Kerap Mengalami Kekakuan Bahu? Anda Mungkin Menghidapi Masalah Bahu Beku

January 8, 2025
Kesihatan

Lina Rosli

Bayangkan anda terjaga tengah malam kerana kesakitan yang berterusan di bahagian bahu. Lama kelamaan, kesakitan ini bertambah teruk, dan apa yang pada mulanya hanyalah ketidakselesaan, akan beransur menjadi kekakuan (stiffness) yang progresif dan kemudian membuatkan anda tidak mampu untuk menggerakkan lengan. 

Jika anda mengalami situasi sebegini, anda mungkin menghidapi “bahu beku” atau dikenali sebagai frozen shoulder atau turut dipanggil kapsulitis lekat iaitu adhesive capsulitis – yang secara senyap menjejaskan sehingga 5% daripada populasi, terutamanya wanita berusia 40 hingga 60 tahun. Dan sekiranya tidak dirawat, ia boleh mengakibatkan kehilangan pergerakan bahu yang berpanjangan.

Dr Suresh George V Nainan, Pakar Bedah Ortopedik dan Trauma, Artroplasti dan Pembedahan Robotik di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC), berkongsi pandangan beliau mengenai bahu beku, termasuk gejala, penyebab dan pilihan rawatan. Beliau menekankan pentingnya diagnosis awal dan intervensi untuk mencegah kekakuan dan ketidakupayaan bahu bergerak pada jangka masa yang lama.

Apakah Itu Bahu Beku?

Untuk pengetahuan anda, antara simptom bahu beku ialah keradangan pada sendi bahu, selalunya tanpa sebab yang jelas. Keadaan ini biasanya bermula dengan kesakitan dan kekakuan yang progresif, akhirnya menyebabkan sendi bahu hilang keupayaan untuk bergerak.

Masalah bahu beku ini berkembang melalui tiga fasa:

  • Fasa Pembekuan: Fasa ini berlangsung antara 2 hingga 9 bulan, di mana kesakitan bertambah teruk dan kekakuan meningkat secara beransur-ansur. Ramai yang mengalami kesakitan di bahagian bahu sehingga mengganggu tidur mereka.
  • Fasa Beku: Pada fasa ini, kesakitan berkurangan, tetapi kekakuan bertambah teruk dengan kehilangan pergerakan abduksi dan putaran bahu. Pesakit sering berasa kurang sakit pada fasa ini tetapi semakin sukar untuk menggerakkan bahu mereka walaupun dibantu. Fasa ini boleh berlanjutan selama 4 hingga 12 bulan.
  • Fasa Pelembutan: Semasa fasa pemulihan ini, pergerakan bahu bertambah baik secara beransur-ansur. Bagaimanapun, pemulihan sepenuhnya boleh mengambil masa selama enam bulan hingga 2 tahun. Kebanyakan pesakit akhirnya akan dapat pulih sepenuhnya, walaupun ada segelintir yang mungkin tidak pulih sepenuhnya.

Siapa Yang Berisiko Menghidapi Masalah Bahu Beku?

Bahu beku biasanya menjejaskan wanita berusia antara 40 sehingga 60 tahun. Walau bagaimanapun, kondisi kesihatan tertentu boleh meningkatkan risiko – antara golongan yang turut terjejas termasuklah pesakit diabetes, penyakit tiroid, Parkinson atau kanser.

Kebanyakan kes adalah idiopatik, bermakna puncanya tidak dapat dikenalpasti. Menurut beberapa kajian, pesakit diabetes mempunyai lebih daripada 3 kali ganda kemungkinan untuk mendapat kondisi bahu beku berbanding mereka yang tidak menghidap penyakit diabetes. 

Dr Suresh George juga berkongsi situasi di mana seorang pesakit yang kelihatan seperti menghidapi bahu beku tetapi sebenarnya dia menghidapi penyakit kanser. Ini menekankan kepentingan mendapatkan diagnosis dan rawatan awal agar kondisi tidak menjadi lebih teruk.

Faktor risiko yang lain adalah tiada mobiliti. Kecederaan kecil pada pergelangan tangan atau siku secara tidak langsung boleh menyebabkan bahu beku kerana kekurangan pergerakan. Adalah biasa bagi pesakit yang memakai sling atau kas untuk tempoh yang lama untuk menghidapi kondisi ini.

Diagnosis Bahu Beku

Tanda utama bahu beku adalah kehilangan julat gerakan pasif. Ini bermakna walaupun orang lain cuba menggerakkan bahu anda, ia tetap kaku dan sukar untuk digerakkan.

Biarpun sinar-x, imbasan dan ujian darah sering digunakan untuk menolak kemungkinan isu-isu lain seperti artritis atau kecederaan tendon, ia tidak boleh mendiagnosis bahu beku secara langsung.

Kebanyakan ujian akan menunjukkan keputusan normal untuk bahu beku. Dengan itu, tanda-tanda klinikal klasik — terutamanya kesakitan bahu dan kekakuan secara progresif — yang membawa kepada diagnosis.

Secara umumnya, rawatan untuk bahu beku dibahagikan kepada tiga kategori:

  • Rawatan konservatif termasuk terapi fizikal, pengurusan kesakitan dengan ubat anti-radang, dan senaman untuk meningkatkan mobiliti bahu.
  • Suntikan steroid boleh diberikan untuk mengurangkan keradangan dan memudahkan pergerakan. Ini boleh digabungkan dengan manipulasi bahu terkawal di bawah anestesik jika tindak balas terhadap rawatan adalah perlahan.
  • Pembedahan mungkin akan dipertimbangkan untuk kes-kes yang sangat jarang berlaku jika kondisi berterusan melebihi 18 bulan.

Menurut pakar, pembedahan adalah pilihan terakhir dan hanya disyorkan apabila semua rawatan lain tidak berkesan kerana kebanyakan kondisi bahu beku tanpa patologi lain akan pulih sendiri dari masa ke masa.

Persepsi Salah Dan Mitos Tentang Bahu Beku

Salah satu persepsi salah yang lazim mengenai bahu beku ialah ia boleh sembuh dengan cepat. Ramai dalam kalangan individu juga turut melakukan kaedah-kaedah yang agresif seperti meregangkan bahu (shoulder cracking) atau urutan tisu dalam – yang mana rawatan ini mendatangkan lebih banyak mudarat daripada kebaikan.

Pergerakan yang kuat boleh meretakkan bahu pesakit tua dengan osteoporosis atau koyakan tendon rotator cuff.

Mencegah Masalah Bahu Beku

Tidak ada cara terjamin yang boleh mencegah bahu beku.  Walau bagaimanapun, kita boleh kekal aktif untuk mengelakkan kondisi ini.

Bagi mereka yang cedera atau melalui pembedahan yang membuatkan tangan mereka tidak boleh bergerak, adalah penting untuk memulakan senaman bahu secara lembut secepat mungkin.

Selain itu, senaman yang fokus kepada peregangan dan fleksibiliti boleh memberikan manfaat yang besar. Senaman seperti yoga dan pilates menggalakkan bahu bergerak bebas dan meningkatkan fleksibiliti, yang boleh membantu mengelakkan kekakuan yang berkaitan dengan bahu beku.

Young sporty woman in activewear, doing stretching, morning yoga or workout at home, sitting on floor mat.

Bahu Beku – Bolehkah Ia Berulang? 

Satu lagi sebab mengapa perkara ini penting adalah kerana, walaupun bahu beku jarang berulang pada bahu yang sama, terdapat risiko ia boleh berkembang pada bahu yang bertentangan. Risiko ini boleh terjadi pada bahu yang lagi satu dalam masa tiga hingga lima tahun.

Bahu beku mungkin tidak dibincangkan secara meluas, tetapi kesannya adalah signifikan jika tidak dirawat. Kunci utama ialah untuk mendapat diagnosis awal dan pendekatan rawatan yang khusus untuk setiap pesakit.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd