Balai Seni Negara Anjur Program Manifestasi Dua Seni – Gabungan Seni Visual & Sastera Untuk Peminat Karya Tempatan
Lina Rosli
Balai Seni Negara baru-baru ini melancarkan Kalendar Program 2025 yang juga menampilkan program Manifestasi Dua Seni yang berlangsung sejak November 2024 hingga Januari 2025.
Untuk pengetahuan anda, Manifestasi Dua Seni ini bukan sekadar acara seni biasa – ia adalah gabungan unik antara seni visual dan sastera yang mana ia menyatukan bakat-bakat hebat tempatan dalam platform yang lebih luas.

Manifestasi Dua Seni: Gabungan Seni Visual Dan Sastera
Menerusi Manifestasi Dua Seni ini, ia memperlihatkan pameran karya di galeri yang dihasilkan oleh pelukis, penyair, penulis dan penggiat seni untuk saling berkolaborasi, menghasilkan karya yang mempunyai naratif tersendiri.
Lebih menarik, program ini bukan sekadar berlangsung di ibu kota tetapi di seluruh Malaysia dengan kerjasama pelbagai persatuan seni seperti:
- PORT di Ipoh, Perak
- Senika di Kuantan, Pahang
- Kotak Seni di Kelantan
- Haus KCH di Sarawak
- Ambeng Art Space di Johor
- Dan ramai lagi dari negeri-negeri lain
Setiap lokasi mempunyai acara tersendiri, termasuk pameran seni, malam puisi, bengkel kreatif dan persembahan seni, menjadikannya platform yang inklusif dan berjiwa rakyat.

Kolaborasi Generasi & Ruang Buat Bakat Baharu
Untuk pengetahuan anda juga, Manifestasi Dua Seni ini penting bagi menyambung tradisi seni lama dengan karya kontemporari hari ini. Seperti yang dinyatakan dalam Belanjawan 2024 oleh Perdana Menteri, inisiatif ini bukan sahaja meraikan karya sastera dan seni visual agung tanah air tetapi juga bertujuan memupuk minat golongan muda terhadap keunikan karya tempatan.

Program ini turut mengadakan pertandingan melukis dan menulis berdasarkan karya-karya klasik. Jadi, jika anda seorang yang berjiwa seni, inilah peluang terbaik untuk menonjolkan kreativiti anda dan mengekspresikan rasa cinta terhadap seni serta sastera Malaysia.
Bagi anda yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut, anda boleh tandakan tarikh-tarikh penting yang telah dirancang di dalam Kalendar Program 2025 Balai Seni Negara. Untuk maklumat lanjut, layari www.artgallery.gov.my atau ikuti media sosial rasmi Balai Seni Negara.