Apa Itu Sourdough? Apa Beza Sourdough Dengan Roti Biasa?

September 26, 2024
fakta menarik

Lina Rosli

Jika anda ke mana-mana kafe atau kedai kopi moden, anda pasti pernah melihat roti yang dibiarkan di luar atau digantung di mana-mana ruang – roti itu mempunyai saiz yang besar dan mempunyai warna yang kusam.

Bagi yang tidak mengetahui, sourdough merupakan sejenis roti yang dihasilkan melalui proses fermentasi semula jadi. Untuk menyediakan sourdough, anda perlu menggunakan bahan-bahan seperti campuran tepung dan air selain turut perlu menambah starter sourdough. Menggunakan starter ini, ia membantu anda mengembangkan doh.

Apakah Perbezaan Sourdough dan Roti?

Secara umumnya, perbezaan utama bagi sourdough dan roti ini adalah dari segi proses pembuatannya yang mana sourdough adalah lebih kompleks untuk disediakan jika dibandingkan dengan roti biasa.

Untuk sourdough, anda biasanya menggunakan yis yang berbeza daripada yis komersial, dan ia akan mengambil masa yang lebih lama untuk diperam dan dibiarkan ia kembang. Dengan ini, ia akan menghasilkan tekstur yang unik.

Dari segi tekstur, sourdough mempunyai kerak yang rangup dan bahagian dalam yang kenyal. Ketika anda menggigit sourdough, anda akan merasai kombinasi yang sempurna antara kelembutan dan kekenyalan, di mana setiap lapisan membawa rasa yang berbeza – tidak seperti roti biasa yang keraknya lebih nipis dan lembut.

Sementara itu, roti biasa biasanya dihasilkan dengan yis komersial yang memerlukan waktu yang lebih singkat untuk diperam. Roti ini mempunyai rasa yang lebih neutral dan tekstur yang lebih ringan dan lembut, tetapi sering kali kurang dalam kedalaman rasa dan nutrisi jika dibandingkan dengan sourdough.

Roti biasa lebih cepat disediakan dan sesuai untuk mereka yang memerlukan hasil segera, tetapi mungkin tidak memberikan pengalaman makan yang sama memuaskan seperti sourdough.

Seterusnya, salah satu ciri yang paling ketara untuk sourdough adalah profil rasanya yang unik. Disebabkan ia diperam lama bagi membolehkan bakteria asid laktik kembang, sourdough biasanya rasa sedikit masam – berbeza dengan roti biasa yang lebih manis dan berlemak.

Dari segi kelebihan nutrisi, sourdough adalah lebih berkhasiat kerana proses fermentasi yang diperlukan adalah lama. Untuk pengetahuan anda, semakin lama proses pembuatan roti, ia menghasilkan indeks glisemik yang lebih rendah berbanding yang biasa. Dengan ini, ia sedikit sebanyak membantu menguraikan gluten dan meningkatkan penyerapan nutrisi ke dalam roti.

Roti biasa, di sisi lain, cenderung melepaskan gula dengan lebih cepat ke dalam aliran darah, yang boleh menyebabkan lonjakan gula yang tidak diingini.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd