LAMPU 2024 – Festival Cahaya Di Putrajaya Sempena Tahun Baharu Boleh Dikunjungi Bermula 27-31 Disember 2024
Lina Rosli
Putrajaya kembali bergemerlapan dengan penganjuran LAMPU 2024, sebuah acara tahunan yang mempamerkan keindahan seni cahaya dan teknologi.
Untuk pengetahuan anda, ini merupakan tahun ke-8 acara diadakan – dan untuk tahun ini, LAMPU 2024 bakal berlangsung selama lima malam, bermula 27 Disember hingga 31 Disember 2024 di perkarangan Kompleks Perbadanan Putrajaya dari pukul 7 malam hingga tengah malam.


Bertemakan “Menerangi Masa Depan” atau “Illuminate the Future”, acara ini menggabungkan konsep futuristik yang menjanjikan pengalaman luar biasa buat pengunjung.
Apa Yang Menarik di LAMPU 2024?
Festival ini menjadi salah satu daya tarikan utama Putrajaya kerana mengetengahkan pelbagai elemen seni, teknologi dan budaya. Berikut antara acara utama dan aktiviti menarik yang boleh dinikmati di LAMPU 2024:
- The Grand Projection Mapping – Persembahan pemetaan cahaya tiga dimensi ini menggunakan teknologi animasi, video dan imej yang dipaparkan pada bangunan Ikonik Istana Kehakiman (POJ). Ia pasti menjadi tumpuan utama setiap malam festival berlangsung.
- Laluan Futuristik – Turut menampilkan persembahan kereta berhias yang hadir dengan elemen futuristik.
- Elemen Pencahayaan Di Bangunan
- Festival Permainan
- Taman Futuristik
- Putra Feast & Food Truck
- Acara Ambang Tahun Baharu 2025


Bagi yang berminat untuk berkunjung ke LAMPU 2024, anda boleh mula mendapatkan tiket pada harga RM5 untuk dewasa dan RM2 untuk kanak-kanak – bagi mula menerokai semua tempat menarik di acara ini.
