Kajian Dapati Berjalan Sekurang-Kurangnya 4,000 Langkah Sehari Boleh Mengurangkan Risiko Kematian Awal
Lina Rosli
Berdasarkan kajian yang dilakukan di Persatuan Kardiologi Eropah, berjalan sekurang-kurangnya 4,000 langkah sehari boleh mengurangkan risiko kematian awal anda dengan ketara, manakala mengambil 2,337 langkah sehari akan mengurangkan risiko kematian yang disebabkan oleh penyakit kardiovaskular.
Sebelum ini, satu kajian dari JAMA Neurology berkenaan dengan amalan berjalan 10,000 langkah setiap hari dikatakan boleh memberikan impak yang baik kepada kesihatan diri kerana ia berupaya mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular seperti serangan jantung, kegagalan pengepaman jantung, strok, kanser dan juga demensia.

Dan ini menunjukkan bahawa lebih banyak langkah anda berjalan, lebih baik kesan pada kesihatan anda, dan setiap peningkatan langkah sekitar 500 hingga 1000 langkah sehari mungkin dikaitkan dengan pengurangan risiko kematian dalam kalangan individu.
Kelebihan Bersenam Dan Berjalan Kepada Individu
Bersenam secara umumnya penting untuk individu kerana ia berfungsi untuk menyelaraskan sistem kardiovaskular, sekaligus memberi manfaat kepada sistem atau keadaan lain di dalam tubuh. Ini termasuk memberikan manfaat dengan:
- Mengekalkan berat badan yang sihat dan mengurangkan lemak badan
- Meningkatkan kecergasan kardiovaskular
- Menguatkan kekuatan tulang dan otot
- Meningkatkan daya tahan otot
- Meningkatkan tahap tenaga
- Meningkatkan suasana hati, kognisi, ingatan dan kualiti tidur
- Tingkatkan keseimbangan dan koordinasi tubuh badan
- Menguatkan sistem imun
- Mengurangkan tekanan dan ketegangan pada otot

Dalam kajian lain juga yang diterbitkan dalam British Journal of Sports Medicine mendapati bahawa melakukan aktiviti menguatkan otot, seperti mengangkat berat dikaitkan dengan 10 hingga 17 peratus risiko lebih rendah kematian yang melibatkan pelbagai faktor termasuk penyakit kardiovaskular, kanser dan diabetes.