Penyakit Pulmonari Obstruktif Kronik (COPD) – Punca Kematian Ketiga Tertinggi Di Seluruh Dunia

December 27, 2024
Kesihatan

Lina Rosli

Penyakit Pulmonari Obstruktif Kronik, atau Chronic Obstructive Pulmonary Disease (COPD), adalah masalah kesihatan yang serius, namun ia kurang mendapat perhatian di Malaysia. Walaupun ia menimpa sebahagian besar penduduk, kesedaran dan pemahaman tentang COPD masih rendah.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), COPD merupakan punca kematian ketiga tertinggi di seluruh dunia, di mana ia menyebabkan 3.23 juta kematian pada tahun 2019. COPD dianggarkan menjejaskan 4.7% atau 448,000 rakyat Malaysia pada tahun 2003.  

Untuk mengetahui lebih lanjut, Dr Syed Ajmal Bin Syed Ali, Pakar Perunding Perubatan Dalaman, Respiratori dan Pulmunologi Intervensi di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, berkongsi pandangan tentang kelaziman, faktor risiko dan cabaran mengurus COPD di Malaysia.

Epidemik Senyap Yang Seringkali Tidak Disedari Sehingga Sudah Terlambat

COPD, yang merangkumi keadaan seperti bronkitis kronik dan emfisema, bertanggungjawab untuk sejumlah besar kematian di seluruh dunia.

Secara global, COPD menjejaskan kira-kira 10.6% penduduk dan merupakan punca kematian ketiga tertinggi, terutamanya di negara berpendapatan rendah dan sederhana seperti Malaysia. Prevalensi merokok yang tinggi menjadi pendorong utama penyakit ini, dengan kira-kira 19% penduduk yang berumur melebihi 15 tahun adalah perokok.

Di Malaysia, masalah utama dalam menangani COPD adalah kurangnya kesedaran masyarakat. Penyakit ini berkembang secara perlahan-lahan selama bertahun-tahun. 

Gejala yang berkait dengan COPD termasuklah batuk berterusan, yang pada awalnya sering disangka sebagai batuk biasa akibat merokok atau asma. Akibatnya, diagnosis sering terlambat, biasanya ketika mereka sudah berusia 60 tahun ke atas.

Kekeliruan Dan Kebimbangan Tentang COPD Dalam Kalangan Orang Muda

Dr Syed Ajmal menekankan betapa pentingnya pendidikan awam tentang COPD. Ini kerana terdapat tanggapan yang salah bahawa COPD hanya dihidapi oleh orang tua sedangkan ia juga boleh menjejaskan golongan muda, terutamanya mereka yang merokok.

Bekas perokok juga berisiko. Semakin awal anda merokok, semakin meningkat risiko menghidap COPD pada usia yang muda.

Close up man smoking a cigarette

Tinjauan Kesihatan Remaja Malaysia 2022 (Malaysia Adolescent Health Survey 2022) mendedahkan trend yang membimbangkan – penggunaan rokok elektronik dan vape dalam kalangan remaja di Malaysia yang berumur 13 hingga 17 tahun meningkat daripada 9.8% pada 2017 kepada 14.9% pada 2022. Kadar mereka yang merokok rokok biasa dalam kumpulan ini pula menurun daripada 13.8% kepada 6.2%. 

Oleh itu, usaha untuk meningkatkan kesedaran melalui kempen media dan kumpulan sokongan adalah penting untuk menggalakkan diagnosis awal dan pengurusan penyakit yang lebih baik.

Pelaksanaan Akta Kawalan Tembakau, termasuk rokok elektronik, pada 1 Oktober yang melarang penjualan produk tembakau dan vape kepada remaja serta menghadkan penggunaannya di tempat awam, merupakan langkah penting dalam mengurangkan pendedahan kepada bahan-bahan berbahaya yang menyumbang kepada penyakit seperti Penyakit Pulmonari Obstruktif Kronik (COPD), terutamanya dalam kalangan golongan muda.

Punca Atau Faktor Risiko Lain COPD

Walaupun merokok adalah penyebab COPD yang paling lazim, terdapat beberapa faktor lain yang boleh menyumbang kepada COPD. Ini termasuk pendedahan kepada alam sekitar, seperti pencemaran udara dalam rumah daripada bahan bakar biomas dan bahaya pekerjaan (occupational hazard) seperti terhidu habuk halus dalam industri tertentu seperti habuk silika, gas dan asap dari pemasangan relau dan dandang.

Terdapat juga komponen genetik yang dikenali sebagai kekurangan alpha-1 antitrypsin, yang berfungsi untuk melindungi tisu paru-paru daripada kerosakan proteolitik. Kekurangan alpha-1 antitrypsin boleh menyebabkan COPD berlaku pada usia yang lebih awal walaupun individu tersebut bukan perokok. Dianggarkan 1 dalam 2,000 hingga 6,000 individu di seluruh dunia mengalami kekurangan alpha-1 antitrypsin.

Kemajuan Rawatan Dan Pemulihan COPD

Pengurusan COPD yang berkesan bertumpu untuk memperlahankan perkembangan penyakit dan meningkatkan kualiti hidup pesakit. Menurut Dr Syed Ajmal, berhenti merokok adalah kunci utama untuk melambatkan perkembangan penyakit ini.

Dengan berhenti merokok, pesakit dapat melindungi paru-parunya daripada kerosakan yang lebih serius, walaupun kerosakan yang sudah berlaku tidak dapat diperbaiki.

Selain berhenti merokok, pemulihan pulmonari memainkan peranan penting dalam pelan rawatan. Program pemulihan paru-paru adalah program khas berasaskan bukti yang dirancang untuk membantu pesakit COPD.

Program ini bertujuan untuk membuat fizikal pesakit lebih sihat, mengurangkan gejala, dan meningkatkan kualiti hidup mereka secara keseluruhan. Program ini biasanya berlangsung selama 6 hingga 12 minggu, dan melibatkan aktiviti senaman, sesi pendidikan, dan sokongan untuk membantu pesakit menguruskan penyakit mereka.

Panoramic shot of asthmatic man using inhaler with spacer. Fat man using asthma inhaler while sitting at home due to allergy. Asia man using spray asthma.

Dr. Syed Ajmal turut menekankan peranan farmakologi dalam pengurusan COPD, di mana penggunaan inhaler terbukti efektif dalam membuka saluran pernafasan dan pengurangan keradangan paru-paru. Rawatan yang lebih baru sedang diperkenalkan untuk kes-kes lanjut, termasuk pengurangan volum paru-paru bronkoskopi dengan injap endobronkial (EBV). 

Prosedur invasif minima ini melibatkan injap sehala di bahagian paru-paru yang berpenyakit, membolehkan pengaliran udara yang terperangkap dan meningkatkan fungsi paru-paru yang masih sihat. Hasilnya, pesakit dapat mengalami peningkatan yang signifikan dalam fungsi pernafasan serta kualiti hidup.

Untuk pengetahuan anda, Pusat Perubatan Sunway merupakan antara hospital terawal di Malaysia yang menawarkan rawatan ini.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd