Fast Retailing, Syarikat Di Sebalik Jenama UNIQLO Menerajui Fesyen Lestari Dengan Inovasi Dan Tanggungjawab Sosial
Lina Rosli
Fast Retailing, syarikat di sebalik jenama fesyen global UNIQLO, baru-baru ini mengadakan sesi taklimat tahunan keempat mereka bertajuk LifeWear = a New Industry, yang memperlihatkan usaha berterusan mereka untuk menggabungkan pertumbuhan perniagaan dan juga beberapa inovasi dari segi kelestarian dan juga sosial.
Bermula dengan Projek Ariake pada tahun 2017, syarikat ini telah berjaya menjadikan kelestarian sebagai elemen penting dalam strategi perniagaan mereka. Ini termasuk:
Keberhasilan Mengurangkan Emisi dan Penggunaan Tenaga
Salah satu pencapaian utama yang dikongsi dalam sesi ini adalah kemajuan dalam pengurangan gas rumah hijau (GHG). Pada tahun 2023, Fast Retailing berjaya mengurangkan emisi GHG sebanyak 69.4% berbanding tahap 2019.

Dengan matlamat mengurangkan 90% emisi menjelang tahun 2030, syarikat ini berada di landasan yang baik untuk mencapai sasaran tersebut. Selain itu, penggunaan tenaga boleh diperbaharui juga meningkat kepada 67.6%, dengan sasaran mencapai 100% pada tahun 2030.
Tidak hanya itu, Fast Retailing turut mengurangkan emisi GHG dalam rantaian bekalan mereka sebanyak 10% pada tahun 2023. Ini disebabkan oleh penggunaan bahan-bahan yang lebih mesra alam dan amalan pengeluaran yang lebih lestari.
Inovasi Produk Berdasarkan Maklum Balas Pelanggan
Salah satu inisiatif menarik Fast Retailing adalah penggunaan maklum balas pelanggan dalam pembangunan produk mereka.
Pada tahun 2024, syarikat ini mengumpulkan lebih daripada 31 juta maklum balas dari pelanggan di seluruh dunia. Maklum balas ini diambil dari ulasan produk atas talian, komen di kedai serta cadangan dari pusat khidmat pelanggan. Data ini digunakan untuk memperkenalkan produk-produk baru dan memperbaiki produk sedia ada, seperti rekaan bahan “souffle yarn knit” dan seluar knit yang boleh dicuci yang menunjukkan keperluan pelanggan terhadap keselesaan dan kelestarian.
Platform Management Cockpit yang dilancarkan pada tahun 2023 membantu syarikat untuk menganalisis maklum balas pelanggan secara masa nyata, membolehkan mereka bertindak balas dengan lebih pantas terhadap perubahan keperluan pelanggan dan mengurangkan pembaziran.

Meningkatkan Penggunaan Bahan Lestari
Kelestarian dalam pemilihan bahan merupakan fokus utama bagi Fast Retailing. Pada tahun 2024, 18.2% daripada bahan yang digunakan dalam produk mereka adalah bahan dengan kesan GHG rendah, berbanding 8.5% pada produk tahun 2023. Selain itu, penggunaan polyester kitar semula juga meningkat dengan ketara, mencapai 47.4% daripada produk polyester mereka. Keputusan ini tidak hanya mengurangkan kesan alam sekitar, tetapi juga selari dengan permintaan yang semakin meningkat terhadap fesyen yang lebih mesra alam.
Inisiatif lain yang menarik adalah pelaksanaan perkhidmatan RE.UNIQLO STUDIO, yang menawarkan pembaikan dan pengubahsuaian pakaian. Bermula pada tahun 2022, perkhidmatan ini kini tersedia di 51 kedai di 22 pasaran, dengan rancangan untuk diperluaskan kepada 60 kedai menjelang penghujung tahun 2024.
Menyumbang kepada Masyarakat Melalui Inisiatif Sosial
Selain usaha untuk menjaga alam sekitar, Fast Retailing juga komited untuk memberi impak positif kepada masyarakat. Melalui projek PEACE FOR ALL dan The Heart of LifeWear, syarikat ini telah menderma satu juta produk HEATTECH dan AIRism kepada golongan yang memerlukan, termasuk pelarian, kanak-kanak dan mangsa bencana.
Inisiatif ini bukan sahaja melibatkan pelanggan dan rakan kongsi mereka, tetapi juga sokongan daripada operasi perniagaan tempatan di seluruh dunia.

Dengan fokus berterusan terhadap kelestarian, Fast Retailing berusaha untuk mencipta dunia fesyen yang lebih mesra alam dan bertanggungjawab. Melalui penggunaan teknologi terkini, analisis maklum balas pelanggan dan inisiatif sosial yang menyokong komuniti, syarikat ini berada di landasan yang kukuh untuk mencapai matlamat kelestarian mereka menjelang tahun 2030.
Fast Retailing bukan hanya mengubah cara mereka beroperasi, tetapi juga memberikan inspirasi kepada industri fesyen untuk lebih bertanggungjawab dalam menjaga alam sekitar dan menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat global.