Xiaomi 15 – Teman Fotografi Untuk Gen Kini
Lina Rosli
Sebagai seorang yang gemar fotografi, mencari telefon pintar yang mampu memenuhi keperluan saya bukanlah sesuatu yang mudah.
Saya mahukan sesuatu yang lebih daripada sekadar kamera beresolusi tinggi – saya perlukan peranti yang boleh menangkap detik-detik berharga dengan warna yang hidup, pencahayaan yang seimbang, dan perincian yang tajam.


Baru-baru ini, Xiaomi baru sahaja melancarkan telefon pintar baharu yang menawarkan spesifikasi yang saya inginkan – iaitu Xiaomi 15.
Dan jujur, saya jatuh cinta dengan peranti ini sejak kali pertama menggunakannya. Reka bentuknya yang elegan, sistem kamera yang mengujakan, dan keupayaan AI yang canggih menjadikan pengalaman fotografi saya lebih menyeronokkan.
Tambahan pula, dengan ciri-ciri baharu yang telah dikemaskini, Xiaomi 15 membuktikan bahawa ia bukan sekadar telefon pintar biasa.

Reka Bentuk Yang Bergaya Dan Selesa Di Tangan
Perkara pertama yang menarik perhatian saya adalah reka bentuknya. Xiaomi 15 mempunyai kemasan belakang matte yang memberi sentuhan premium tanpa mudah meninggalkan kesan cap jari.
Reka bentuknya yang kompak memudahkan saya menggenggam telefon ini dengan satu tangan, menjadikannya sesuai untuk sesi fotografi spontan tanpa perlu risau terjatuh atau tergelincir dari genggaman.

Saya masih ingat kali pertama membawa Xiaomi 15 ke kafe hujung minggu lalu. Saya memilih tempat duduk berhampiran sudut dengan pencahayaan semula jadi – sesuai untuk menguji keupayaan kamera peranti ini. Dengan mod AI dan HDR yang diaktifkan, saya mengambil beberapa gambar pemanis mulut dan juga suasana kafe yang estetik. Warna kelihatan lebih hidup, dengan keseimbangan cahaya yang baik.

Setelah mencuba beberapa sudut dan pencahayaan berbeza, saya menilai hasil gambar pada skrin AMOLED Xiaomi 15 – terang, tajam dan penuh butiran.
Jika dinilai, saya akan beri 4.5/5 untuk kejelasan gambar dan 4/5 untuk ketepatan warna. Satu-satunya kekurangan kecil adalah sedikit overexposure jika cahaya terlalu kuat, tetapi boleh diperbaiki dengan mod manual. Secara keseluruhan, kamera Xiaomi 15 memang sesuai untuk sesi fotografi kasual di kafe.




Kamera Leica Yang Mengagumkan
Sebagai seseorang yang sering mengambil gambar makanan, landskap dan potret, saya sangat teruja dengan keupayaan kamera Xiaomi 15. Dilengkapi dengan kamera utama 50MP yang menggunakan lensa Leica Summilux, gambar yang dihasilkan sangat tajam dengan warna yang seimbang.

Selepas makan, saya juga sempat mencuba pelbagai mod fotografi, termasuk mod potret, yang memberikan efek bokeh yang lebih semula jadi dan profesional. Fokus pada subjek sangat tajam, sementara latar belakang dikaburkan dengan kemasan yang kelihatan lebih organik, seolah-olah diambil menggunakan kamera DSLR.
Saya turut mencuba mod ini untuk menangkap gambar pemanis mulut yang telah dipesan. Anggur Shine Muscat yang tersusun di atas kek bukan sekadar kelihatan segar, malah setiap butiran kecil pada permukaannya terakam dengan sempurna.


Warna hijau terang buah itu tidak pudar, dan pantulan cahaya menjadikannya kelihatan lebih hidup. Sama ada detik pantas atau keindahan perincian kecil, Xiaomi 15 membuktikan keupayaannya dalam setiap tangkapan.
Pengalaman Menangkap Gambar Menggunakan Fungsi Fastshot
Selain itu, saya turut menguji fungsi Fastshot sewaktu berada di dalam kafe, merakam gambar potret bersama makanan – menggunakan pratetap yang telah diuji dan disimpan.
Dari segi prestasi, ciri ini sangat membantu bagi sesiapa yang suka menangkap momen spontan, terutama dalam variasi jenis suasana sama ada di persekitaran banyak cahaya mahupun kurang cahaya. Saya memberikan 4.7/5 untuk kemudahan pratetap ini.


Satu lagi ciri menarik yang saya gemari ialah Dynamic Shot, yang membolehkan saya menangkap objek bergerak dengan lebih jelas tanpa kesan kabur. Saya mencubanya di dalam kafe, merakam aksi spontan dalam ketika menikmati makanan.

Kehebatan Kamera Telefoto untuk Close-Up dan Makro
Selain kamera utama, Xiaomi 15 juga dilengkapi dengan kamera telefoto 50MP, yang membolehkan saya mengambil gambar dari jauh tanpa kehilangan butiran. Saya mencubanya untuk merakam hiasan dinding di sudut kafe yang agak jauh dari tempat duduk saya, dan hasilnya sangat mengagumkan.
Saya juga menguji kamera telefoto ini di luar kafe, merakam bangunan di seberang jalan. Dengan zoom optik, gambar kekal jelas tanpa kehilangan warna atau ketajaman. Malah, dalam keadaan pencahayaan rendah, kamera ini masih mampu mengekalkan perincian dengan baik, walaupun ada sedikit noise jika menggunakan zoom digital yang lebih tinggi.


Jika dinilai, saya memberikan 4.5/5 untuk ketajaman imej dan 4/5 untuk prestasi dalam cahaya rendah. Bagi mereka yang suka mengambil gambar dari jarak jauh tanpa menjejaskan kualiti, kamera telefoto pada Xiaomi 15 memang satu ciri yang sangat berguna.


Suntingan Gambar Semudah ‘ABC’
Fungsi AI Photo Edit dalam Xiaomi 15 menjadikan penyuntingan gambar lebih mudah dan berkualiti dengan bantuan model AI canggih. Kini, saya boleh meningkatkan kualiti gambar, mengubah komposisi, dan membuang elemen yang tidak diingini hanya dalam beberapa langkah.
Ciri AI Image Enhancement membantu mengurangkan noise, menambah perincian, dan meningkatkan kejelasan foto, sangat berguna untuk memulihkan gambar lama atau yang dimuat turun. AI Image Expansion pula membolehkan saya memperluaskan latar belakang gambar secara pintar, sesuai untuk mendapatkan komposisi yang lebih seimbang atau sudut pandang lebih luas.

Selain itu, AI Erase Pro memudahkan saya membuang objek atau individu yang mengganggu dalam gambar tanpa merosakkan latar belakang, manakala AI Remove Reflection menghapuskan pantulan yang tidak diingini, sangat praktikal untuk gambar yang diambil melalui cermin atau kaca. Dengan alat penyuntingan ini, Xiaomi 15 menjadikan setiap foto kelihatan lebih profesional dengan hanya beberapa sentuhan.


AI Canggih yang Memudahkan Penggunaan
Selain kehebatan kamera, satu lagi faktor yang membuatkan saya lebih menyukai Xiaomi 15 adalah keupayaan AI yang terdapat dalam sistemnya. Xiaomi AISP 2.0 membantu memproses gambar dengan lebih cepat dan tepat. Saya boleh mengedit gambar terus di telefon tanpa perlu menggunakan aplikasi tambahan.
Contohnya, jika saya ingin menghilangkan bayang-bayang yang tidak diingini dalam gambar, AI pada Xiaomi 15 boleh mengenal pasti elemen tersebut dan membuangnya dengan mudah. Ia sangat membantu apabila saya ingin memuat naik gambar ke media sosial dengan cepat tanpa perlu banyak penyuntingan.

Bukan itu sahaja, sebagai seorang wanita, saya juga gemar menggunakan gambar sendiri sebagai hiasan skrin. Dengan AI Cinematic Lock Screen yang hadir untuk peranti yang menggunakan sistem Xiaomi HyperOS 2, gambar yang sebelum ini statik kini kelihatan lebih mendalam dengan efek kabur pada latar belakang, seolah-olah diambil menggunakan lensa profesional.


Dengan hanya beberapa tetapan, saya boleh mengubah foto biasa menjadi sesuatu yang lebih sinematik, menjadikan skrin kunci terasa lebih eksklusif dan menarik. Sama ada gambar pemandangan, potret, atau detik istimewa, setiap imej kelihatan lebih hidup dan memberi pengalaman visual yang berbeza setiap kali saya membuka telefon.
Tidak berhenti di situ, fungsi AI Film pada Xiaomi 15 membolehkan saya mencipta klip video pendek yang diedit secara automatik hanya dengan memasukkan deskripsi teks. AI akan mengenal pasti subjek, menambah pergerakan kamera khas, dan menyelaraskan suntingan dengan irama muzik untuk hasil yang lebih dinamik.


Penggunaannya sangat mudah – hanya pilih foto dan video dalam galeri, tekan butang Creativity, pilih mod Auto, masukkan deskripsi tema, dan biarkan AI menghasilkan vlog secara automatik. Selepas video siap, saya juga boleh memilih muzik latar dan AI akan menyunting semula klip agar sepadan dengan rentak lagu.

Selain itu, ciri AI Writing dan AI Recorder sangat berguna untuk saya yang sering membuat nota dan merakam perbualan penting. Kadangkala, saya menggunakan AI ini untuk transkripsi audio ke teks apabila saya ingin mencatat idea secara spontan.
Teknologi Ultrasonik untuk Pengalaman Lebih Lancar
Buat pertama kalinya, siri Xiaomi 15 menaik taraf kepada teknologi pengimbas cap jari ultrasonik, menggantikan penyelesaian optik yang digunakan dalam generasi sebelumnya.
Berbanding teknologi optik, sistem ultrasonik ini menawarkan peningkatan ketara dalam kelajuan buka kunci – dan berfungsi tanpa masalah walaupun jari basah atau berminyak.

Dari segi keselamatan, pemetaan 3D menjadikannya lebih sukar digodam, dengan tambahan enkripsi untuk perlindungan lebih baik. Menariknya, ia juga berfungsi lancar dalam gelap tanpa bergantung pada cahaya skrin, memberikan pengalaman penggunaan yang lebih selesa.
Kenapa Saya Suka Xiaomi 15?
Selepas beberapa minggu menggunakan Xiaomi 15, saya boleh katakan ini adalah telefon pintar yang paling sesuai untuk saya. Ia bukan sekadar telefon biasa, tetapi alat fotografi yang hebat dalam saiz yang kompak. Kamera Leica 50MP menghasilkan gambar berkualiti tinggi dalam pelbagai keadaan, memastikan setiap butiran dirakam dengan jelas.
Selain itu, teknologi Xiaomi HyperAI pada peranti ini sangat mengagumkan, membolehkan saya melakukan suntingan gambar, ataupun video dengan lebih mudah tanpa perlu muat-turun pelbagai aplikasi luar seperti CapCut, Adobe Lightroom dan banyak lagi.

Selain itu, sepanjang menggunakan Xiaomi 15, ketahanan baterinya benar-benar mengagumkan. Dengan kapasiti 5240mAh, saya dapat menggunakannya sepanjang hari tanpa perlu risau mencari pengecas. Sama ada untuk mengambil gambar, menonton video, atau menggunakan media sosial secara aktif, baterinya mampu bertahan lebih lama berbanding telefon lain dalam kategori yang sama.


Salah satu ciri yang paling saya hargai ialah 90W wired HyperCharge. Dalam masa kurang dari 30 minit, bateri sudah hampir penuh, menjadikannya sangat praktikal terutama ketika saya perlu keluar rumah dalam keadaan tergesa-gesa. Selain itu, 50W wireless HyperCharge turut memberi kemudahan tambahan, membolehkan saya mengecas tanpa perlu bergantung pada kabel.

Dari segi penggunaan harian, saya perasan bahawa sistem Snapdragon 8 Elite dan panel paparan M9 khas Xiaomi benar-benar membantu dalam menjimatkan tenaga. Walaupun saya menggunakan telefon untuk kerja seharian dan hiburan, bateri Xiaomi 15 masih bertahan lebih lama berbanding generasi sebelumnya.
Secara keseluruhan, Xiaomi 15 bukan sekadar sebuah telefon pintar, tetapi sebuah peranti serba boleh yang memenuhi keperluan fotografi harian dengan prestasi yang mengagumkan.
Bagi yang berminat, anda boleh mendapatkan telefon pintar Xiaomi 15 ini di rangkaian fizikal Xiaomi Malaysia di seluruh negara atau dapatkannya melalui kedai rasmi Xiaomi secara atas-talian di Shopee dan Lazada pada harga:
- 12GB+256GB: RM3499
- 12GB+512GB: RM3699
Penafian: Ini adalah artikel advertorial dari Xiaomi Malaysia