Apakah Punca Yang Menyebabkan Tanda Regangan Pada Kulit?
Lina Rosli
Stretch mark atau turut dikenali sebagai tanda regang adalah keadaan di mana pada kulit anda kelihatan parut seperti coretan berlekuk. Tanda regang ini biasa terdapat di sekitar perut, pinggul, punggung, payudara dan peha – yang mana kesemua tanda regangan berbeza-beza dalam warna, saiz dan tekstur.
Bagaimana tanda regangan ini boleh berlaku? Untuk pengetahuan anda, tanda regangan ini muncul apabila kawasan dalam kulit menjadi rosak atau menipis di bawah tekanan regangan.
Apabila kolagen yang merupakan bahan binaan kulit berkurangan atau rosak di kawasan tertentu – hasilnya kulit anda akan kelihatan atropik atau nipis sehingga boleh mengakibatkan koyak di dermis.

Sebelum tanda regangan atau stretch mark mula timbul, kulit boleh kelihatan menipis dan mula bertukar merah jambu. Individu juga boleh berasa rengsa atau gatal. Apabila tanda itu berkembang, ia akan mula kelihatan sebagai jalur berkedut, timbul yang biasanya berwarna merah jambu, merah, ungu, biru atau coklat, bergantung pada warna kulit.
Lama kelamaan, coretan ini menjadi rata dan pudar menjadi warna putih-perak. Proses ini selalunya mengambil masa bertahun-tahun.
Apakah Punca Yang Menyebabkan Tanda Regangan Muncul?
Berikut adalah beberapa punca utama yang menyebabkan stretch mark:
- Pertambahan berat badan yang cepat – Proses menambah berat badan yang banyak dalam masa yang agak singkat boleh mengakibatkan kesan regangan pada kulit.
- Kehamilan: Antara 50 peratus hingga 90 peratus wanita yang hamil berpotensi untuk mengalami kesan regangan atau stretch mark – semasa atau selepas kelahiran.
- Akil baligh dan lonjakan pertumbuhan – Pertumbuhan pesat dan penambahan berat badan agak sewaktu melalui akil baligh boleh membawa kepada stretch mark.
- Pertumbuhan otot yang mendadak dan pesat: Individu yang merancang untuk membina jisim otot lebih terdedah kepada tanda regangan.

Harus diingatkan, tanda regangan muncul apabila badan atau kawasan tertentu badan tumbuh dengan cepat sehingga kulit tidak dapat menghasilkan kolagen yang mencukupi untuk bersaing dengan pertumbuhan ini.
Kadar regangan kulit yang dipercepatkan ini menyebabkan kolagen dan elastin yang juga merupakan gentian yang menyokong keanjalan kulit pecah. Apabila gentian pecah itu sembuh, parut mungkin muncul dalam bentuk tanda regangan.