Apa Beza Kedai Eco-Shop Biasa Dan Kedai Konsep Eco-Plus?

November 12, 2024
Pusat Beli-Belah

Lina Rosli

Pernahkah anda tertanya-tanya tentang perbezaan antara kedai Eco-Shop biasa dan kedai konsep Eco-Plus? Jika ya, Tajria hari ini akan berkongsi kepada anda perbezaan untuk kedua-dua jenis kedai ini – bagi memudahkan lagi proses perbelanjaan harian anda.

Untuk pengetahuan anda, selepas 13 tahun memulakan operasi di Malaysia, Eco-Shop terus melangkah maju dengan memperkenalkan Eco-Shop Concept Store, sebuah langkah penting dalam perjalanan mereka untuk menjadikan gaya hidup lestari lebih mudah diakses oleh semua lapisan masyarakat.

Konsep kedai ini dikenali sebagai Eco-Plus yang bukan sahaja menekankan produk berkualiti dengan harga berpatutan, tetapi juga memfokuskan pada pengalaman pelanggan yang lebih baik dan inovatif.

Harga Mampu Milik Dengan Pelbagai Pilihan

Dari segi harga, kedua-duanya masih mengekalkan harga jualan yang sama iatu RM2.40 untuk kesemua cawangan Eco-Shop dan Eco-Plus di Malaysia.

Cuma apa yang membezakan Eco-Plus adalah ia menawarkan 70% barangan dijual pada harga RM2.40, sementara semua produk yang ada di kedai ini dijual pada harga di bawah RM20. Produk yang ditawarkan merangkumi segala keperluan harian dari rumah tangga, penjagaan diri, dan banyak lagi.

Melalui Eco-Plus, pelanggan boleh menikmati barang-barang berkualiti tinggi dengan harga yang masih mampu milik. Kategori ini memberi lebih banyak pilihan untuk mereka yang mencari sesuatu yang lebih eksklusif tanpa perlu mengorbankan nilai.

Reka Bentuk Moden Dan Mesra Pengguna

Salah satu daya tarikan utama Eco-Plus adalah reka bentuk moden yang kemas dan mudah dilalui. Dengan susun atur kedai yang lebih teratur dan penggunaan teknologi canggih, kedai ini memberikan pengalaman membeli-belah yang lebih lancar dan menyenangkan.

Pelanggan dapat dengan mudah mencari dan memilih produk yang mereka perlukan, menjadikan pengalaman membeli-belah lebih efisien.

Jadi, jika anda sedang mencari produk rumah tangga berkualiti dengan harga yang berpatutan, Eco-Plus adalah destinasi yang boleh anda kunjungi. Setakat ini, senarai cawangan Eco-Plus masih lagi terhad iaitu di NU Sentral, IOI City Mall dan Berjaya Times Square.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd