Dua Program Inovatif Di Balai Seni Negara – Mengangkat Seni Dan Keusahawanan
Lina Rosli
Pada 23 Disember 2024, Balai Seni Negara merasmikan dua program yang menarik perhatian masyarakat seni dan keusahawanan di GMBB, Kuala Lumpur iaitu Program Sayembara Lukisan: Karya Agung Cetusan Bakat Mahasiswa dan Young Art Entrepreneurs (YAE!) – Generation: Artpreneur yang bertujuan mengangkat kreativiti dan mempersiapkan generasi muda dalam dunia seni dan perniagaan.
Untuk Program Sayembara Lukisan adalah satu inisiatif yang bertujuan memartabatkan seni visual sebagai medium untuk memelihara warisan sastera negara. Program ini juga memberi fokus kepada karya seni yang diinspirasikan oleh karya-karya sasterawan agung tanah air, termasuk novel dan cerpen klasik.

Sebanyak 142 karya telah dihasilkan oleh peserta dari 13 institusi pengajian tinggi, termasuk ASWARA, UPSI, USM dan UiTM. Kesemua institusi pengajian tinggi ini hadir dengan hasil seni yang merangkumi jenis lukisan, arca dan video.
Bagi yang ingin melihat hasil karya mereka, Pameran Sayembara Lukisan boleh dilawati di GMBB dari 14 Disember 2024 hingga 31 Januari 2025. Pengunjung boleh menyaksikan pelbagai karya yang menggambarkan perpaduan antara seni visual dan sastera, satu cara unik untuk menghayati warisan budaya negara.
Young Art Entrepreneurs (YAE!) – Generation: Artpreneur
Sementara itu, program Young Art Entrepreneurs (YAE!) yang memasuki kohort ke-10 memberi tumpuan kepada pembentukan usahawan seni muda. Bertemakan Generation: Artpreneur, program ini menggabungkan seni dan keusahawanan, menginspirasikan generasi muda untuk menjadi pengusaha seni yang berdaya saing.

Sejak 2017, YAE! telah berjaya melahirkan lebih 150 usahawan seni yang kreatif dan inovatif. Pada kohort ke-10 ini, peserta dibimbing untuk mengembangkan produk seni yang berkualiti dan membina model perniagaan yang mampan. Mereka juga didedahkan kepada asas keusahawanan dan kaedah pengurusan projek, pemasaran dan penjenamaan seni.
Melalui kerjasama dengan syarikat dan organisasi besar seperti MAKERZ dan PETRONAS YPC, program ini memberi peluang kepada peserta untuk memperluas rangkaian dan pasaran seni mereka.
Untuk maklumat lanjut mengenai program dan pameran ini, ikuti media sosial rasmi Balai Seni Negara di www.artgallery.gov.my.