Ini 5 Persoalan Tentang Kiropraktik – Apa Yang Perlu Anda Tahu?
Lina Rosli
Setiap orang mempunyai kaedah merawat penyakit yang tersendiri. Ada yang gemar berjumpa dengan doktor atau pakar untuk mendapatkan khidmat perubatan dan ada juga yang akan berubat menerusi kaedah perubatan tradisional.
Namun, ada individu yang akan juga yang akan mendapatkan rawatan perubatan yang menggabungkan kedua-duanya, moden dan tradisional yang dipanggil perubatan integratif.
Kebiasaannya, perubatan moden diamalkan oleh doktor perubatan dan osteopati (MD atau DO). Sementara perubatan alternatif yang merangkumi tradisional pula dilakukan oleh pihak lain dengan kemahiran tertentu.
Dan yang terkini, kaedah rawatan yang popular dalam kalangan orang muda pada masa kini adalah kiropraktik. Jika anda tidak pernah berjumpa ahli kiropraktor, berikut adalah beberapa maklumat berguna untuk anda:

#1 Mengapa individu berjumpa dengan ahli kiropraktor?
Kebiasaannya, rawatan kiropraktik ini popular dalam kalangan orang dewasa yang lebih muda yang mana skoliosis adalah aduan yang biasa diterima sewaktu di awal peringkat dewasa, manakala bagi pesakit yang lebih tua pula isu yang biasa dialami adalah sakit belakang.
Jika anda perasan, kedua-duanya adalah melibatkan sakit pada bahagian belakang badan, namun kedua-duanya mempunyai gejala dan kesan yang berbeza.
Oleh itu, di pusat rawatan kiropraktik, orang ramai boleh mengetahui isu sakit belakang yang dialami, dan mendapat rawatan yang bersesuaian bagi merawat sakit yang sudah lama dideritai. Ahli kiropraktor boleh membantu menangani masalah yang berlarutan begini dan meningkatkan kesejahteraan keseluruhan.
#2 Bagaimana seorang ahli kiropraktor boleh membantu dan apakah ia sama dengan ahli fisioterapi?
Secara umumnya, rawatan yang ditawarkan ahli kiropraktor adalah yang melibatkan kesakitan muskuloskeletal. Ia termasuklah:
- melakukan penjajaran tulang belakang
- membantu memperbaiki pergerakan
- mengoptimum cara anda melakukan tugasan sehari-hari atau mengubah aturan ruang kerja anda bagi mengurangkan tekanan kepada badan secara keseluruhan
- mencegah kecederaan.
Sementara rawatan yang ditawarkan oleh ahli fisioterapi pula lebih kerap melibatkan pemulihan/rehabilitasi dan latihan. Kedua-dua amalan ini boleh berfungsi bersama bergantung kepada keperluan pesakit.

#3 Tips mencari dan menemui ahli kiropraktor yang boleh dipercayai
Pastikan anda mendapatkan rawatan dari ahli kiropraktor yang berdaftar dan diiktiraf Kementerian Kesihatan Malaysia dan kesemua pengamal berlesen akan disenaraikan di portal rasmi Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementari tidak lama lagi.
#4 Apakah yang akan berlaku dalam sesi kiropraktik?
Ahli kiropraktor akan melakukan penilaian sejarah perubatan yang merangkumi soalan psikososial untuk mengetahui dengan lebih baik tentang kehidupan peribadi dan kerjaya anda yang mungkin memberi kesan kepada kesihatan muskuloskeletal anda.

Anda juga akan diberikan persalinan rawatan dan pakar kiropraktik akan menjalankan pemeriksaan fizikal. Ini termasuklah memerhati cara anda berjalan dan menguji julat pergerakan anda. Mereka juga akan menjalankan beberapa ujian untuk memberi tekanan kepada sendi dan menilainya bagi memastikan jika ada sebarang sekatan.
Berdasarkan pemeriksaan fizikal, kemungkinan punca akan dikenalpasti dan ditangani. Sejarah perubatan anda akan turut diambil kira kerana keadaan kronik tertentu boleh memberi kesan kepada jenis-jenis intervensi.
#5 Apakah persediaan yang perlu dilaksanakan sebelum sesi kiropraktik?
Bawalah apa sahaja yang mempunyai kaitan dengan sejarah perubatan anda seperti ujian darah atau imbasan terkini, yang dapat membantu ahli kiropraktor mencerapnya.
Jumlah sesi rawatan termasuklah kekerapannya bergantung kepada keperluan individu. Dalam keadaan yang teruk, seperti selepas kemalangan atau kecederaan sukan, matlamatnya adalah pemulihan. Oleh itu, sesi rawatan adalah lebih kerap. Sesi-sesi rawatan orang lain mungkin berjarak dalam tempoh waktu yang lebih panjang.