Carian
Apa Itu Dirty Coffee? Apa Bezanya Dengan Cafe Latte?
January 10, 2025 Lina Rosli

Kopi kini bukan sekadar minuman untuk menghilangkan rasa mengantuk, tetapi juga satu bentuk seni dan pengalaman. Dan kini, salah satu menu kopi yang semakin popular di kafe-kafe ialah Dirty Coffee.

Bagi yang tidak mengetahui, Dirty Coffee merupakan gabungan ringkas antara espresso panas yang dituangkan ke atas susu sejuk – menghasilkan lapisan menarik yang memukau dari segi visual dan rasa.

Asal Usul Dirty Coffee

Sebelum ini, terdapat perdebatan tentang asal-usul Dirty Coffee yang mana ramai percaya kopi ini pertama kali diperkenalkan di Tokyo oleh Katsuyuki Tanaka, pengasas Bear Pond Espresso, sekitar tahun 2010. Idea ini tercetus apabila seorang pelanggan berkongsi rasa kecewa dengan latte ais yang cair.

Dan kemudian, Katsuyuki Tanaka kemudiannya mencipta Dirty Coffee, menghilangkan ais tetapi mengekalkan suhu dingin susu dengan espresso panas di atasnya.

Untuk pengetahuan anda juga, pemilihan nama “Dirty Coffee” adalah kerana rupa espresso yang seolah-olah “mengotorkan” susu di dalam gelas. Teknik ini menghasilkan lapisan visual yang memukau dan tekstur rasa yang kompleks.

Apa Yang Membezakan Dirty Coffee Dengan Cafe Latte?

Dirty Coffee dan Cafe Latte mungkin nampak serupa kerana kedua-duanya menggabungkan espresso dan susu, tetapi terdapat beberapa perbezaan ketara yang membuatkan setiap minuman ini unik.

#1 Cara Penyediaan

  • Dirty Coffee – Disediakan dengan cara menuang espresso panas secara perlahan ke atas susu sejuk yang telah didinginkan tanpa dikacau (stir). Ini menghasilkan lapisan visual yang menarik, di mana espresso kelihatan seperti “mengotorkan” susu.
  • Cafe Latte – Espresso dicampur dengan susu panas yang telah dikukus (steamed), menghasilkan minuman homogen yang lebih lembut tanpa lapisan. Latte juga sering mempunyai seni lukisan menggunakan buih susu, menjadikannya lebih kepada pengalaman visual dan tekstur.

#2 Suhu dan Tekstur

  • Dirty Coffee – Memadukan suhu yang kontras, antara espresso panas dan susu sejuk.
  • Cafe Latte – Menampilkan tekstur lebih berkrim dan lembut kerana buih susu yang dikukus memberikan rasa yang licin.

#3 Rasa Kopi

  • Dirty Coffee – Espresso tidak dicampur terus dengan susu, jadi rasa kopi lebih dominan pada permulaan setiap hirupan.
  • Cafe Latte – Rasa espresso lebih lembut kerana bercampur sepenuhnya dengan susu. Ia lebih sesuai untuk mereka yang gemar kopi dengan rasa yang lebih ringan dan berkrim.

Jadi, jika anda berpeluang mencuba Dirty Coffee di mana-mana kafe, nikmatilah setiap lapisan dengan perlahan. Mungkin ia akan menjadi minuman kegemaran anda yang seterusnya.

Komen