Adakah Anda Mendapatkan Ubat Batuk Yang Betul – Untuk Kelegaan Tekak?
Lina Rosli
Batuk yang berlarutan sama ada disebabkan oleh selsema atau keadaan lain boleh menjadi sesuatu yang tidak selesa bagi kebanyakan individu.
Kebiasaannya, batuk boleh disebabkan oleh pelbagai penyakit seperti selsema, alahan, dan jangkitan saluran pernafasan atas (URTI). Dan tidak sekadar itu, batuk juga berfungsi sebagai mekanisme refleks semula jadi badan untuk membersihkan perengsa seperti habuk, asap, dan lendir dari saluran pernafasan.
Jadinya, jika tidak dirawat dengan betul, batuk boleh berlaku secara berterusan dan mengganggu aktiviti seharian individu.

Bagaimana Cara Yang Betul Untuk Merawat Batuk?
Dalam kes sedemikian, ubat batuk sering digunakan oleh individu kerana merupakan medium yang mudah dan pantas dalam memberikan kelegaan dan memendekkan tempoh pemulihan.
Walau bagaimanapun, disebabkan banyak jenis ubat batuk yang ditawarkan di pasaran, anda mungkin akan mempunyai kesukaran untuk mencari ubat batu yang bersesuaian dengan keperluan anda.
Bagaimanakah cara untuk memilih ubat batuk yang terbaik dan sesuai untuk keadaan anda? Jawapannya adalah dengan memahami sifat dan jenis batuk yang anda alami.
Bergantung kepada tempoh batuk anda, ia boleh menjadi akut jika ia berlangsung sekitar 2-3 minggu atau ia boleh menjadi kronik jika ia bertahan lebih lama daripada 3 minggu yang boleh disebabkan oleh keadaan seperti asma, bronkitis kronik, alahan, paru-paru obstruktif kronik dan lain-lain.
Secara lebih khusus, batuk boleh dikategorikan secara meluas kepada dua jenis iaitu untuk batuk kering dan batuk basah atau berkahak.
- Batuk kering: Batuk jenis ini selalunya disertai dengan rasa gatal atau merengsa di tekak, namun ia tidak mengeluarkan sebarang lendir. Jika anda mengalami batuk ini, anda akan mendapati ia akan mengganggu saluran pernafasan. Faktor yang menyebabkan batuk kering adalah termasuk – alahan, sinusitis, asma, batuk yang disebabkan oleh GERD atau ACEI (ubat yang digunakan untuk merawat hipertensi).
- Batuk basah (batuk berkahak): Dicirikan sebagai batuk yang mengeluarkan lendir atau kahak dan mungkin disertai dengan bunyi berdehit. Batuk basah biasanya membantu mengeluarkan lendir berlebihan dari saluran pernafasan dan paru-paru, menghalang pembentukan yang boleh menjejaskan pernafasan. Ia sering berlaku dalam jangkitan pernafasan seperti bronkitis, radang paru-paru dan selesema.

Tips Untuk Memilih Ubat Yang Betul
Dalam satu laman perubatan, Doc2Us telah berkongsi kepada umum tentang tips pemilihan ubat batuk yang betul.
Untuk pengetahuan anda, ubat batuk biasanya mengandungi satu atau lebih bahan aktif yang membantu untuk merawat dan memberikan kelegaan pada tekak anda:
- Antitusif: Dikenali sebagai penahan batuk, antitusif menyekat refleks batuk dengan mengurangkan aktiviti di bahagian otak yang menyebabkan batuk. Contoh antitusif yang boleh didapati di Malaysia ialah Dextromethorphan (Cough-en linctus, Pharmaniaga Dextromethorphan)
- Ekspektoran: Berfungsi dalam mengurangkan kepekatan lendir, yang seterusnya membantu individu mengeluarkan kahak dan sekaligus membersihkan saluran pernafasan. Contoh ubat batuk bagi jenis ini adalah Guaiphenesin (Breacol), Ammonium klorida (Bena ekspektoran, Uphadyl forte)
- Agen mukolitik: Ubat ini juga membantu mengeluarkan lendir dan melancarkan saluran pernafasan. Contoh ubat adalah seperti Acetylcysteine (Fluimucil), Carbocistein (Pabron), Bromhexine (Bislan), Ambroxol (Mucosolvan)
- Dekongestan: Membantu melegakan saluran pernafasan dengan cara membersihkan hidung tersumbat melalui pengurangan pengeluaran lendir. Contoh ubat adalah seperti Pseudoephedrine (Mendicof, Cough-en linctus, Sedilix dm linctus)
- Antihistamin: Bahan ini bertindak baik dalam melegakan batuk yang berkaitan dengan alahan atau titisan postnasal dengan gejala termasuk hidung berair atau bersin kerana ia mengeringkan rembesan daripada membran mukus. Ia sering digabungkan dengan bahan aktif lain dalam sirap batuk seperti dekongestan, ekspektoran, atau antihistamin lain bergantung pada jenis produk. Dan ubat antihistamin ini sering menyebabkan risiko lain seperti meningkatkan rasa mengantuk. Contoh ubat adalah Diphenhydramine (Pharmaniaga, Bena Expectorant).