Agoda Lancar Program Eco Deals 2025 – Menyokong Pemuliharaan Alam Dan Pelancongan Lestari

January 24, 2025
Hotel & Pelancongan

Lina Rosli

Sempena Forum Pelancongan ASEAN (ATF) di Malaysia, Agoda hadir dengan pelancaran program Eco Deals keempat mereka – yang memfokuskan kepada “Unity In Motion: Shaping ASEAN’s Tourism Tomorrow”.

Agoda menyasarkan usaha pemuliharaan alam sekitar yang lebih luas, sambil memperkukuh kerjasama dengan Tabung Alam Sedunia (WWF).

Apa yang membuatkan inisiatif ini istimewa adalah sasaran sumbangan program tahun ini meningkat kepada sekitar RM6.75 juta (USD 1.5 juta), yang mana pada tahun sebelumnya berjumlah sekitar RM4.5 juta yang telah dikumpul. Tidak hanya itu, Agoda turut memperluaskan kempen ini ke dua pasaran baharu, iaitu Jepun dan Korea, menjadikan keseluruhannya merangkumi 10 pasaran Asia.

Melalui Eco Deals, Agoda akan menyumbangkan USD 1 kepada WWF bagi setiap tempahan yang dibuat di hotel-hotel yang mengambil bahagian. Dana ini digunakan untuk menyokong pelbagai projek pemuliharaan, termasuk perlindungan burung spoonbill di Korea, pemulihan tanah lembap di Jepun, dan pemuliharaan harimau di Malaysia.

Eco Deals Dan Dana Pelancongan Lestari

Tahun ini juga menyaksikan pengenalan Dana Impak Pelancongan Lestari (Sustainable Tourism Impact Fund), hasil kolaborasi Agoda bersama WWF-Singapore dan UnTours Foundation. Dana ini dikhususkan untuk menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PMKS) dalam mengadaptasi amalan lestari dalam sektor pelancongan.

PMKS yang layak boleh memohon pembiayaan rendah faedah antara sekitar RM45,000 hingga RM112,500 untuk membangunkan inovasi lestari. Agoda turut memperuntukkan jumlah dana sekitar RM450,000 dengan potensi tambahan sehingga RM1,125,000 jika sasaran sumbangan tercapai.

Kemudahan Dan Ganjaran Untuk Para Pelancong

Untuk pelancong yang ingin menyertai inisiatif ini, program Eco Deals menawarkan diskaun sehingga 15% di hotel-hotel terpilih. Hotel-hotel yang menyertai program ini pula akan menerima lencana Eco Deals, yang meningkatkan keterlihatan mereka di pelbagai platform Agoda seperti media sosial, e-mel pelanggan, dan aplikasi mudah alih.

Dengan cara ini, Agoda bukan sahaja mendorong pelancongan mesra alam tetapi juga memberi peluang kepada pelancong untuk menyumbang kepada usaha pemuliharaan sambil menikmati diskaun penginapan.

Menurut Agoda juga, program Eco Deals bukan sekadar inisiatif tetapi menjadi platform penting untuk melindungi destinasi dan hidupan liar Asia. Dalam kerjasama dengan WWF, inisiatif ini berusaha memastikan generasi akan datang dapat menikmati keindahan dunia tanpa merosakkan ekosistemnya.

Malah Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia turut menyokong usaha ini, menyatakan bahawa inisiatif ini seiring dengan fokus Tahun Melawat Malaysia 2026 untuk memajukan kelestarian dalam industri pelancongan di rantau ASEAN.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd