Kajian Dapati Terdapat Perkaitan Antara Kehilangan Pendengaran Dengan Jangka Hayat Individu

January 8, 2024
Kesihatan

Lina Rosli

Sebelum ini, WHO telahpun menyatakan bahawa kira-kira 1 bilion individu yang berusia 12 hingga 35 tahun dikatakan berisiko mengalami masalah kehilangan pendengaran.

Menurut WHO, perkara ini mungkin disebabkan oleh penggunaan peranti audio peribadi yang tidak selamat dan pendedahan kepada tahap bunyi yang kuat di tempat seperti kelab malam, bar, konsert dan acara sukan untuk tempoh yang panjang.

Dalam satu kajian yang diterbitkan di dalam jurnal BMJ Global Health, kesan audio terhadap pendengaran ini berkait rapat dengan telefon, muzik dan televisyen yang mana ia menjadi satu perkara biasa bagi golongan remaja ataupun dewasa muda untuk mendengar audio terlalu kuat dan terlalu lama.

Oleh itu, kini boleh dikatakan ramai individu yang mula mendapatkan rawatan pendengaran dengan cara memakai alat bantu pendengaran.

Tahukah anda, dalam jurnal The Lancet Health Longetivity, pakar menyatakan bahawa rawatan untuk pendengaran boleh mengurangkan 24% risiko kematian dalam kalangan individu yang mempunyai masalah pendengaran.

Kajian itu melihat data sekitar 10,000 orang dan lebih daripada 1,800 daripadanya dikenal pasti mengalami kehilangan pendengaran. Sebanyak 237 daripada mereka yang mengalami kehilangan pendengaran dilaporkan menggunakan alat bantuan pendengaran sekurang-kurangnya sekali seminggu, manakala 1,483 dilaporkan tidak pernah menggunakan alat pendengaran, menurut penyelidikan itu.

Hasil dapatan kajian menunjukkan bahawa alat bantu pendengaran boleh menjadi cara yang kos efektif untuk mengurangkan kesan kehilangan pendengaran pada demensia.

Malah, dalam jurnal itu juga menyatakan tiada perbezaan dalam risiko kematian sepanjang tempoh penyelidikan antara individu yang menggunakan alat bantu pendengaran sekali-sekala dan mereka yang tidak pernah memakainya.

Terdapat beberapa hipotesis tentang mengapa kaitan antara alat bantu pendengaran dan umur yang panjang ini wujud.

Yang pertama, kajian menunjukkan hubungan antara kehilangan pendengaran dan gaya hidup, dan terdapat bukti bahawa kehilangan pendengaran yang tidak dirawat boleh menjejaskan pengasingan sosial dan penurunan dalam aktiviti fizikal dan fungsi kognitif.

Selain itu, kehilangan pendengaran juga boleh menyebabkan risiko individu tidak dapat bunyi yang mencukupi – boleh memberi kesan negatif terhadap struktur otak.

Oleh itu, risiko kematian akan menjadi lebih rendah sekiranya pengguna menggunakan alat bantu pendengaran. Kesan ini mengambil kira faktor seperti umur, etnik, pendapatan, pendidikan, sejarah perubatan dan tahap kehilangan pendengaran.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd