Kenapa Bawang Merah Buat Mata Berair? Cara Mengelakkan Air Mata Keluar Semasa Menghiris Bawang
Lina Rosli
Pernahkah anda mengalami situasi di mana air mata mengalir ketika menghiris bawang? Jika ya, ini sememangnya masalah yang biasa, dan terdapat beberapa cara yang boleh anda cuba untuk mengelakkan situasi ini.
Kenapa Bawang Buat Mata Berair?
Untuk pengetahuan anda, faktor yang membuatkan bawang menyebabkan mata berair adalah disebabkan oleh gas yang dikenali sebagai propyl sulfoxide. Ia merupakan sebatian sulfur yang tersimpan di dalam sel bawang.
Apabila bawang dipotong, sel-sel bawang yang pecah mengeluarkan enzim yang dipanggil alliinase. Enzim ini bertindak ke atas asid amino yang terdapat dalam bawang dan sekaligus menghasilkan gas ini.

Sekiranya gas ini terdedah kepada udara, gas propyl sulfoxide akan bertukar menjadi asid sulfurik – iaitu wap yang sangat kecil yang mempunyai bau yang menjengkelkan. Wap ini terbang ke arah mata dan kemudiannya merangsang sel-sel saraf di permukaan mata dan menyebabkan mata berair sebagai reaksi pertahanan untuk mencuci keluar bahan asing.
Harus diingatkan, walaupun mata anda mungkin terasa pedih dan tidak selesa, gejala ini bersifat sementara dan asid sulfurik tidak akan merosakkan mata anda.
Bagaimana Cara Mengelakkan Mata Berair Sewaktu Menghiris Bawang?
Berikut adalah beberapa langkah yang boleh anda praktikkan sewaktu menghiris dan memotong bawang.
#1 Gunakan pisau yang tajam sewaktu menghiris bawang
Pisau tumpul boleh menyebabkan anda merosakkan sel-sel bawang dengan lebih banyak – ini sekaligis menyebabkan lebih banyak gas syn-propanethial-S-oxide dilepaskan. Oleh itu, pastikan pisau anda sentiasa tajam sebelum memulakan proses memotong bawang.

#2 Hiris di bawah aliran air
Cuba hiris bawang di bawah aliran air sejuk. Air akan membantu mengurangkan kemungkinan gas berterbangan di udara dan memasuki mata anda. Cara lain, anda juga boleh meletakkan bawang di dalam mangkuk berisi air sejuk sebelum memotongnya.
#3 Simpan bawang di dalam peti sejuk
Menyimpan bawang dalam peti sejuk selama 30 minit sebelum memotongnya juga dapat membantu. Suhu yang lebih rendah boleh mengurangkan pengeluaran gas, menjadikannya lebih mudah untuk menghiris tanpa rasa membuatkan mata berasa pedih.