Mengapa Fesyen ‘Quiet Luxury’ Mula Menggantikan Fenomena Logomania – Dalam Kalangan Jenama Mewah?

February 5, 2025
Fesyen

Lina Rosli

Sebagai seorang yang menggemari fesyen, pemilihan gaya-gaya harian adalah cukup penting bagi memastikan pakaian dan juga outfit yang digayakan tidak dimakan waktu.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, saya boleh katakan yang mana terdapat beberapa perubahan yang ketara telah berlaku di dalam industri fesyen – ini termasuklah berlakunya transisi penggayaan yang lebih menyerlah dan berani kepada gaya yang lebih tenang dan reserved.

Apa yang dimaksudkan menyerlah dan berani dan juga tenang dan reserved? Untuk pengetahuan anda, perkara ini merujuk kepada fesyen yang bersifat brand-centric yang mana jenama mewah menampilkan rekaan dengan visual logo yang cukup ketara – dan hampir keterlaluan.

Sementara fesyen yang berlawanan dengannya pula dipanggil understatement – yang mana untuk gaya ini, jenama menampilkan helaian pakaian dengan rekaan dan juga penampilan yang bersifat lebih abadi – boleh digunakan untuk tempoh yang lama.

Benarkah ‘Quiet Luxury’ Mula Menggantikan Logomania?

Dalam dunia fesyen, trend sentiasa berubah mengikut zaman. Jika dahulu sewaktu era ‘logomania’ di mana jenama meletakkan logo besar pada pakaian dan aksesori – dikatakan menjadi simbol status, kini ia semakin digantikan oleh fenomena ‘quiet luxury’ atau kemewahan minimalis.

Tahukah anda mengapa perubahan ini berlaku? Perkara ini sebenarnya didorong oleh beberapa faktor – sama ada berkait rapat dengan pilihan jenama ataupun permintaan daripada penggemar fesyen.

Salah satu sebab utama adalah perubahan selera pengguna yang semakin menghargai kualiti berbanding kuantiti. Jenama mewah seperti The Row ataupun Max Mara, tidak menampilkan logo besar, tetapi tetap eksklusif kerana material premium dan reka bentuk timeless mereka.

Ini berbeza dengan era logomania, di mana jenama seperti Gucci dan Louis Vuitton menonjol dengan cetakan monogram yang mudah dikenali.

Walau bagaimanapun, harus diingatkan bahawa walaupun idea dan penawaran logomania sudah kelihatan lama, ini tidak menjadikannya sesuatu idea yang lapuk. Masih terdapat ramai lagi peminat logomania yang kekal menggemari penampilan fesyen yang lebih statement – tidak kira sama ada pada pakaian mahupun beg tangan dan juga aksesori yang lain.

Selain itu, faktor ekonomi juga memainkan peranan. Quiet luxury lebih menekankan konsep pelaburan atau investment pieces yang mana pakaian atau aksesori yang tahan lama dan boleh dipakai bertahun-tahun tanpa kelihatan ketinggalan zaman. Ini sejajar dengan gelombang fesyen mampan atau fesyen lestari yang giat diperkenalkan kebanyakan jenama fesyen.

Melalui fenomena quiet luxury ini, kita dapat menjangkakan di mana pembeli lebih cenderung memilih barangan berkualiti yang tidak terpengaruh dengan trend sementara.

Industri Jam Juga Memperlihatkan Fenomena Quiet Luxury

Untuk pengetahuan anda juga, tidak hanya berlaku dalam kalangan jenama pakaian terkemuka, sebenarnya perkara ini turut sama berlaku di dalam industri pembuatan jam.

Sama seperti pakaian dan aksesori, jenama jam tangan juga mengalami peralihan daripada rekaan yang penuh dengan elemen yang vibrant kepada reka bentuk yang lebih sofiskated dan bersahaja.

Jika dahulu jenama seperti Rolex dan Hublot sering menjadi simbol status dengan reka bentuk besar dan logo ketara, kini ramai peminat jam lebih menghargai jenama yang fokus kepada kualiti pembuatan, warisan dan kehalusan seni tanpa keperluan menonjolkan jenama secara terang-terangan.

Antara jenama yang mengikut trend quiet luxury dalam dunia horologi ialah Ming Watch, Vacheron Constantin, dan Nomos Glasshuette. Jam mereka tidak dihiasi dengan logo besar atau reka bentuk berlebihan, tetapi menampilkan binaan berkualiti tinggi, rekaan jam yang minimalis dan penggunaan material premium yang hanya difahami oleh peminat horologi sejati.

Fenomena ini menunjukkan bahawa kemewahan sebenar tidak lagi diukur melalui keterlihatan jenama, tetapi melalui kehalusan seni, kualiti pembuatan dan pengalaman pemakaian yang eksklusif.

Quiet luxury bukan sekadar trend, tetapi satu refleksi cara pemikiran baharu tentang definisi kemewahan – seperti sut tanpa jenama ketara, beg tangan kulit tanpa logo besar dan aksesori yang hanya dikenali oleh mereka yang benar-benar faham dunia fesyen.

Namun, ini tidak bermakna logomania akan lenyap sepenuhnya. Sebaliknya, trend fesyen bergerak dalam kitaran. Ada masanya logo besar menjadi simbol status, dan ada ketikanya gaya minimalis lebih dihargai.

Adakah ini bermakna logomania akan kembali di masa depan? Seperti semua trend fesyen, ia mungkin akan mengalami kebangkitan semula – tetapi buat masa ini, quiet luxury sedang menguasai dunia fesyen moden.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd