Haven XR Membawa Peminat Escape Room Ke Dunia Fantasi Sendiri – Bakal Dibuka Kepada Umum Pada Q1 2024

August 29, 2023
Uncategorized

Lina Rosli

Virtual is real.

Jika anda peminat tegar Escape Room, nampaknya anda tidak boleh ketinggalan dalam merasai pengalaman menonton filem serba baharu.

Sim Leisure Group dengan kerjasama Haven XR bakal hadir dengan pawagam serba moden dan canggih yang menampilkan pengalaman menonton filem menerusi teknologi realiti diperluas (extended reality). Berdasarkan perkongsian, pawagam Haven XR ini akan mula dibuka di Malaysia bermula suku pertama tahun 2024.

Bagi yang tidak mengetahui, Haven XR Holdings Pty. Ltd. merupakan pemain industri hiburan Hollywood yang berpangkalan di Australia yang membawakan pengalaman sinematik kepada umum sewaktu menonton wayang.

Bermula pada tahun 2019, HavenXR merupakan syarikat yang pertama di dunia yang telah merevolusikan landskap hiburan. Dan kini dengan kerjasama Sim Leisure Group, perintis dan pengendali taman tema utama di Malaysia bakal menampilkan pawagam yang menggunakan Realiti Maya Berasaskan Lokasi (LBVR) untuk pengalaman yang mengasyikkan yang membolehkan pengunjung untuk mengambil bahagian di dalam filem itu sendiri dan bukan sekadar menjadi penonton.

Menurut Haven XR, di pawagam mereka kelak, mereka akan menampilkan barisan filem yang dihasilkan sendiri (kandungan asli) dan telah memilih The Keeper, sebuah filem seram, sebagai filem pertama yang akan dipaparkan kepada umum.

Untuk pengetahuan anda, setakat ini lokasi untuk pawagam Haven XR ini masih belum dikongsikan lagi. Namun, menurut Sim Leisure Group, mereka akan memfokuskan pembukaan pawagam ini di kawasan Lembah Klang dan akan diperluaskan ke beberapa lokasi lagi di seluruh Malaysia.

Tambah Dato’ Sim Choo Kheng, yang merupakan pengerusi Sim Leisure Group, mereka menjangkakan akan membuka sekitar 10 hingga 20 pawagam ini di Malaysia dan akan memilih pusat membeli-belah utama di Malaysia sebagai tapak untuk pembukaan pawagam ini.

Jika anda ingin menerokai pengalaman menonton filem seakan sebenar menerusi teknologi realiti diperluas ini, Haven XR ini akan dibuka pada tahun 2024, yang mana masa untuk setiap pengalaman ini boleh diperuntukkan selama 20 hingga 30 minit bagi setiap sesi. Dan untuk setiap sesi, hanya 4 individu yang akan berada di dalam satu-satu ruang.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd