MegaHouse Memperlihatkan Kiub Rubik Miniatur Paling Kecil Di Dunia – Sebesar 5mm Dan Diperbuat Daripada Aluminium Yang Ringan

October 7, 2024
fakta menarik

Lina Rosli

MegaHouse yang merupakan pembuat mainan Jepun telah memperlihatkan produk terbaru mereka yang cukup menarik – Rubik’s Cube miniatur yang paling kecil. Dan ia telah direkodkan sebagai Rubik’s Cube terkecil di dunia.

Dengan setiap sisinya berukuran hanya 5mm, kiub Rubik ini diperbuat daripada aluminium yang menjadikannya sangat ringan – iaitu dengan berat hanya 0.3g. Jika dibandingkan dengan saiz kiub Rubik biasa, besarnya adalah kira-kira 1/1000 sahaja.

Menurut MegaHouse, konsep miniatur ini telahpun mula diperkenalkan sejak empat tahun lalu dan proses pengeluarannya dilakukan bermula tahun 2022.

Untuk pengetahuan anda, sebelum ini, kiub Rubik bersaiz mikro ini turut pernah diperkenalkan oleh pereka puzzle British, Tony Fisher, pada tahun 2016 – dengan saiz sebesar 5.6mm.

Di Jepun, Rubik’s Cube miniatur ini kini dibuka untuk pra-tempahan di laman web MegaHouse dengan harga 777,777 yen, iaitu sekitar RM25,000. Apa yang menarik, setiap kiub Rubik ini disertakan dengan sebuah stand yang mengesahkan statusnya sebagai Rubik’s Cube terkecil di dunia.

Bagi yang tidak mengetahui, kiub Rubik bersaiz mikro ini telah mendapat pengiktirafan daripada Guinness World Records sebagai puzzle putar terkecil di dunia pada bulan Ogos lalu.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd