ZUS Coffee Kini Mempunyai Hampir 500 Cawangan Kedai Kopi Di Seluruh Malaysia

July 25, 2024
syarikat

Lina Rosli

Pada tahun 2024 ini, nampaknya ZUS Coffee sudah menandakan kejayaan mereka menjadi antara jenama kopi yang pantas mengembangkan penawaran mereka keseluruh Malaysia – kini turut mula memperluaskan jenama ke pasaran Filipina.

Berdasarkan perkongsian Venon Tian, yang merupakan Ketua Pegawai Operasi ZUS Coffee, mereka juga dalam perancangan untuk membawa jenama ini ke 3 lagi pasaran baharu iaitu Singapura, Brunei dan juga Pakistan.

Bermula dengan pembukaan cawangan pertama ZUS Coffee di Binjai 8 Condominium Kuala Lumpur pada tahun 2020, jenama ini telah berjaya membuka lebih 497 cawangan yang boleh diakses di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

Selari dengan perkembangan dan perluasan jenama, ZUS kini tidak hanya memfokuskan kepada penjualan di kedai kopi mereka sahaja, tetapi juga mula menawarkan beberapa produk lain minuman dalam botol dan yang terbaru adalah minuman yang sedia bancuh, minuman sedia minum dalam tin, snek dan juga beberapa aksesori eksklusif ZUS Coffee.

Sepanjang beroperasi selama 4 tahun ini juga, ZUS Coffee kini telah berjaya menyediakan dan menghantar sekitar 72,827,297 cawan minuman kepada ZUSsies. Ini sekaligus menjadikan misi mereka dalam menyampaikan kopi istimewa sebagai keperluan harian untuk semua nikmati telahpun tercapai.

Dan antara penawaran minuman yang paling memberi impak kepada kuantiti jualan mereka termasuklah ZUS Buttercreme yang berjaya terjual hampir lebih 500,000 cawan dan juga ZUS Kopi Cham yang terjual lebih dari 200,000 cawan.

Terbaru, ZUS Coffee nampaknya mula hadir dengan variasi yang lebih banyak untuk siri kopi mereka menerusi pengenalan siri Cham Latte. Siri ini menggabungkan rasa unik teh dan juga kopi dalam satu cawan. Menggunakan daun teh yang berkualiti, ZUS Coffee hadir dengan perisa kopi yang digemari ramai iaitu teh Jasmin dan juga teh Oolong.

Bagi anda yang belum pernah mencuba kopi dari ZUS Coffee, mula lakukan pesanan hari ini sama ada pembelian terus di kedai fizikal ataupun secara atas-talian menerusi aplikasi ZUS Coffee, GrabFood, FoodPanda dan ShopeeFood.

Muat-turun: Aplikasi ZUS di App Store atau Play Store

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd