Mengapa Kulit Masih Boleh Menjadi Gelap Walaupun Menggunakan Pelindung Matahari?
Lina Rosli
Penggunaan pelindung matahari (sunscreen) sering dianggap sebagai langkah utama untuk melindungi kulit daripada kesan buruk sinaran UV, termasuk kulit terbakar dan penuaan pramatang.
Namun, ramai yang mungkin tertanya-tanya mengapa kulit mereka masih boleh menjadi gelap walaupun telah menggunakan pelindung matahari dengan SPF tinggi. Mari kita fahami sebab-sebab di sebalik masalah ini.
Bagaimana Pelindung Matahari Berfungsi?
Secara umumnya, pelindung matahari berfungsi sebagai medium yang menyekat atau menyerap radiasi UV. Terdapat beberapa pilihan pelindung matahari yang ada di pasaran, iaitu sama ada pelindung matahari jenis semburan, jenis krim dan juga jenis gel.
Bagi kesemua produk pelindung matahari, ia mengandungi bahan-bahan penting dalam memastikan kulit individu dilindungi.
Selain dari pilihan tekstur, pelindung matahari juga dibahagikan kepada dua kategori – pelindung matahari mineral seperti zink oksida atau titanium dioksida memantulkan sinaran UV, manakala pelindung matahari kimia menggunakan bahan seperti avobenzone dan oxybenzone untuk menyerap sinaran sebelum ia menembusi kulit.

Mengapa Kulit Masih Menjadi Gelap Walaupun Telah Memakai Pelindung Matahari?
Walaupun pelindung matahari membantu mengurangkan risiko kulit terbakar, ia tidak memberikan perlindungan 100% terhadap sinaran UV.
Untuk pengetahuan, antara faktor utama yang menjadikan kulit anda masih lagi gelap walaupun selepas memakai pelindung matahari termasuklah:
#1 Kuantiti Pelindung Matahari Yang Dipakai Tidak Mencukupi
Ramai dalam kalangan individu tidak menggunakan pelindung matahari dengan jumlah yang mencukupi. Untuk perlindungan yang optimum, anda disarankan untuk menggunakan kira-kira dua sudu (bersamaan dengan dua jari) pelindung matahari untuk seluruh muka. Anda juga perlu memakai pelindung matahari pada bahagian yang sering diabaikan seperti telinga, leher dan kaki.
#2 Tidak Melapiskan Semula Pelindung Matahari Selepas Beberapa Jam
Pelindung matahari perlu disapu semula setiap dua jam, terutama jika anda berpeluh atau berenang. Ini kerana pelindung matahari boleh hilang kesannya apabila terdedah kepada air atau peluh sekaligus menyebabkan kulit terdedah kepada sinaran UV.

#3 Nilai SPF Yang Tidak Cukup Tinggi
SPF (Sun Protection Factor) menunjukkan tahap perlindungan terhadap sinaran UVB, yang merupakan penyebab utama kulit terbakar. Walau bagaimanapun, tiada pelindung matahari yang dapat menyekat semua sinaran UV.
Misalnya, SPF 30 hanya menghalang kira-kira 97% sinaran UVB, bermakna kulit anda masih terdedah kepada 3% sinaran yang boleh menyebabkan kulit menjadi gelap.
#4 Pendedahan Berpanjangan
Walaupun anda telah menggunakan pelindung matahari, pendedahan yang berpanjangan kepada sinaran matahari terutamanya pada waktu tengah hari boleh meningkatkan risiko kulit menjadi gelap. Ini kerana jumlah sinaran UV yang diterima oleh kulit akan meningkat dengan tempoh pendedahan.
#5 Penggunaan Produk yang Tidak Sesuai
Mencampurkan pelindung matahari dengan produk lain seperti minyak atau losyen boleh mengurangkan keberkesanannya. Pastikan pelindung matahari adalah langkah terakhir dalam rutin penjagaan kulit anda sebelum anda terdedah kepada matahari.
Harus diingatkan, pelindung matahari adalah alat yang sangat penting dalam melindungi kulit daripada sinaran UV yang berbahaya, namun ia bukanlah perisai sempurna.
Untuk mengurangkan risiko kulit menjadi gelap, pastikan anda menggunakan pelindung matahari dengan betul, memilih SPF yang sesuai dan meminimumkan pendedahan kepada matahari lebih-lebih lagi pada waktu panas. Ingatlah bahawa kesedaran dan penggunaan pelindung matahari secara berterusan adalah kunci kepada kulit yang sihat dan terlindung.