Coca-Cola, Pepsi, Nescafe Antara Jenama Minuman Yang Paling Bernilai Di Dunia
Lina Rosli
Baru-baru ini menerusi laporan Brand Finance untuk Food 100 telah memperlihatkan sejumlah produk minuman yang paling bernilai di dunia.
Antara minuman yang tersenarai termasuklah Coca-Cola, Pepsi, Red Bull, Monster Energy, Nescafe dan Gatorade dan banyak lagi.
Dan di dalam senarai itu juga, Coca-Cola telah dinamakan sebagai jenama minuman bukan alkohol paling bernilai di dunia mengalahkan sekitar 5,000 jenama yang lain. Laporan itu turut mendedahkan bahawa walaupun Coca-Cola mengalami penurunan 5% dalam nilai jenama. Namun, penggunaan jenama dalam pembangunan produk inovatif, kempen pemasaran berskala besar dan penglibatan digital sedikit sebanyak telah membantu jenama ini mengukuhkan kedudukan di tangga pertama.

Untuk pengetahuan anda, nilai jenama Coca-Cola adalah sebanyak $33.5 bilion iaitu sekitar RM155.81 bilion. Sementara, Pepsi pula di tempat kedua bernilai sekitar $18.3 bilion iaitu mencecah RM85.1 bilion.
Laporan Brand Finance juga mendedahkan bahawa Nespresso ialah jenama minuman bukan alkohol yang paling pesat berkembang dengan nilai jenama meningkat 208% kepada $2.9 bilion. Pertumbuhannya adalah disebabkan oleh lonjakan dalam penggunaan kopi di rumah sejak pandemik dan peningkatan selera pengguna untuk pengalaman premium di rumah.