Tahukah Anda Dari Mana Datangnya Panggilan ‘Kembar Siam’ – Mengapa Panggilan Ini Digunakan Secara Meluas?
Lina Rosli
Untuk pengetahuan anda, kejadian kembar boleh berlaku apabila dua telur yang berasingan disenyawakan di dalam rahim atau apabila satu telur yang disenyawakan berpecah kepada dua embrio.
Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), mempunyai anak kembar kini sudah menjadi satu kebiasaan berbanding dahulu. Bukan itu sahaja, kadar kelahiran kembar juga turut meningkat hampir dua kali ganda dalam tempoh 40 tahun yang lalu.

Selain itu, berdasarkan laporan oleh Ketua Perangkawan Malaysia, pada tahun 2019, kadar kelahiran kembar dua mencatatkan 7,862 bayi sementara 144 bayi adalah kembar tiga.
Tahukah Anda Jenis-Jenis Kembar Di Dunia?
Di dunia, terdapat dua jenis kembar yang boleh anda temui iaitu:
- Kembar seiras: Kehamilan jenis ini berlaku apabila telur yang disenyawakan berpecah kepada dua embrio yang berasingan. Embrio ini adalah monozigotik, yang bermaksud bahawa mereka mempunyai gen yang sama. Kembar seiras biasanya hadir dalam jantina yang sama dan kelihatan sangat serupa dan turut dikenali sebagai kembar siam.
- Kembar bukan seiras: Kehamilan jenis ini berlaku apabila terdapat dua telur dalam rahim pada masa persenyawaan, dan sperma menyuburkan kedua-duanya. Embrio ini adalah dizigotik, yang bermaksud mereka tidak mempunyai gen yang sama dan mungkin tidak menampilkan jantina yang sama.
Dari Mana Asalnya Nama Kembar Siam?
Bagi yang tidak mengetahui, kisah kembar siam pertama di dunia berlaku di Thailand yang pada ketika itu dikenali sebagai Siam.
Kembar ini menampilkan pasangan bayi lelaki seiras yang bernama Eng dan Chang Bunker yang lahir pada 11 Mei 1811. Pada masa kelahiran, pasangan kembar ini dilihat berkongsi bahagian hati yang sama.
Untuk pengetahuan anda, kelahiran kembar siam adalah sangat jarang berlaku dan sukar untuk bertahan lama. Oleh kerana itu, kembar siam Eng dan Chang dipandang sebagai ‘makhluk aneh’ oleh penduduk setempat.
Disebabkan itu, menjelang tahun 1829, jalan hidup si kembar siam berubah setelah bertemu dengan Robert Hunter yang merupakan seorang pedagang Skotland.

Beliau mengambil Eng dan Chang pada harga 500 dolar untuk menjadi ahli sarkas. Robert Hunter mendapati pasangan kembar ini terlihat cerdas dan pandai menghiburkan penonton dengan melakukan acara seperti akrobat, bermain catur serta mengangkat lelaki seberat 130 kilogram. Sejak dari itu, Eng dan Chang mula menetap di Amerika Syarikat.
Jadi, kelahiran Eng dan Chang telah menjadi titik mula kepada istilah kembar siam. Walaupun sebenarnya mereka berdua bukanlah kembar bercantuk (cojoined twin) yang pertama, namun populariti Eng dan Chang telah menjadikan kelahiran kembar ini dikenali di seluruh dunia.
Sebelum Eng dan Chang, sebenarnya telah lahirnya sepasang kembar yang bercantum di England pada abad ke-12, iaitu Mary dan Eliza Chuklhurst.
Apa Kata Pakar Perubatan Mengenai Keadaan Eng Dan Chang?
Semasa perjalanan mereka ke Amerika Syarikat, kondisi Eng dan Chang telah menarik perhatian ramai pakar perubatan.
Pakar perubatan telah membuat percubaan ke atas kembar itu sama ada untuk mengesahkan bahawa adik-beradik itu bercantum dan turut menentukan apa bahagian yang dikongsi antara kembar itu.

Pelbagai eksperimen termasuk ujian telah dilaksanakan bagi menentukan sama ada sistem saraf kembar tersambung antara satu sama lain kerana jika dilihat secara kasar, badan kedua-dua individu ini terpisah sepenuhnya tetapi terdapat bahagian yang tersambung iaitu di kawasan dada sehingga perut yang panjangnya sekitar 4-inci.
Menurut pakar juga, pasangan kembar Eng dan Chang perlu kerap melawat dan mendapatkan rawatan di hospital sehingga mereka berusia lebih enam puluh tahun. Hal ini kerana, mereka perlu mencari jalan bagi melakukan pembedahan dan pemisahan organ, kerana mereka takut apa yang akan berlaku jika salah seorang daripada mereka meninggal dunia.
Chang Bunker meninggal dunia pada 17 Januari 1874, akibat pembekuan darah serebral dan abangnya Eng Bunker meninggal dunia tiga jam kemudian. Selepas kematian mereka, seorang profesor di Pennsylvania, Harrison Allen, melakukan bedah siasat ke atas Chang dan Eng.
Allen meneliti secara terperinci hubungan fizikal antara kembar, termasuk panjang, sudut, dan bahan tisu penghubung yang menyatukan kembar itu. Dia mendapati semasa bedah siasat bahawa setiap saudara mempunyai organ mereka sendiri, tetapi mereka berkongsi satu hati yang bersatu.