Rasai Hidangan Yang Menggabungkan Tradisi Dan Inovasi Di Kuang’s, Hyatt Place Kuala Lumpur Bukit Jalil
Lina Rosli
Bersiaplah untuk merasai gabungan sempurna antara tradisi dan inovasi yang ditawarkan oleh Kuang’s di Hyatt Place Kuala Lumpur Bukit Jalil – gabungan bersama JPteres , Grand Hyatt Kuala Lumpur. Mereka memperkenalkan menu baharu yang penuh mengetengahkan hidangan Malaysia yang tulen bagi meraikan kelazatan kuliner dari negara ini.

Dengan suasana yang hangat dan mesra, ditambah dengan pemandangan panorama dari lantai ke siling, Kuang’s menawarkan pengalaman makan yang menggabungkan keselesaan dengan kemewahan. Sama ada untuk makan tengah hari perniagaan atau hidangan santai, suasana di sini direka untuk meningkatkan setiap detik yang anda lalui.
Pada bulan Ogos ini, citarasa terkenal JPteres hadir di Kuang’s, membawa bersama warisan penyediaan yang teliti dan hubungan mendalam dengan akar kuliner Malaysia.

Antara hidangan utama yang ditawarkan adalah JPteres Signature Chicken Rice, kegemaran yang tidak lapuk dek zaman sejak 2012. Hidangan ini disediakan dengan proses harian selama 15 jam yang menyuntik setiap suapan dengan aroma halia Bentong dan lemak ayam yang kaya.

Satu lagi hidangan istimewa yang dibawakan adalah Aunty Anne’s Mutton Varuval, resipi keluarga Mr. Bennett Peter, Pengurus Besar Hyatt Place Kuala Lumpur. Hidangan ini mencerminkan intipati tradisi, menyajikan rasa yang dekat di hati.

Selain itu, mereka turut menawarkan menu lain seperti Special Beef Rendang dan Vegetarian Plant-Based Meat Curry yang penuh rasa, memastikan ada sesuatu untuk memuaskan setiap selera.
Bagi yang berminat untuk mencuba, menu ini tersedia setiap hari dari jam 12.00 tengahari hingga 3.00 petang di Kuang’s dengan harga sekitar RM38 untuk setiap hidangan. Jangan lepaskan peluang unik ini untuk memulakan perjalanan kuliner melalui Malaysia, di mana setiap suapan menceritakan kisah warisan, rasa, dan seni makan moden.