Sabun Paling Mahal Di Dunia Diperbuat Daripada Lemak Liposuction – Dibida Pada Harga Mencecah RM50,000
Lina Rosli
Berapa banyak yang anda sanggup bayar untuk seketul sabun? RM2? RM5? Bagaimana pula jika harganya mencecah RM50,000 dan diperbuat daripada lemak hasil pembedahan kosmetik sedut lemak (liposuction) seorang bekas Perdana Menteri?
Perkara ini dikongsikan melalui Guinness World Records yang mana seorang artis Switzerland, Gianni Motti, menghasilkan sabun paling kontroversi di dunia menggunakan lemak yang disedut daripada bekas Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi.

Untuk pengetahuan anda, Berlusconi, yang pernah mengetuai tiga kerajaan Itali (1994–1995, 2001–2006, 2008–2011), dikenali sebagai tokoh politik penuh kontroversi.
Pada tahun 2004, beliau dikatakan menjalani rawatan pembedahan kosmetik di sebuah klinik di Lugano, Switzerland. Walaupun klinik tersebut menafikan dakwaan, seorang pekerja didakwa menyerahkan lemak tersebut kepada Gianni Motti, yang kemudiannya mengubahnya menjadi sebuah sabun berbentuk tradisional.
Sabun Ini Dihasilkan Sebagai Simbol Kritikan Sosial
Sabun ini dipamerkan buat kali pertama di Art Basel 2005, dengan nama “Mani Pulite” yang bermaksud tangan bersih. Nama ini adalah ironi terhadap kempen anti-rasuah Itali pada tahun 1990-an, yang bertujuan untuk membanteras amalan rasuah dalam kalangan ahli politik.
Motti menyatakan bahawa sabun biasanya diperbuat daripada lemak haiwan, dan idea mencipta sabun daripada lemak Berlusconi adalah sebagai sindiran tajam kepada isu kuasa, kekayaan dan korupsi politik.

Walaupun dijual pada harga kira-kira RM50,000 kepada pembida tanpa nama, sabun tersebut mendapat perhatian ramai pengunjung seni. Dalam masa sejam selepas pameran, ia telah dibeli.
Dan apa yang menarik perhatian, sabun tersebut dikatakan mempunyai bau yang kurang menyenangkan, seperti mentega rosak atau minyak masak lama, menyebabkan ia dipamerkan di bawah kaca pelindung sepanjang tempoh pameran.
Di acara tersebut, kira-kira lebih 50,000 pengunjung sempat melihat dan mempersoalkan mesej di sebalik karya seni ini sebelum ia dipindahkan ke koleksi peribadi.