Mengapa Telur Perlu Disimpan Di Dalam Peti Sejuk?
Lina Rosli
Tahukah anda, adalah penting untuk anda menyimpan di dalam peti sejuk setiap kali selepas pembelian stok telur yang baharu?
Secara umumnya, telur adalah antara bahan makanan yang sering digunakan dalam masakan harian, sama ada untuk membuat sarapan pagi atau sebagai bahan utama dalam masakan dan juga digunakan di dalam kuih-muih.
Sebenarnya, menyimpan telur dalam peti sejuk bukan hanya sekadar untuk memanjangkan jangka hayatnya, tetapi juga untuk menjaga keselamatan makanan.
#1 Mengelakkan Pertumbuhan Bakteria Berbahaya
Salah satu sebab utama mengapa telur ayam perlu disimpan dalam peti sejuk adalah untuk mencegah pertumbuhan bakteria seperti Salmonella.

Telur mempunyai cengkerang yang membolehkan udara dan juga bakteria meresap ke dalamnya. Apabila suhu sekeliling adalah tinggi, bakteria ini boleh membiak dengan lebih cepat dan meningkatkan risiko pencemaran.
Dengan menyimpan telur pada suhu sejuk, kita dapat memperlahankan pertumbuhan bakteria dan memastikan telur lebih selamat untuk dimakan.
#2 Menjaga Kesegaran Telur Lebih Lama
Peti sejuk juga memainkan peranan penting dalam mengekalkan kesegaran telur. Suhu sejuk membantu mengelakkan proses degradasi yang boleh menyebabkan telur menjadi rosak.
Dalam cuaca tropika seperti di Malaysia, telur yang disimpan di luar pada suhu bilik lebih mudah rosak disebabkan oleh kelembapan dan suhu panas. Dengan menyimpannya dalam peti sejuk, anda boleh melanjutkan jangka hayat telur sehingga beberapa minggu lebih lama.

Adakah Semua Telur Perlu Diletakkan Di Dalam Peti Sejuk?
Jika anda perasan, di pasaraya ataupun pasar, kebiasaannya telur tidak disimpan di bahagian sejuk. Ini kerana telur yang tidak dicuci sebelum dijual mempunyai lapisan pelindung semula jadi – yang mana ia membantu melindungi daripada bakteria.
Namun, di rumah, telur biasanya dicuci sebelum dimasak yang mana ia menyebabkan lapisan pelindung tersebut hilang. Oleh itu, telur perlu disimpan di peti sejuk untuk mencegah bakteria.
Menyimpan telur dalam peti sejuk bukan sahaja langkah yang selamat untuk memastikan telur kekal segar dan boleh dimakan, malah ia juga membantu memanjangkan jangka hayat telur di rumah.
Jadi, selepas ini, pastikan telur anda disimpan dengan betul di peti sejuk untuk menjaga kesihatan anda dan keluarga.