Kosmetik “Boleh Dimakan” – Gimik Pemasaran Yang Boleh Membahayakan Kesihatan?
Lina Rosli
Trend kecantikan semakin berkembang dengan pelbagai inovasi yang menarik perhatian pengguna. Namun, tidak semua inovasi ini selamat.
Baru-baru ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil tindakan terhadap iklan kosmetik yang mendakwa produk mereka sebagai “boleh dimakan.” Isu ini menimbulkan kebimbangan mengenai etika pemasaran, keselamatan pengguna dan keperluan penguatkuasaan peraturan yang lebih ketat.

Bahaya Kosmetik Yang Dikatakan “Boleh Dimakan”
Kosmetik diformulasikan khusus untuk kegunaan luaran bagi membersih, mencantikkan atau mengubah penampilan kulit, rambut dan kuku. Ia tidak direka untuk dimakan.
Namun, dengan taktik pemasaran yang mengelirukan, istilah seperti “kosmetik boleh dimakan” mula mengaburkan perbezaan antara produk kecantikan dan suplemen pemakanan.
Bahan dalam kosmetik sering mengandungi bahan kimia, pengawet dan bahan aktif yang hanya selamat digunakan pada kulit tetapi boleh menjadi toksik jika ditelan.
Contohnya, produk penjagaan kulit yang mengandungi asid untuk eksfoliasi dan rawatan jerawat boleh menyebabkan kerengsaan serius atau keracunan jika diambil secara oral. Begitu juga, bahan aktif dalam pelindung matahari seperti oxybenzone dan avobenzone telah dikaitkan dengan gangguan hormon serta risiko kanser jika diserap dalam jumlah tinggi.
Penggunaan oksida logam dan pengawet dalam kosmetik juga boleh membawa kepada masalah pencernaan, kerosakan organ atau komplikasi kesihatan jangka panjang.

Walaupun ada produk yang mendakwa mengandungi bahan “gred makanan,” ia tetap tidak menjalani ujian toksikologi atau mendapat kelulusan untuk dimakan. Justeru, dakwaan ini boleh mengelirukan pengguna dan membawa risiko kesihatan yang serius.
Dalam era media sosial, penyebaran maklumat yang salah semakin berleluasa, menjadikan pengguna lebih mudah terpedaya dengan iklan yang tidak berasaskan fakta saintifik.
Langkah-Langkah Melindungi Kesihatan Pengguna
KKM dan Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA) telah bertindak terhadap pemasaran kosmetik yang mengelirukan.
Di bawah peraturan Malaysia, produk kosmetik hanya untuk kegunaan luaran, dan sebarang iklan yang mencadangkan penggunaan dalaman melanggar garis panduan rasmi. Tindakan NPRA yang membatalkan notifikasi produk daripada syarikat yang menggunakan dakwaan mengelirukan ini adalah mesej jelas bahawa pematuhan kepada peraturan keselamatan dan pelabelan adalah wajib.
Pengguna juga mempunyai peranan dalam memastikan mereka tidak terpedaya dengan produk yang berisiko. Caranya:
- Periksa label produk. Jika terdapat dakwaan bahawa kosmetik boleh dimakan, itu adalah tanda amaran.
- Pastikan produk yang dibeli sah dan mempunyai sijil dan notifikasi daripada NPRA, yang boleh disemak melalui sistem QUEST.
- Produk yang mendakwa meningkatkan kesihatan kulit melalui pengambilan oral seharusnya diklasifikasikan sebagai suplemen pemakanan dan dikawal selia secara berasingan oleh KKM.

Penting juga bagi pengguna untuk mengenali bahan-bahan yang biasa digunakan dalam kosmetik dan memahami tujuan penggunaannya. Jika ragu-ragu, dapatkan nasihat daripada pakar dermatologi atau ahli farmasi. Sekiranya menemui iklan yang mencurigakan, laporkan kepada NPRA atau KKM untuk tindakan lanjut.
Berhati-hati dengan Dakwaan “Magik” dalam Produk Kecantikan
Dalam dunia digital yang penuh dengan iklan keterlaluan, penting bagi pengguna untuk mengutamakan maklumat yang berasaskan bukti saintifik daripada sekadar mempercayai trend viral. Produk yang menjanjikan kesan luar biasa tanpa bukti kukuh patut dielakkan.
KKM dan NPRA memainkan peranan penting dalam memastikan industri kosmetik mematuhi piawaian keselamatan. Namun, pengguna juga perlu lebih peka dalam menilai dakwaan produk kecantikan. Keselamatan harus sentiasa diutamakan, kerana tiada produk kecantikan yang berbaloi jika ia mengorbankan kesihatan. Amalkan sikap pengguna yang bijak dan bertanggungjawab dalam memilih produk penjagaan diri.
Artikel ini ditulis oleh Dr Chu Chee-Chin, Pensyarah di Sekolah Farmasi, Fakulti Sains Kesihatan dan Perubatan, Taylor’s University.