MICHELIN Guide Kuala Lumpur & Pulau Pinang 2025 Meraikan Pencapaian Kulinari Cemerlang, Termasuk MICHELIN Green Star Pertama Malaysia
Lina Rosli
MICHELIN Guide Kuala Lumpur & Pulau Pinang 2025 mengumumkan senarai 143 restoran terpilih, yang merangkumi 56 restoran Bib Gourmand, 80 restoran MICHELIN Selected – dan buat pertama kali di Malaysia berlangsungnya penganugerahan MICHELIN Green Star untuk komitmen kemampanan.
Untuk pengetahuan anda, Dewakan, sebuah restoran kontemporari di Kuala Lumpur mencatatkan sejarah sebagai restoran pertama di Malaysia yang menerima MICHELIN Green Star, di samping mengekalkan status dua MICHELIN Star atas kualiti masakannya. Restoran ini mendapat pengiktirafan atas penggunaan bahan tempatan dan pendekatan tanpa pembaziran yang menjadikannya sebagai model inspirasi bagi restoran lain.

Penambahan Restoran MICHELIN Star Baharu
Di edisi 2025 ini, ia menyaksikan dua penambahan restoran yang dianugerahkan satu MICHELIN Star – Chim by Chef Noom yang menawarkan masakan Thai kontemporari dan Molina yang hadir dengan teknik masakan Perancis dengan citarasa Nordik dan Asia.
Dengan pengiktirafan ini, nampaknya kedua-dua restoran ini kini berdiri sebaris dengan restoran seperti Au Jardin, Auntie Gaik Lean’s Old School Eatery, Beta dan DC. by Darren Chin dalam senarai eksklusif MICHELIN Star.


Kategori Bib Gourmand dan MICHELIN Selected yang Lebih Luas
MICHELIN Guide turut menambah 12 restoran baharu dalam kategori Bib Gourmand, antaranya:
- Kuala Lumpur: Coast by Kayra, Foong Lian, Leen’s, MTR 1924 dan Sin Kiew Yee Shin Kee Beef Noodles.
- Pulau Pinang: BM Yam Rice, Laksalicious, Lum Lai Duck Meat Koay Teow Th’ng, Ravi’s Famous Apom Manis, Serabai Istimewa, Super Star Koay Teow Soup dan Winn’s Cafe.
Selain itu, senarai MICHELIN Selected turut berkembang dengan 10 penambahan baharu yang meliputi hidangan jalanan hingga masakan antarabangsa seperti Atelier Binchotan dan Potager di Kuala Lumpur, serta Christoph’s dan Lucky Hole di Pulau Pinang.
Anugerah Khas MICHELIN Guide 2025
MICHELIN Guide juga mengiktiraf individu luar biasa dalam sektor kulinari dengan Anugerah Perkhidmatan, Sommelier, Chef Muda dan Pembukaan Terbaik. Tahun ini, En. Azmi Ahmad Kamal dari Chim by Chef Noom dan En. Han Lai dari Terra Dining menerima anugerah dalam kategori Perkhidmatan dan Sommelier. Manakala, En. Waymann Cheong dari Lucky Hole dan En. Guillaume Depoortere dari Molina mendapat penghargaan dalam kategori Chef Muda dan Pembukaan Terbaik.

Dengan penambahan ini, MICHELIN Guide Kuala Lumpur & Pulau Pinang 2025 terus mengangkat standard kulinari Malaysia, yang menampilkan variasi budaya dan kreativiti dalam hidangan yang menggambarkan warisan dan inovasi tempatan.
| Baharu | Dinaik Taraf | ||
| JUMLAH RESTORAN | 143 | ||
| Jumlah 2 MICHELIN Star | 1 | ||
| Jumlah 1 MICHELIN Star | 6 | 2 | |
| Jumlah MICHELIN Green Star | 1 | 1 | |
| Jumlah Bib Gourmand | 56 | 11 | 1* |
| Jumlah MICHELIN Selected | 80 | 10 | |
| KUALA LUMPUR | 74 | ||
| Jumlah 2 MICHELIN Star | 1 | ||
| Jumlah 1 MICHELIN Star | 4 | 2 | |
| Jumlah MICHELIN Green Star 1 | 1 | 1 | |
| Jumlah Bib Gourmand | 24 | 5 | |
| Jumlah MICHELIN Selected | 45 | 4 | |
| PENANG | 69 | ||
| Jumlah 1 MICHELIN Star | 2 | ||
| Jumlah Bib Gourmand | 32 | 6 | 1* |
| Jumlah MICHELIN Selected | 35 | 6 |
*Diangkat daripada MICHELIN Selected