Llaollao Bakal Buka 10 Cawangan ChaTraMue Di Malaysia
Lina Rosli
Baru-baru ini, Woodpeckers Group, syarikat induk llaollao Malaysia telah menandatangani perjanjian eksklusif bersama Cha Tai, syarikat pengendali jenama minuman teh ChaTraMue untuk membawa masuk dan membuka francais mereka di Malaysia.
Bagi yang tidak mengetahui, ChaTraMue merupakan jenama teh yang telah beroperasi 75 tahun dan menjadi antara pengeluar “Teh Thai” popular di dalam industri teh.

Menurut ChaTraMue, mereka komited dalam menghasilkan teh berkualiti yang lazat untuk diminum oleh rakyat Thailand dan seluruh dunia yang mana untuk setiap produk mereka akan melalui proses pembuatan yang unik dan mematuhi piawaian sistem pengurusan kilang.
Sehubungan dengan itu, llaollao berkongsi yang mana mereka menjangkakan akan membuka sekitar 8 hingga 10 cawangan ChaTraMue di Malaysia pada tahun ini dan 5 lagi cawangan pada suku pertama tahun 2024.

Tambah llaollao, minuman teh merupakan antara minuman yang sinonim dengan rakyat Malaysia. Oleh itu, mereka melihat potensi besar untuk ChaTraMue diperkenalkan untuk pasaran tempatan sekaligus memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk menikmati rasa jenama teh susu Thai nombor satu ini.
Berdasarkan perkongsian di laman rasmi ChaTraMue, antara lokasi operasi mereka di Malaysia adalah di MyTown KL, IOI City Mall, Pasar Seni KL, Suria Mall Kota Kinabalu dan Bintang Megamall Miri.