Sekitar 2024 – Ini 10 Jenama Makanan Dan Minuman Global Yang Memasuki Pasaran Malaysia Pada Tahun Ini
Lina Rosli
Tahun 2024 menyaksikan pelbagai jenama makanan dan minuman global memasuki pasaran Malaysia, memperkenalkan pengalaman dan citarasa baharu yang pasti mengujakan penggemar makanan dan minuman tempatan.
Kehadiran jenama-jenama antarabangsa ini memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk menikmati hidangan dan konsep yang lebih pelbagai, yang tidak hanya memenuhi selera tetapi juga mencabar norma dan kebiasaan makanan yang ada.
Dari rangkaian kopi premium hingga pencuci mulut inovatif, berikut adalah 10 jenama utama yang telah membuka cawangan mereka di Malaysia dan menawarkan pilihan yang unik kepada para pencinta makanan.
#1 Tim Hortons – Kanada
Tim Hortons, jenama kopi ikonik dari Kanada, merupakan satu lagi jenama global yang berjaya menembusi pasaran Malaysia pada tahun 2024.
Sebagai salah satu jenama kopi popular di dunia, Tim Hortons terkenal dengan menu kopi klasik dan pilihan pastri yang lazat. Apa yang membezakan mereka ialah pengenalan rasa tempatan dalam menu mereka, menjadikan setiap hidangan sesuai dengan citarasa Malaysia.


Dari kopi panas hingga pilihan kek cawan yang menarik, Tim Hortons membawa rasa hangat Kanada ke Malaysia, dan pastinya menjadi destinasi wajib bagi penggemar kopi.
Di Malaysia, kini Tim Hortons sudah mempunyai dua cawangan di sekitar Lembah Klang iaitu di Sunway Velocity Mall dan juga IOI City Mall Putrajaya – dijangka akan membuka satu lagi cawangan di Sunway Pyramid di Petaling Jaya.
#2 Shake Shack – New York
Shake Shack telah membuka pintunya kepada rakyat Malaysia dengan membawa pengalaman makan yang mewah – menampilkan reka bentuk dan konsep yang berbeza bagi setiap cawangan mereka di Malaysia.
Menawarkan burger yang padat dan lazat, kentang goreng keriting yang rangup, serta milkshake yang penuh berkrim – yang mana ia disesuaikan mengikut gastronomi yang bersesuaian dengan citarasa rakyat Malaysia.


Dengan konsep makan di tempat yang moden dan sesuai dengan citarasa tempatan, Shake Shack kini menjadi pilihan bagi mereka yang mencari pengalaman makanan segera yang lebih premium – boleh diakses di The Exchange TRX dan juga Sunway Pyramid.
#3 Ediya Coffee – Korea Selatan
Rangkaian kopi dari Korea Selatan, Ediya Coffee, adalah satu lagi jenama global yang menarik perhatian penggemar kopi Malaysia pada tahun 2024. Jenama ini membawakan variasi pilihan kopi dan pencuci mulut yang menggambarkan budaya kopi Korea yang semakin popular.
Dikenali dengan kesegaran dan kualiti minuman mereka, Ediya Coffee menawarkan pengalaman yang menenangkan dengan suasana kafe yang santai di Elmina Lakeside Mall.
Bagi pencinta kopi yang ingin mencuba sesuatu yang berbeza, Ediya Coffee menawarkan sesuatu yang segar dan berbeza berbanding jenama kopi biasa yang sudah ada di pasaran.

#4 Naixue’s Tea – China
Naixue’s Tea telah membuat penampilan besar di Malaysia pada tahun hujung tahun 2024 ini. Jenama ini terkenal dengan konsep teh premium yang menyegarkan dan pilihan teh moden yang dipadankan dengan roti artisan.
Dengan konsep yang menggabungkan teh berkualiti tinggi dan pastri buatan sendiri, Naixue’s Tea pasti menjadi tempat yang popular bagi mereka yang mencari minuman teh unik dengan rasa yang tidak biasa. Untuk mencubanya, Naixue’s Tea ini dibuka di The Exchange TRX.


#5 Cheevit Cheeva – Thailand
Cheevit Cheeva, jenama pencuci mulut yang berasal dari Thailand, membawa keunikan tersendiri dengan hidangan pencuci mulut khas seperti bingsu yang sejuk dan menyegarkan.
Dengan pengaruh dari budaya pencuci mulut Thailand, Cheevit Cheeva menawarkan hidangan pencuci mulut yang manis dan menyegarkan, dengan pelbagai pilihan buah-buahan dan topping.
Tidak hanya menyajikan bingsu, tetapi mereka juga terkenal dengan menu minuman yang inovatif, sesuai untuk para penggemar manisan yang mencari sesuatu yang baru dan berlainan dari biasa.

#6 Jokopi – Indonesia
Jokopi, sebuah lagi jenama kopi Indonesia yang telah menembusi pasaran Malaysia selepas Kenangan Coffee.
Menyajikan pilihan kopi segar dan berkualiti tinggi yang diinspirasikan oleh budaya nusantara, kedai kopi ini memilih konsep kedai yang lebih mesra dan santai – terletak di tengah-tengah pusat bandaraya Kuala Lumpur iaitu di Pasar Seni.

Bagi yang belum pernah mencuba Jokopi, jenama ini menawarkan pilihan minuman unik dengan gabungan yang luar kebiasaan seperti Kopi Susu Arang, yang mana minuman ini memperlihatkan visual kopi dengan warna hitam yang pekat – dihasilkan daripada arang dan kemudian digandingkan dengan gula aren yang memberikan keseimbangan rasa manis yang sempurna.
Jokopi juga turut menampilkan menu yang lain dari yang lain iaitu, Kopi Susu Kaya yang menggabungkan keunikan susu kelapa dan kaya dan Kawista, minuman yang berasaskan sirap buah kawista dan dicampur dengan soda lemon yang segar.
#7 Ai-CHA – Indonesia
Ai-CHA, jenama teh susu premium dari Indonesia yang telah memulakan operasi sejak 2019. Terkenal dengan minuman teh yang dijual dengan harga berpatutan, kini mereka telah mempunyai lebih daripada 800+ cawangan di sekitar Asia Tenggara termasuk Malaysia, Thailand, Laos, Myammar, Vietnam dan banyak lagi.

Selain teh, Ai-CHA juga menawarkan variasi minuman yang sesuai dengan citarasa setiap individu seperti kopi dan aiskrim yang menjadikan jenama ini sangat sesuai untuk semua penggemar minuman manis.
#8 The Coach Coffee Shop
The Coach Coffee Shop membawa konsep kafe butik yang mengutamakan kualiti dan pengalaman pelanggan. Dengan pilihan kopi premium dan pelbagai pastri segar, The Coach Coffee Shop bukan sahaja menjadi tempat untuk menikmati kopi, tetapi juga ruang untuk bersantai.
Untuk pengetahuan anda, ia merupakan kafe konsep bagi jenama mewah Coach, yang terkenal dengan produk fesyen yang berkualiti. The Coach Coffee Shop, yang pertama kali diperkenalkan di Jakarta dan Singapura, kini telah hadir dengan dua cawangan di Malaysia iaitu di Ipoh dan juga APW Bangsar.
Menggabungkan keanggunan dengan rasa yang menyegarkan, The Coach Coffee Shop kini menjadi destinasi kegemaran para pengunjung yang mencari pengalaman makan yang berbeza.

#9 Cinnabon
Bakeri yang terkenal dengan roti gulung kayu manis ikoniknya, Cinnabon, telah membuka semula beberapa kedainya di Malaysia. Sebelum ini, Cinnabon diuruskan melalui pemegang lesen Chrisnabon Sdn Bhd dan kini jenama ini telah memulakan kerjasama dengan AC Hesed Group, yang menjadi rakan francais baharu mereka di Malaysia.

AC Hesed Group juga merupakan pengendali kedai-kedai berlesen untuk beberapa jenama terkenal seperti Krispy Kreme, llaollao, 108 Matcha Saro, Ben’s Cookies, dan TP Tea di seluruh Malaysia, Singapura, dan Indonesia.
#10 Fuiyoh! It’s Uncle Roger
Memfokuskan penawaran kulinari Asia, Restoran Fuiyoh It’s Uncle Roger hadir dengan cawangan pertama di Malaysia – dan kini mempunyai tiga cawangan di sekitar Lembah Klang.
Seperti yang banyak dibicarakan di dalam media sosial, Uncle Roger terkenal dengan komen komedinya mengenai masakan Asia, terutamanya nasi goreng. Oleh itu, di Restoran Fuiyoh It’s Uncle Roger, anda boleh menjangkakan menu ikonik ini seperti Nasi Goreng dan Mi Goreng.

Dengan pelbagai pilihan yang datang dari pelbagai negara, tahun 2024 membuka peluang untuk mencuba rasa yang lebih pelbagai dan inovatif. Jadi, dengan banyak pilihan yang ada, jenama mana yang akan anda cuba terlebih dahulu?