Hyatt Place KL Membenarkan Pelanggan Menginap Di Hotel Bersama Haiwan Peliharaan

June 27, 2024
destinasi

Lina Rosli

Bagi anda yang mencari hotel yang membenarkan anda membawa masuk haiwan peliharaan di bilik hotel, nampaknya anda boleh menambah Hyatt Place Kuala Lumpur Bukit Jalil ke dalam senarai.

Ini kerana Hyatt Place Kuala Lumpur kini mengeluarkan polisi mesra haiwan – yang mana anda boleh menempah bilik hotel dan membawa haiwan peliharaan untuk bercuti sekali bersama anda. Namun, polisi ini hanya dibenarkan untuk haiwan peliharaan seperti kucing, arnab, ikan, hamster dan lain-lain.

Hyatt Place Kuala Lumpur Bukit Jalil menyatakan anjing tidak termasuk di dalam senarai haiwan yang boleh dibawa di dalam kawasan penginapan.

Menurut Hyatt Place Kuala Lumpur, mereka memahami akan situasi pemilik haiwan yang mempunyai keterikatan emosi bersama haiwan kesayangan mereka. Jadi, dengan adanya polisi mesra haiwan ini, para pemilik haiwan bukan sahaja tidak perlu risau akan keadaan haiwan mereka ketika bercuti, tetapi juga turut menyediakan ruang yang kondusif sepanjang percutian.

Walau bagaimanapun, Hyatt Place turut menegaskan terdapat garis panduan yang perlu dipatuhi oleh para pemilik haiwan peliharaan ini sebelum menempah bilik di Hyatt Place. Ini termasuk:

  • Hanya haiwan peliharaan yang telah dilatih di rumah (tidak liar) dengan berat bawah 9kg sahaja yang dibenarkan. Anjing dan binatang liar adalah haiwan yang dilarang dibawa masuk ke dalam bilik dan juga di kawasan sekitar.
  • Haiwan peliharaan yang dibawa juga tidak boleh dibawa dan dilepaskan di kawasan umum seperti di lobi, restoran, kolam renang dan juga ruang koridor bilik.
  • Bagi pemilik haiwan yang ingin membawa haiwan peliharaan sewaktu bercuti, tempahan bilik perlu dilakukan sekurang-kurangnya 3 hari sebelum – ini bermaksud tempahan bilik di kaunter pendaftaran (walk-in) adalah tidak dibenarkan.

Ketiga-tiga garis panduang ini perlu dipatuhi bagi memastikan keselesaan pengunjung yang lain selain memberikan pengalaman percutian yang lebih lancar untuk pemilik haiwan peliharaan. Tambah Hyatt Place Kuala Lumpur juga, kesemua pemilik haiwan ini akan ditempatkan di aras bilik yang tersendiri. Ini sekaligus mengurangkan risiko gangguan kepada para pengunjung sedia ada.

Bukan itu sahaja, Hyatt Place Kuala Lumpur turut akan mengenakan caj sekali bayar untuk pembersihan bilik – bergantung kepada jumlah hari anda menginap.

  • Caj sebanyak RM400+ untuk tempoh penginapan 1 hingga 7 hari
  • Caj sebanyak RM600+ untuk tempoh penginapan 8 hingga 14 hari
  • Caj sebanyak RM800+ untuk tempoh penginapan 15 hingga 21 hari
  • Caj sebanyak RM1000+ untuk tempoh penginapan 22 hingga 30 hari

Untuk pengetahuan anda juga, buat masa ini, Hyatt Place Kuala Lumpur tidak menyediakan kelengkapan untuk keperluan haiwan peliharaan anda seperti:

  • Makanan dan minuman haiwan peliharaan
  • Tempat najis haiwan peliharaan
  • Alat mainan dan lain-lain keperluan

Namun, di kawasan sekitar hotel ini, terdapat klinik haiwan dan juga kedai keperluan haiwan yang boleh dikunjungi.

  • Veterinary Clinik & Surgery – kira-kira lima minit perjalanan menaiki kereta
  • Hyper Pets – terletak berhadapan dengan bangunan Hyatt Place Kuala Lumpur Bukit Jalil

Bagi anda yang berminat untuk menempah penginapan di Hyatt Place Kuala Lumpur Bukit Jalil bersama haiwan peliharaan, anda boleh layari laman rasmi hyattplacekualalumpurbukitjalil.com atau hubungi mereka di emel [email protected] atau talian +60 3 9764 9888.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd