Ini Kedai Serbaneka Dan Stesen Minyak Yang Hadir Dengan Penawaran Kopi Tersendiri – Mana Satu Pilihan Anda?
Lina Rosli
Di Malaysia, boleh dikatakan hampir kebanyakan kedai serbaneka yang telah mula menampilkan jenama kopi mereka yang tersendiri – tidak ketinggalan juga beberapa stesen minyak seperti Petronas dan juga Shell yang turut hadir dengan kafe yang boleh diakses di beberapa stesen minyak terpilih.
Masing-masing hadir dengan keunikan yang tersendiri – sebagai contoh ada jenama yang memfokuskan kepada variasi pilihan kopi, dan mungkin juga ada yang menawarkan kopi pada harga yang berpatutuan.
Jadi, antara kesemua jenama kopi dari kedai serbaneka dan stesen minyak ini, mana satu yang menjadi pilihan anda?
#1 7CAFe oleh 7-Eleven
Tahukah anda bahawa 7CAFe, jenama kafe dari 7-Eleven Malaysia ini telah mempunyai lebih daripada 250 cawangan di seluruh Malaysia? Sementara untuk 7-Eleven Malaysia, jumlah cawangan mereka mencapai lebih 2,000 lokasi di seluruh negara.
Untuk pengetahuan anda, 7CAFe menawarkan pengalaman kopi yang mudah diakses dan berpatutan – menggunakan konsep “grab-and-go” di mana pelanggan boleh membeli dan mendapatkan minuman yang diingini tanpa perlu menunggu untuk tempoh yang lama.
Jika anda tanya tentang harga penawaran di 7CAFe, secara umumnya anda boleh mendapatkan pilihan kopi berasaskan espresso pada harga sekitar RM5.90 secawan. Berbaloi bukan?


#2 Shell Cafe oleh Shell
Untuk Shell pula, menerusi Shell Cafe, pelanggan ditawarkan dengan pengalaman kopi yang lebih premium dan berkualiti. Kafe ini menyediakan pelbagai jenis minuman kopi seperti Americano, Cappuccino, Latte dan Mocha.
Kepelbagaian ini membolehkan pelanggan memilih minuman yang sesuai dengan citarasa masing-masing. Bukan sahaja kopi hitam biasa, malah minuman berasaskan susu dan coklat juga ditawarkan bagi mereka yang gemarkan variasi.
Salah satu kelebihan Shell Café adalah lokasinya yang mudah diakses di stesen minyak Shell, menjadikannya tempat ideal untuk mendapatkan kopi berkualiti semasa dalam perjalanan.

#3 Cafe Mesra oleh Petronas Brands
Jika dibandingkan dengan kafe lain, Cafe Mesra oleh Petronas menawarkan pengalaman kopi yang praktikal, terutamanya apabila ia menawarkan pilihan pembelian menerusi aplikasi Setel.
Dengan ini, pengguna boleh memesan kopi atau makanan tanpa perlu beratur, menjadikan pengalaman pembelian lebih pantas dan mudah. Hanya klik di dalam aplikasi Setel, anda boleh menunggu di dalam kereta dan menunggu hidangan anda selesai dibungkus sebelum bergerak ke destinasi lain.

#4 Richiamo Cafe oleh Richiamo Mart
Selepas Richiamo Coffee, jenama Richiamo memperluaskan penawarannya menerusi pembukaan kedai serbaneka – Richiamo Mart. Menerusinya, mereka menyasarkan untuk membawa pengalaman runcit yang selesa dan berkualiti, selain turut menggalakkan pembelian produk atau barangan secara on the go.
Di dalam Richiamo Mart, mereka turut hadir dengan pilihan minuman seperti kopi dan jus buah, dan juga makanan panas seperti oden dan juga pastri.

#5 FamiCafe oleh FamilyMart Malaysia
Sebelum memperkenalkan kaunter ‘Tap & Go Coffee’, jenama ini telah hadir dengan penawaran FamiCafe. Di FamiCafe, anda boleh menikmati kopi dan makanan ringan dalam suasana kafe yang selesa, tetapi masih mengekalkan ciri-ciri kedai serbaneka.
Dengan penawaran pelbagai pilihan makanan Jepun seperti onigiri, bento, dan soft serve ais krim, serta minuman seperti kopi dan teh, FamiCafe semestinya menjadi pilihan yang ideal bagi kebanyakan pengunjung yang ingin mendapatkan makanan yang lebih pelbagai. Setakat ini, FamiCafe masih tidak diperluaskan di kebanyakan cawangan FamilyMart.
Dan kini, terdapat FamilyMart yang terpilih sudah mula hadir dengan kaunter ‘Tap & Go Coffee’ – anda boleh mendapatkan kopi tanpa perlu beratur di kaunter bayaran Oden. Harga kopi yang ditawarkan adalah serendah RM2.90 secawan.

#6 Bila-Bila Cafe oleh Bila-Bila Mart
Bila-Bila Mart merupakan kedai serbaneka tempatan yang kini semakin aktif dalam memperluaskan penawaran mereka. Dan pada awal tahun 2024, mereka mula hadir dengan penjenamaan semula dan kini hadir dengan penawaran kafe yang tersendiri.
Bila-Bila Cafe yang diperkenalkan oleh Bila-Bila Mart, menawarkan pengalaman unik dengan pelbagai pilihan makanan dan minuman dalam suasana yang selesa. Kafe ini menyediakan pelbagai hidangan menarik, termasuk kopi, teh, smoothies serta makanan ringan seperti sandwich dan pastri.
Untuk pengetahuan anda, di Bila-Bila Mart, anda boleh mendpaatkan terus barangan segar dari ladang yang menjadikan ia sebuah lokasi membeli-belah yang perlu anda kunjungi. Dan ini menjadikannya unik yang mana ia membolehkan pelanggan menikmati hidangan berkualiti tanpa perlu pergi jauh dari lokasi membeli-belah harian mereka.


Jadi, mana satu pilihan anda? Dengan pelbagai pilihan minuman dan hidangan yang menarik, setiap kafe memberikan peluang kepada pelanggan untuk menikmati makanan berkualiti dalam suasana yang selesa dan mudah diakses.
Kelebihan lokasi yang strategik di dalam kedai serbaneka atau stesen minyak memudahkan pelanggan untuk mendapatkan makanan dan minuman dengan cepat. Selain itu, konsep “grab-and-go” yang ditawarkan oleh kebanyakan kafe ini adalah pilihan ideal bagi mereka yang sentiasa sibuk.
Secara keseluruhannya, kafe-kafe ini bukan sahaja memenuhi citarasa pelanggan tetapi juga menyediakan kemudahan yang diperlukan dalam gaya hidup moden.