Koleksi Merdeka dUCk 2023 Hadir Dengan Rekaan Yang Mengetengahkan Corak Cawan Kopitiam
Lina Rosli
Bersempena sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-66 yang bakal tiba pada hujung bulan Ogos ini, jenama fesyen tempatan dUCk telah melancarkan koleksi edisi terhad yang dinamakan The Malaysia dUCk.
Jenama ini dilihat memperkenalkan barisan tudung baharu yang menampilkan rekaan istimewa pada corak tudung mereka. Apa yang menarik pada rekaan kali ini adalah kehadiran corak yang mengetengahkan budaya dan elemen kedai kopitiam yang sinonim dengan identiti rakyat Malaysia.

Menurut dUCk juga, untuk koleksi Merdeka tahun ini, mereka telah mengambil masa sehingga 600 jam untuk tampil dengan rekaan halus itu yang diinspirasikan dari cawan kopitiam. Ia kemudiannya digabungkan dengan beberapa elemen lain seperti lakaran bangunan Sultan Abdul Samad, rumah kampung kayu, congkak dan segala unsur tradisi yang dicetak pada setiap selendang.

Untuk koleksi The Malaysia dUCk ini, ia hadir dengan pilihan sama ada tudung dan selendang yang diperbuat daripada sutera satin dan didatangkan dalam enam warna, gabungan warna berani dan pastel pada harga RM350 setiap satu.