan quinoa
- produk tenusu dan telur – termasuk keju
- ikan – seperti salmon dan tilapia
- daging putih dan daging merah – seperti ayam dan lembu
Makanan lain yang turut boleh meningkatkan rasa mengantuk adalah ceri. Menurut penyelidikan, ceri boleh menjejaskan tahap melatonin, sekaligus menyebabkan lonjakan dan penurunan seterusnya dalam gula darah sehingga memberi kesan kepada tahap tenaga.

Tips Mengelakkan Rasa Mengantuk Selepas Makan
Sekiranya anda berasa letih yang terlalu kerap selepas makan, mungkin ia sesuatu yang perlu dibincangkan dengan doktor anda.
Walau bagaimanapun, jika keletihan ini hanya muncul sekali-sekala, terdapat langkah mudah yang boleh anda ambil untuk membantu mengekalkan tahap tenaga yang optimum.
Tabiat pemakanan dan gaya hidup yang boleh membantu meningkatkan atau mengekalkan tahap tenaga dan mengatasi rasa mengantuk termasuk:
- minum air untuk kekal terhidrat
- mengambil elektrolit yang sesuai
- mengurangkan jumlah makanan yang dimakan pada satu hidangan
- mendapat tidur yang cukup berkualiti
- bersenam secara teratur
- memodulasi penggunaan kafein
- makan makanan yang baik untuk usus, gula dalam darah, paras insulin dan otak – seperti karbohidrat kompleks, serat tinggi dan lemak sihat
- Diet seimbang yang merangkumi makanan seperti sayur-sayuran, bijirin penuh dan ikan berlemak menggalakkan tenaga yang berterusan.
Dan jangan lupa untuk elakkan terlalu banyak gula dalam diet anda. Selain itu, makan makanan yang lebih kecil dan lebih kerap juga boleh membantu mengurangkan rasa mengantuk seperti kekacang dan snek sihat.