Hari Buah Pinggang Sedunia 2025 – Pentingnya Pengesanan Awal Demi Kelangsungan Kesihatan

February 25, 2025
Kesihatan

Lina Rosli

Dalam menyambut Hari Buah Pinggang Sedunia 2025, Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia (NKF) bersama Persatuan Nefrologi Malaysia (MSN) telah menganjurkan forum istimewa – Hidup Sihat dengan Penyakit Buah Pinggang Kronik (CKD) Memperkasa Pengetahuan & Sokongan Komuniti.

Bertemakan “Are Your Kidneys OK? Detect Early, Protect Kidney Health”, forum ini menampilkan dua sesi utama yang menekankan kepentingan pengesanan awal dan strategi pencegahan CKD.

Menurut Prof. Dr. Lim Soo Kun, Presiden MSN, penyakit buah pinggang kronik semakin meningkat di Malaysia dan pengesanan awal adalah kunci dalam mengawal penyakit ini. Antara langkah yang disarankan termasuk:

  • Pemeriksaan kesihatan berkala (ujian air kencing dan darah)
  • Mengamalkan diet mesra buah pinggang (mengurangkan garam dan makanan diproses)
  • Kekal terhidrasi dan aktif secara fizikal
  • Mengawal diabetes dan tekanan darah tinggi

Usaha Berterusan dalam Meningkatkan Kesedaran CKD

Bagi memperluaskan kesedaran mengenai CKD, MSN akan menganjurkan 35 siri Combat CKD Roadshow di seluruh negara yang memberi tumpuan kepada pendidikan profesional kesihatan. NKF juga akan melancarkan podsiar dan bekerjasama dengan stesen radio bagi menyampaikan mesej kesihatan buah pinggang kepada lebih ramai rakyat Malaysia.

Selain itu, NKF turut menampilkan VoKAL (Voice-out Kidney Alliance), sebuah kumpulan sokongan nasional yang menghimpunkan pesakit CKD untuk berkongsi pengalaman, meningkatkan kesedaran dan mempengaruhi polisi kesihatan berkaitan penyakit buah pinggang.

Tidak hanya itu, NKF turut menyeru rakyat Malaysia untuk mengambil tindakan proaktif dalam menjaga kesihatan buah pinggang mereka dengan menjalani saringan berkala dan mengamalkan gaya hidup sihat. CKD sering kali menjadi penyakit senyap yang hanya dikesan pada peringkat akhir, menjadikan pengesanan awal sebagai langkah terbaik dalam pencegahan.

Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif NKF, layari www.nkf.org.my atau ikuti NKF di media sosial bagi mendapatkan kemas kini mengenai program kesihatan akan datang.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd