Mengapa Baju Mudah Mengecut Setiap Kali Selepas Dicuci?
Lina Rosli
Pernahkah anda berada di dalam situasi yang mana terdapat sesetengah baju yang lepas dicuci beberapa kali, terus menjadi sendat atau pendek? Fenomena ini biasa berlaku, terutama bagi kain tertentu yang sensitif terhadap suhu dan cara cucian.
Jika anda menghadapi masalah ini, berikut adalah beberapa sebab utama yang membuatkan mengapa baju anda mudah mengecut.

#1 Jenis Fabrik yang Digunakan
Fabrik memainkan peranan besar dalam menentukan sama ada baju akan mengecut atau tidak. Baju yang diperbuat daripada kapas (cotton), bulu (wool), rayon dan linen lebih cenderung untuk mengecut kerana seratnya mudah berubah apabila terkena air dan haba.
Ini kerana fabrik semula jadi mempunyai struktur serat yang menyerap kelembapan dan mudah mengembang apabila direndam dalam air. Apabila air dikeluarkan semasa proses pengeringan, serat ini mengecut kembali – sekaligus menyebabkan perubahan saiz pada pakaian.

Sebaliknya, fabrik sintetik seperti poliester, nilon dan spandeks mempunyai ketahanan yang lebih tinggi terhadap perubahan bentuk kerana seratnya diperbuat daripada bahan kimia yang tidak mudah menyerap air atau mengembang dengan ketara.
Oleh itu, pakaian yang diperbuat daripada fabrik sintetik cenderung mengekalkan bentuk asalnya walaupun selepas beberapa kali dicuci. Walau bagaimanapun, fabrik sintetik mungkin mempunyai kelemahan dari segi keselesaan dan kebolehtelapan udara berbanding fabrik semula jadi.
#2 Penggunaan Air Panas Semasa Mencuci
Air panas boleh menyebabkan serat kain mengendur dan mengecut dengan cepat, terutama bagi bahan semula jadi seperti kapas dan bulu. Ini kerana haba yang tinggi akan melemahkan struktur serat dan menyebabkan fabrik kehilangan bentuk asalnya dengan lebih cepat. Proses ini dikenali sebagai pengecutan haba, yang sering terjadi apabila pakaian dicuci pada suhu melebihi had yang disarankan.
Jika dilakukan secara berulang kali, pakaian bukan sahaja menjadi lebih kecil tetapi juga boleh menjadi kurang selesa dipakai kerana teksturnya berubah.
Oleh itu, lebih baik gunakan air sejuk atau suam untuk mencuci pakaian agar bentuknya kekal seperti asal. Selain itu, pastikan anda merujuk kepada label pencucian pada pakaian untuk mengetahui suhu air yang sesuai dan mengelakkan sebarang kerosakan.

#3 Teknik Pengeringan Yang Tidak Sesuai
Mengeringkan pakaian dengan suhu tinggi dalam mesin pengering boleh menjadi punca utama kain mengecut. Hal ini kerana, haba yang berlebihan boleh mengecutkan serat kain, terutama bagi fabrik yang sensitif.
Sebaiknya, jemur pakaian secara semula jadi atau gunakan mod pengeringan dengan suhu rendah.
#4 Putaran Mesin Basuh Yang Terlalu Laju
Putaran yang terlalu kuat boleh memberi tekanan pada serat kain, menyebabkan ia mengecut lebih cepat. Untuk mengelakkan perkara ini, pilih mod basuhan lembut (delicate wash) jika ada, terutama untuk pakaian yang dibuat daripada kain mudah mengecut.
#5 Kualiti dan Proses Pembuatan Pakaian
Sesetengah pakaian yang tidak menjalani proses pra-pencucian (pre-shrunk) lebih mudah mengecut selepas dicuci buat kali pertama.
Oleh yang demikian, sekiranya anda membeli pakaian baru, pastikan anda periksa label dan lihat sama ada fabrik telah melalui rawatan khas untuk mengelakkan pengecutan ataupun sebaliknya.

Bagaimana Nak Elakkan Pakaian Mengecut?
Terdapat beberapa tips yang boleh anda praktikkan untuk mengelakkan pakaian baharu anda menjadi sendat dan kecut. Antaranya adalah:
- Gunakan air sejuk atau suam semasa mencuci.
- Elakkan mesin pengering atau gunakan mod suhu rendah.
- Jemur pakaian secara semula jadi di tempat teduh.
- Pilih mod basuhan lembut jika menggunakan mesin basuh.
- Periksa label pakaian sebelum mencuci untuk mengetahui arahan penjagaan yang betul.
Jika pakaian kegemaran anda sudah terlanjur mengecut, ada beberapa cara untuk mengembalikannya ke bentuk asal, seperti merendamnya dalam air suam yang dicampur dengan perapi rambut (conditioner) sebelum perlahan-lahan meregangkan kain ke saiz asal.
Jadi, lepas ni, pastikan anda lebih berhati-hati dalam mencuci pakaian supaya ia kekal cantik dan selesa dipakai.