Ulasan Samsung Galaxy S25 Ultra – Raikan Momen Istimewa Dengan Yang Tersayang

February 27, 2025
Gajet Dan Teknologi

Lina Rosli

Pengalaman saya menggunakan Samsung Galaxy S25 Ultra telah membawa saya ke tempat-tempat yang penuh kenangan. Dari merakam momen-momen istimewa dengan orang tersayang, hingga menerokai keindahan bandar Ipoh yang kaya dengan sejarah dan budaya, Samsung Galaxy S25 Ultra benar-benar memenuhi jangkaan saya dalam merakam dan menyimpan segala detik berharga.

Jika anda ingin tahu, apakah yang menarik yang ditawarkan pada Samsung Galaxy S25 Ultra ini, jom terokai pengalaman saya sepanjang menggunakan telefon pintar ini – menerusi artikel ulasan peranti ini.

Menerokai Keindahan Bandar Ipoh dengan Samsung Galaxy S25 Ultra

Salah satu pengalaman paling menarik yang saya alami dengan Galaxy S25 Ultra adalah ketika saya menjelajah bandar Ipoh. Bandar ini terkenal dengan seni bina bandarnya yang klasik – serta suasana estetik yang sesuai untuk anda yang menggemari lokasi yang sesuai untuk OOTD.

Saya memulakan perjalanan saya dengan melawat bandar lama Ipoh – terletaknya binaan kedai-kedai lama yang menarik. Lokasi pertama yang saya kunjungi pastilah Muzium Yasmin Ahmad yang memperlihatkan karya-karya ikonik beliau sewaktu zaman awal 2000-an.

Disebabkan muzium ini terletak di dalam kedai buku BooXcess dalam ruang ini, saya dapat mengambil gambar dengan lebih banyak perincian, tanpa terlepas pandang setiap sudut menarik di sepanjang jalan.

Gambar-gambar ini tidak hanya tajam tetapi juga penuh dengan warna, yang memberi saya pengalaman merakam yang lebih kaya dan lebih mendalam. Dengan kamera ini, saya dapat menangkap setiap aspek bandar dari jalan-jalan yang sibuk hingga ke pemandangan menakjubkan di luar kawasan bandar.

Di satu sudut bandar, saya berhenti sejenak di Concubine Lane, sebuah lorong yang terkenal dengan kedai-kedai seni dan kafe bersejarah. Dengan fungsi gambar motion, saya mengambil gambar beberapa kawan yang sedang menikmati minuman sambil duduk di luar kafe.

Fungsi ini membolehkan saya menambah elemen dinamik pada gambar, memberi kesan pergerakan yang lebih hidup, yang sangat sesuai dengan suasana sibuk di sekitar saya. Tidak hanya gambar biasa, tetapi ia memberikan karakter tambahan pada gambar yang saya rakam.

Merakam Video dengan Kualiti Profesional

Selain gambar, saya juga tidak mahu terlepas untuk merakam video menggunakan fungsi log video Galaxy S25 Ultra.

Selepas penat berjalan di Concubine Lane, saya berhenti sejenak di sebuah kedai dimsum yang terkenal di Ipoh iaitu di Hibiscus Cruisine yang terletak berdekatan dengan Gerbang Malam Pasar Karat Ipoh.

Rakaman video sinematik dapat diambil sewaktu menikmati juadah enak bersama keluarga. Kualiti 8K video memberikan hasil yang sangat mengagumkan. Saya dapat merakam momen makan yang menarik – lebih-lebih lagi dan suasana sekitar dengan sangat jelas, tanpa sebarang masalah kabur walaupun ketika persekitarannya agak sibuk.

Menariknya, video yang saya rakamkan juga tidak terganggu dengan pergerakan saya, kerana stabilisasi imej Galaxy S25 Ultra memastikan setiap video tetap lancar, walaupun saya merakamnya sambil berjalan.

Ini memberi saya pengalaman yang sangat profesional dalam menghasilkan video dengan hanya menggunakan telefon pintar. Saya sangat teruja dengan kualiti video yang tinggi, yang membolehkan saya berkongsi setiap detik perjalanan saya di Ipoh tanpa perlu menggunakan alat tambahan seperti gimbal.

Merakam Momen Istimewa Bersama Yang Tersayang

Selain merakam gambar pemandangan dan seni bina, Galaxy S25 Ultra juga digunakan untuk merakam momen-momen istimewa bersama keluarga dan rakan-rakan.

Tidak ketinggalan juga, sewaktu sambutan Tahun Baharu Cina, saya sempat merakam beberapa momen-momen indah sewaktu pesta bunga api berlangsung di kawasan kediaman rumah saya.

Dengan menggunakan zum optikal 5x, saya dapat merakamkan bait-bait istimewa bunga api di langit yang gelap. Hasil gambar yang dikongsikan ini menunjukkan akan kejituan rakaman selain turut memberikan butiran warna yang menarik.

Seperti yang aktif dibincangkan di media sosial, salah satu ciri utama pada Samsung Galaxy S25 Ultra ialah kemampuan kecerdasan buatan (AI) yang lebih cerdas dan bijak. Teknologi kecerdasan buatan yang ditawarkan bukan sahaja memahami konteks dan keperluan pengguna, tetapi juga mengendalikan pelbagai jenis input seperti teks, suara, imej dan video.

Dengan ini, ia membolehkan pengguna berinteraksi dengan peranti mereka secara lebih semula jadi dan intuitif. Contohnya, dengan ciri Circle to Search, pengguna boleh mencari maklumat dengan pantas, selain terdapat juga ciri pintar lain seperti Photo Assist, Drawing Assist, Audio Eraser dan banyak lagi.

Bateri Dengan Kapasiti Ketahanan Yang Dipertingkatkan

Satu lagi perkara yang menjadikan Samsung Galaxy S25 Ultra ini sesuai untuk anda yang kerap bercuti adalah penawaran bateri yang lebih besar iaitu sebanyak 5000mAh – sekaligus memberikan ketahanan yang sangat baik.

Pengguna tidak perlu risau akan hayat bateri kerana boleh digunakan sehingga lebih daripada 10 jam dengan kadar kesegaran suai didayakan dan lebih dari 12 jam dengan kadar penyegaran standard.

Untuk penggunaan biasa, penulis sekadar membuka aplikasi media sosial, merakam dan menyunting gambar, menatal produk menarik di Shopee dan juga bermain permainan mudah-alih, ia sudah mencukupi dan tidak perlu mengecas terlalu kerap.

Dari segi pengalaman pengecasannya juga memuaskan kerana ia menawarkan sokongan untuk pengecasan berwayar 25W. Ini memastikan bahawa saya tidak perlu menunggu lama untuk mengecas telefon

Adakah Samsung Galaxy S25 Ultra Teman Setia Anda Dalam Merakam Momen Istimewa?

Secara keseluruhan, Samsung Galaxy S25 Ultra telah membuktikan dirinya bukan sekadar telefon pintar biasa, tetapi satu alat yang membolehkan saya merakam setiap momen penting dalam kehidupan dengan cara yang luar biasa.

Dari merayakan hari lahir, bercuti, hingga menjelajah bandar Ipoh yang penuh dengan sejarah dan budaya, Samsung Galaxy S25 Ultra memberikan saya kebebasan untuk merakam dan berkongsi kenangan-kenangan yang tidak ternilai.

Peranti ini dilengkapi dengan pelbagai ciri-ciri canggih seperti kamera utama 200MP, fungsi gambar motion, zoom optikal dan log video.

Sebagai seorang yang gemar merakam momen-momen istimewa, saya merasakan Samsung Galaxy S25 Ultra sangat berguna dalam setiap perjalanan dan aktiviti saya. Bukan sahaja kualiti gambar dan video yang mengagumkan, tetapi kemudahan dan kefleksibelan telefon ini memastikan setiap detik yang dirakam akan terus hidup dalam memori saya, sentiasa siap untuk dikongsi dan dinikmati.

Untuk mendapatkan peranti ini, harga jualan yang ditawarkan adalah:

  • Samsung Galaxy S25 (256GB) – RM3,999
  • Samsung Galaxy S25 (512GB) – RM4,599
  • Samsung Galaxy S25+ (256GB) – RM4,999
  • Samsung Galaxy S25+ (512GB) – RM5,599
  • Samsung Galaxy S25 Ultra (256GB) – RM5,999
  • Samsung Galaxy S25 Ultra (512GB)RM6,599
  • Samsung Galaxy S25 Ultra (1TB) – RM7,799

Bagi yang berminat, siri Galaxy S25 hadir dengan variasi pilihan storan – Galaxy S25 dan S25+ menawarkan 256GB dan 512GB, manakala Galaxy S25 Ultra memberikan pilihan storan yang lebih besar, iaitu 256GB, 512GB dan 1TB.

Lebih menarik, setiap model hadir dengan 7 pilihan warna yang menarik seperti Blueblack, Coralred, Pinkgold, Navy, Icyblue, Silver Shadow dan Mint untuk memberikan lebih banyak pilihan kepada pengguna.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd