Industri Kopi Global Menyumbang Lebih 20 Juta Tan Sisa Setiap Tahun
Lina Rosli
Pada masa kini, kopi telah menjadi satu budaya yang tidak hanya dipraktikkan di bandar, tetapi juga di kawasan luar bandar. Secara umumnya, kopi telah memainkan peranan penting dalam membentuk dan mengubah pelbagai budaya meminum minuman panas di serata pelusuk dunia.
Lebih dikenali sebagai ‘kopi’ di Malaysia, minuman ini telah banyak bervariasi dengan perubahan semasa, bermula dengan sekadar secawan kopi hitam di warung tepi jalan, sehingga ke secawan kopi panas di kedai kopitiam dan kini popular dengan secangkir kopi kisar bersama ais di kafe-kafe hipster.
Dengan kehadiran variasi jenis kopi ini, ia secara tidak langsung menunjukkan bahawa rakyat Malaysia sememangnya menggemari kopi.

Untuk pengetahuan anda, secara purata rakyat Malaysia mendapatkan 2.5 cawan kopi setiap hari. Sementara secara global, ia memperlihatkan lebih 2.25 bilion cawan kopi telah diguna-pakai setiap hari.
Dan dengan kekerapan individu membeli dan meminum kopi ini, industri kopi global mempercayai bahawa kopi telah menjana lebih 20 juta tan sisa setiap tahun. Ini terdiri daripada pulpa kopi kepada serbuk kopi terpakai kepada cawan sekali guna.
Kesan Secawan Kopi Kepada Alam Sekitar?
Untuk pengetahuan anda, kadar penggunaan kopi telah meningkat – lebih daripada 60 peratus sejak tahun 1990-an yang mana perkara ini berlaku di seluruh dunia, lebih-lebih lagi di wilayah pengeluaran biji kopi.
Dan hanya kira-kira 22 peratus daripada jisim kopi yang anda panggang dilarutkan dalam air apabila anda membancuhnya. Maka tidak hairanlah mengapa kopi ini boleh menyumbang kepada jumlah sisa buangan yang banyak setiap tahun.
Menurut pakar, kebanyakan jisim kopi adalah sisa, dan tidak banyak yang boleh dilakukan kerana profil rasa yang betul adalah keutamaan. Dan ia tidak boleh diguna semula selepas ia diekstrak dan dibancuh.

Purata cawan kopi mengandungi kira-kira 18g serbuk kopi, jadi 1 kg daripadanya boleh membuat sekitar 56 espresso. Dan satu espreso mempunyai purata jejak karbon kira-kira 0.28 kg, tetapi ia boleh menjadi sekecil 0.06 kg jika ditanam secara mampan.
Apabila ditambah dengan susu pula, latte mempunyai jejak karbon kira-kira 0.55 kg, diikuti oleh cappuccino 0.41 kg dan flat white 0.34 kg. Tetapi apabila kopi dihasilkan secara mampan, nilai ini masing-masing jatuh kepada 0.33 kg, 0.2 kg dan 0.13 kg. Menggunakan alternatif susu bukan tenusu adalah salah satu cara untuk menjadikan kopi putih lebih lestari.
Terdapat banyak cara lain untuk mengecilkan jejak karbon kopi seperti:
- menggantikan baja kimia dengan sisa organik
- menggunakan tenaga boleh diperbaharui untuk menggerakkan peralatan ladang
- memanggang biji kopi di negara asal mereka menjadikannya lebih ringan sewaktu pengangkutan, jadi kapal boleh membakar lebih sedikit bahan api yang mengangkut jumlah kopi yang sama