Festival Tidur IKEA Mengajak Individu Untuk Memberi Keutamaan Kepada Tidur Berkualiti – Berlangsung Mulai 7 September

August 29, 2024
Gaya Hidup

Lina Rosli

Bermula 7 September, IKEA, jenama perabot dan kelengkapa rumah terkemuka ini hadir dengan sebuah acara yang mengajak orang ramai untuk memberi keutamaan kepada kualiti tidur – menerusi Festival Tidur IKEA 2024.

Untuk pengetahuan anda, Festival Tidur IKEA ini akan diadakan di semua gedung IKEA di seluruh Malaysia. Ia menampilkan pelbagai aktiviti menarik – yang juga mengutamakan pengalaman tidur yang berkualiti untuk semua.

Menurut IKEA, tujuan utama acara ini diperkenalkan adalah kerana sekitar 1 daripada 3 rakyat Malaysia mengatakan bahawa kunci utama kesejahteraan mental adalah bermula di rumah.

Dalam satu kajian yang dilakukan oleh Asian Journal of Medicine and Health Science, ia menyatakan bahawa 9 daripada 10 rakyat Malaysia mengalami insomnia dan 50% daripada golongan professional dan yang bekerja mendedahkan bahawa mereka tidak mendapat sekurang-kurangnya tidur minimum 7 jam sehari

Oleh yang demikian, untuk memastikan kesejahteraan bersama, IKEA hadir dengan inisiatif ini untuk memastikan semua individu dapat menumpukan perhatian mereka kepada kualiti kehidupan dan buang tabiat pengabaian tidur dengan kerap.

Antara aktiviti yang ditawarkan menerusi Festival Tidur IKEA ini termasuklah:

  • Bersantai dengan set akustik ala mimpi – Nikmati suasana tenang dengan muzik akustik daripada artis tempatan kegemaran anda seperti Zee Avi, Alena Murang dan Ezra Kairo setiap hujung minggu di IKEA.
  • Kuasai seni tidur – Sertai bengkel tidur dan pelajari petua-petua tidur berkualiti daripada pakar tidur IKEA yang mesra dan berpengalaman.
  • Tidur Seperti Pro – Cabar diri dalam pertandingan tidur siang setiap dua minggu dan lihat secepat mana anda boleh terlelap.
  • Tidur dengan selesa, tebus ganjaran – Kunjungi cawangan IKEA berdekatan dengan pakaian tidur paling selesa anda sebagai menyokong aktiviti tidur ini dan tebus sarapan nasi lemak percuma di IKEA.

Bagi anda yang ingin menerokai pengalaman tidur yang menyeronokkan ini, acara Festival Tidur IKEA ini bakal berlangusng selama sekitar tiga minggu iaitu bermula 7-29 September 2024 di cawangan IKEA Batu Kawan, IKEA Tebrau, IKEA Cheras dan juga IKEA Damansara.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd