Samsung Melancarkan Siri Samsung Galaxy S25 – Dijual Pada Harga Bermula RM3,999
Lina Rosli
Samsung baru sahaja melancarkan generasi terkini telefon mercu mereka, Samsung Galaxy S25 bersama dua model tambahan — Samsung Galaxy S25+ dan Samsung Galaxy S25 Ultra.
Apa yang menariknya, siri S25 kali ini menampilkan beberapa penambahbaikan dari aspek prestasi dan reka bentuk yang lebih premium.
Salah satu perbezaan yang ketara pada peranti ini adalah rekaan bahagian sisi dan skrin yang lebih rata, sementara bucu skrin telah dibulatkan dengan kemasan logam titanium yang memberikan rupa lebih premium.

Untuk bonggol kamera pula, Samsung Galaxy S25 Ultra hadir dengan gelang logam pada lensa yang diwarnakan hitam sepenuhnya – sebelum ini kemasan ini ditawarkan pada peranti Samsung Galaxy Z Flip6.
Seterusnya, untuk siri Samsung Galaxy S25, Samsung menggunakan Snapdragon 8 Elite for Galaxy, cip pemprosesan terkini yang menawarkan prestasi yang berkuasa. Dipadankan dengan 12GB RAM, peranti ini menjanjikan pengalaman penggunaan yang lebih lancar.
Mengenai bateri pula, model Samsung Galaxy S25 dilengkapi dengan bateri 4000 mAh, sementara Samsung Galaxy S25+ dengan 4900 mAh, dan Galaxy S25 Ultra dengan 5000 mAh. Semua model menyokong pengecasan pantas, di mana Galaxy S25 dan Galaxy S25+ menyokong pengecasan 25W, manakala Galaxy S25 Ultra menyokong pengecasan 45W. Jadi, anda tidak perlu risau tentang kehabisan bateri apabila menggunakan telefon ini seharian.

Bagi yang berminat, siri Galaxy S25 hadir dengan variasi pilihan storan – Galaxy S25 dan S25+ menawarkan 256GB dan 512GB, manakala Galaxy S25 Ultra memberikan pilihan storan yang lebih besar, iaitu 256GB, 512GB dan 1TB.
Lebih menarik, setiap model hadir dengan 7 pilihan warna yang menarik seperti Blueblack, Coralred, Pinkgold, Navy, Icyblue, Silver Shadow dan Mint untuk memberikan lebih banyak pilihan kepada pengguna.
S Pen Untuk Galaxy S25 Ultra
Salah satu ciri khas untuk Galaxy S25 Ultra ialah sokongan S Pen, yang memudahkan pengguna untuk mencatat nota, melukis atau melakukan aktiviti kreatif lain. Ini adalah ciri yang banyak dicari oleh pengguna yang mahukan pengalaman yang lebih berfungsi dan praktikal.
Untuk mendapatkan peranti ini, harga jualan yang ditawarkan adalah:
- Samsung Galaxy S25 (256GB) – RM3,999
- Samsung Galaxy S25 (512GB) – RM4,599
- Samsung Galaxy S25+ (256GB) – RM4,999
- Samsung Galaxy S25+ (512GB) – RM5,599
- Samsung Galaxy S25 Ultra (256GB) – RM5,999
- Samsung Galaxy S25 Ultra (512GB)RM6,599
- Samsung Galaxy S25 Ultra (1TB) – RM7,799
Untuk makluman, siri Galaxy S25 kini sudah boleh dipra-tempah sehingga 13 Februari 2025 dengan tawaran hadiah tambahan bernilai sehingga RM1,600.