Warna Kuning Telur Berbeza? Adakah Kuning Telur Yang Lebih Pekat Lebih Berkhasiat?

January 31, 2025
fakta menarik

Lina Rosli

Pernah tak anda perasan bahawa kuning telur tidak selalu berwarna sama? Ada yang pucat kekuningan, ada juga yang berwarna jingga pekat.

Sesetengah orang percaya bahawa kuning telur yang lebih pekat lebih berkhasiat, manakala yang lain menganggap ia sekadar perbezaan warna tanpa kesan kepada kandungan nutrisi. Jadi, mana satu yang betul?

Apa Yang Menentukan Warna Kuning Telur?

Menurut pakar pemakanan, warna kuning telur bergantung kepada diet ayam yang menghasilkannya. Jika ayam diberi makan jagung atau makanan yang kaya dengan pigmen tumbuhan seperti beta-karoten, kuning telur cenderung menjadi lebih jingga.

Sementara ayam yang dibesarkan dan dibela secara bebas dan makan serangga serta tumbuhan semula jadi juga cenderung menghasilkan telur dengan warna kuning yang lebih gelap. Faktor lain seperti umur dan kesihatan ayam serta musim juga boleh mempengaruhi warna kuning telur.

Namun, kuning telur yang pucat tidak bermakna ia kurang berkhasiat. Ia masih mengandungi protein, lemak sihat, vitamin dan mineral yang sama seperti telur dengan kuning yang lebih gelap. Perbezaannya lebih kepada kandungan pigmen, bukan nutrisi secara keseluruhan.

Adakah Kuning Telur Yang Lebih Gelap Lebih Berkhasiat?

Jawapannya, tidak semestinya. Walaupun ayam yang makan makanan lebih bervariasi boleh menghasilkan telur yang lebih kaya dengan nutrisi, warna kuning telur bukanlah penanda yang tepat kandungan zatnya.

Walaupun kuning telur jingga mungkin mengandungi lebih banyak karotenoid (yang baik untuk kesihatan mata), kuning telur yang lebih pucat masih mengandungi nutrisi penting seperti protein, lemak sihat, vitamin A, D, E, dan K, serta mineral seperti zat besi, kalsium, dan zink.

Bagaimana Memilih Telur Yang Paling Berkhasiat?

Jika anda ingin mendapatkan telur yang lebih berkualiti, ada beberapa perkara yang boleh anda pertimbangkan:

  1. Gred Telur – Telur dengan gred AA atau A mengikut piawaian USDA selalunya mempunyai kualiti lebih baik dari segi tekstur putih telur, kuning telur, dan keadaan cangkerangnya.
  2. Saiz Telur – Semakin besar telur, semakin banyak nutrisi yang terkandung di dalamnya. Jadi, jika anda mahukan lebih nilai untuk wang anda, pilih saiz yang lebih besar.
  3. Telur Kaya Omega-3 – Sesetengah telur diperkaya dengan omega-3 jika ayam diberi makanan tambahan seperti biji rami atau minyak ikan. Ini boleh menjadi pilihan baik jika anda kurang mengambil makanan sumber omega-3 seperti ikan salmon, kacang walnut, atau chia seed.

Tidak kira apa warna kuning telur, setiap telur tetap kaya dengan nutrisi yang baik untuk tubuh. Jika anda mahukan telur yang lebih sihat, beri perhatian kepada sumber telur tersebut dan jenis makanan yang diberikan kepada ayam. Yang paling penting, pastikan anda menikmati telur dengan cara yang seimbang dalam diet harian anda!

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd