Kesan Mendapatkan Rawatan Pergigian Daripada Doktor Gigi Tidak Berdaftar
Lina Rosli
Perkhidmatan pergigian tanpa kebenaran yang ditawarkan doktor gigi haram atau mereka yang menawarkan servis pergigian hanya selepas menonton beberapa video di YouTube, sebenarnya boleh mendatangkan kemudaratan kepada orang yang mendapatkan rawatan daripada mereka.
Isu doktor gigi haram sudah berlarutan bertahun-tahun lamanya. Malah, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menerima lebih banyak laporan dan aduan mengenai doktor palsu.
Dan pada tahun 2017 sahaja, KKM telah menerima 54 laporan dan meningkat ke 130 jumlah aduan pada tahun 2019.
Menurut Profesor Seow yang merupakan Dekan Fakulti Pergigian Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), rawatan pergigian yang diberikan pihak yang tidak berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia (MDC) dan bukan pemegang Sijil Perakuan Pengamalan Tahunan (APC) atau Sijil Perakuan Pengamalan Sementara (TPC) yang sah untuk memberikan rawatan pergigian di Malaysia, adalah dianggap sebagai haram.

Di Manakah Operasi Rawatan Pergigian Tanpa Kebenaran Ini Berlaku?
Doktor gigi haram cenderung terangkum dalam beberapa kategori berbeza. Lazimnya, terdapat golongan doktor gigi haram yang membuka gerai bukan sahaja di pasar malam, tetapi di pasar-pasar pagi juga.
Mereka menawarkan rawatan pergigian kepada pengunjung pasar-pasar ini yang biasanya dalam lingkungan usia pertengahan dan yang lebih berusia. Doktor-doktor palsu ini selalunya menawarkan perkhidmatan menggantikan gigi yang patah pada masa itu juga.
Satu lagi golongan beroperasi di salon-salon kecantikan. Mereka menawarkan perkhidmatan estetik seperti pemutihan gigi dan venir. Berdasarkan pemerhatian, pelanggan mereka terdiri daripada orang yang lebih muda yang selalu mendapatkan perkhidmatan pergigian begitu di salon-salon kecantikan.
Walaupun prosedur-prosedur berkenaan nampak ringkas dan biasa, namun tidak sepatutnya seorang pendandan kecantikan diberikan kepercayaan untuk menjalankan prosedur pergigian.
Ada juga golongan yang menguar-uarkan perkhidmatan mereka di media sosial dan mempunyai klinik sementara di bilik-bilik hotel. Kadang-kadang, mereka turut menawarkan perkhidmatan dari rumah ke rumah. Ramai di kalangan mereka ‘mempelajari’ kemahiran pergigian melalui tontotan video-video di YouTube dan melakukan rawatan seperti memasang pendakap gigi sehinggalah ke prosedur venir.

Mengapa Rawatan Pergigian Daripada Doktor Gigi Tidak Berdaftar Boleh Mendatangkan Kemudaratan?
Faktor utama yang menyebabkan ramai individu mempercayai akan rawatan yang ditawarkan doktor gigi haram ini adalah disebabkan mereka biasanya menawarkan servis yang pantas dan mudah untuk menangani masalah kehilangan gigi.
Hakikatnya apa yang mereka dapat adalah doktor gigi haram yang hanya menyambungkan gigi palsu kepada gigi asal dengan menggunakan dawai atau seumpamanya. Tetapi apa yang mereka tidak sedar adalah gigi palsu tersebut sebenarnya tidak berfungsi dan akan menyebabkan kerosakan seperti gigi mula mereput dan menyebabkan radang kepada gusi dan gigi asal di sebelah gigi palsu itu.
Apakah Perbezaan Antara Proses Rawatan Pergigian Di Klinik Berdaftar Dan Klinik Haram Ini?
Prosedur pemutihan melibatkan pemutihan gigi dengan menggunakan krim atau gel yang mengandungi bahan-bahan kimia seperti hidrogen peroksida atau karbamida peroksida.
Gel tersebut disapu pada permukaan gigi selepas proses menggilap dan penskaleran, di mana keseluruhan proses mengambil masa satu jam ke satu jam setengah. Ia boleh dilakukan di klinik pergigian atau melalui preskripsi (pemutihan di rumah).
Apabila melibatkan doktor gigi berdaftar, rawatan pemutihan di rumah akan dinilai terlebih dahulu di klinik. Kemudian, pesakit dibimbing menggunakan gel pemutih selama beberapa jam di rumah untuk tempoh satu ke tiga minggu dengan cara yang betul. Keseluruhan proses akan dipantau doktor gigi.
Sementara itu, di salon-salon kecantikan pula, individu berisiko menerima gel pemutih yang tidak menepati piawaian dan boleh memudaratkan gigi dan gusi. Tiada proses penilaian yang betul diberikan bagi memastikan gigi sesuai menjalani proses pemutihan. Malah, individu juga mungkin membayar untuk rawatan yang tidak sesuai dengan mereka.

Satu lagi rawatan popular di salon-salon kecantikan adalah venir. Menurut Profesor Seow, venir digunakan dalam beberapa keadaan tertentu yang mana salah satu daripadanya adalah apabila gigi yang kuning tidak sesuai menjalani prosedur pemutihan.
Contohnya, akibat kesan tetrasiklina yang berlaku apabila seorang ibu mengambil antibiotik tetrasiklina semasa hamil, menyusukan anak atau apabila kanak-kanak mengambilnya semasa gigi sekunder dan utama sedang tumbuh. Kesan berwarna hitam kelabu ini tidak boleh dirawat melalui proses pemutihan kerana ianya dari dalam gigi.
Dalam situasi lain pula, venir sesuai digunakan jika gigi tidak rata dan pesakit tidak mahu memakai pendakap gigi, dan ini termasuklah keadaan di mana gigi rosak teruk.
Proses yang terlibat untuk mendapatkan venir termasuklah mengikis nipis struktur gigi dan menampal venir. Proses ini dinamakan venir tidak langsung. Ada juga venir langsung di mana doktor gigi akan menggunakan bahan tampalan berwarna gigi untuk menutupi gigi yang kuning lalu mengubah bentuk dan saiz gigi.
Dengan doktor gigi yang sah, venir jenis tidak langsung dibuat khas dan dihasilkan di makmal pergigian, manakala venir langsung memerlukan kerja tangan yang mahir kerana gigi perlu dibentuk dan digilap dengan betul bagi memastikan ia kelihatan cantik. Memberikan kepercayaan kepada pendandan kecantikan untuk melakukannya seringkali membawa kepada pelanggan mendapat venir yang tidak sepadan hingga menyebabkan gusi bengkak dan berpenyakit.
Bagi prosedur memasang jambatan pergigian bagi mengganti kehilangan gigi, pertama-tama ia melibatkan proses pemangkasan barisan gigi atau gigi bersebelahan yang jarang. Kemudian, acuan gigi yang telah dipangkas dihasilkan.
Acuan ini dihantar ke makmal pergigian yang akan membikin jambatannya. Rawatan oleh doktor gigi haram pula hanya melibatkan pendawaian gigi palsu ke gigi sebelahnya.

Satu lagi rawatan popular yang dicari ramai orang adalah pendakap gigi. Ada dua jenis pendakap gigi iaitu kaedah konvensional menggunakan pendakap dan dawai logam. Kaedah terbaharu menggunakan penjajaran lutsinar. Penjajaran lutsinar sudah berada di dalam pasaran sejak 20 tahun yang lalu dan pesakit diberikan satu set 40 ke 50 penjajaran plastik lutsinar.
Setiap tujuh ke sepuluh hari dalam tempoh satu setengah tahun, penjajaran lutsinar itu akan diganti secara berurutan sehinggalah gigi akan beranjak perlahan-lahan.
Bagaimanakah Cara Untuk Memastikan Doktor Gigi Itu Sah?
Semua doktor gigi perlu berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia. Sijil Perakuan Pengamalan Tahunan (APC) perlu dipamerkan di klinik. Jika tiada sijil atau ia tidak diperbaharui, anda tidak berada di klinik yang betul.
Anda juga perlu memerhatikan lokasi di mana khidmat pergigian ditawarkan. Premis mestilah betul-betul sebuah klinik dan bukannya gerai di tepi jalan, di bilik hotel atau di salon kecantikan.
Selain daripada itu, sentiasa berhati-hati dengan produk murah dalam talian yang menawarkan venir, pendakap gigi dan produk pemutihan gigi palsu. Sama ada ia akan memudaratkan atau bahan-bahan yang digunakan adalah tidak bersesuaian dengan anda.
Kegagalan berjumpa doktor gigi yang betul untuk mendapatkan rawatan pergigian boleh menyebabkan kerosakan gigi dan gusi yang tidak dapat dipulihkan. Doktor gigi haram dan rawatan tipu boleh merosakkan struktur sokongan gigi. Faktor kebersihan dan kurangnya penggunaan peralatan yang betul dalam situasi ini juga menjadi persoalan.