Posisi Tidur Pada Waktu Malam Boleh Menentukan Emosi Pagi Anda

February 12, 2025
Penjagaan Diri

Lina Rosli

Tidur yang berkualiti bukan sahaja penting untuk kesihatan fizikal tetapi juga memberi kesan kepada emosi dan produktiviti sepanjang hari. Salah satu faktor utama yang mempengaruhi kualiti tidur ialah posisi tidur.

Jika anda sering bangun dalam keadaan lesu atau mudah marah, mungkin sudah tiba masanya untuk menilai semula cara anda tidur.

Bagaimana Gaya Tidur Mempengaruhi Suasana Hati Dan Emosi?

Tidur dalam posisi yang tidak selesa boleh menyebabkan tekanan pada otot dan sendi, mengakibatkan sakit leher atau sakit belakang apabila bangun. Ini bukan sahaja membuatkan tubuh terasa tidak selesa tetapi juga boleh menyebabkan keletihan mental.

Kajian menunjukkan bahawa tidur dalam keadaan tekanan boleh meningkatkan tahap kortisol, iaitu hormon yang menyebabkan kesan negatif terhadap emosi.

Selain itu, tidur dalam keadaan yang tidak betul juga boleh mengganggu kitaran tidur. Jika tidur anda sering terganggu, tubuh tidak dapat melalui fasa tidur yang mendalam, menyebabkan anda bangun dengan perasaan tidak segar. Ini boleh memberi kesan kepada daya tumpuan dan keupayaan membuat keputusan sepanjang hari.

Tips Untuk Tidur Dengan Lebih Selesa

  1. Pilih Bantal Yang Sesuai – Gunakan bantal yang menyokong kepala dan leher dengan baik untuk mengelakkan ketegangan otot.
  2. Cari Posisi Tidur Yang Betul – Posisi terbaik untuk tidur adalah mengiring dengan lutut sedikit dibengkokkan atau terlentang dengan bantal di bawah lutut untuk menyokong tulang belakang.
  3. Kurangkan Cahaya Biru Sebelum Tidur – Skrin telefon dan komputer boleh mengganggu penghasilan melatonin, hormon yang membantu tidur. Oleh itu, cuba elakkan penggunaan peranti sekurang-kurangnya 30 minit sebelum tidur.
  4. Kekalkan Suhu Bilik Yang Selesa – Tidur dalam persekitaran yang terlalu panas atau terlalu sejuk boleh mengganggu kualiti tidur. Jadinya, pastikan bilik mempunyai pengudaraan yang baik.
  5. Tenangkan Fikiran Sebelum Tidur – Lakukan aktiviti yang menenangkan seperti membaca buku, mendengar muzik yang menenangkan atau melakukan teknik pernafasan bagi mengurangkan stres sebelum tidur.

Tidur yang berkualiti bukan sekadar soal tempoh masa tetapi juga melibatkan cara dan persekitaran tidur. Dengan memperbaiki gaya tidur, anda bukan sahaja dapat bangun dengan lebih segar tetapi juga meningkatkan suasana hati, emosi dan prestasi harian.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd