Pengalaman Pemanduan Elektrik Yang Elegan Bersama Leapmotor C10 – Sempena Hari Wanita 2025
Lina Rosli
Dalam meraikan Hari Wanita Antarabangsa 2025, Stellantis Malaysia membawa pengalaman istimewa kepada barisan editor dan wartawan wanita dengan sesi pemanduan eksklusif model elektrik baharu, Leapmotor C10.
Acara ini bukan sahaja menampilkan inovasi teknologi kenderaan tenaga baharu (NEV) tetapi juga mengangkat peranan wanita dalam dunia automotif yang semakin berkembang.


Untuk acara ini, ia dimulakan dengan sesi pengenalan berkenaan dengan jenama Leapmotor – yang dikongsikan oleh Delinda Ye. Beliau menerangkan serba sedikit di sebalik jenama Leapmotor di China dan bagaimana ia mula berkembang ke beberapa lagi negara di Asia.
Bagi yang tidak mengetahui, Leapmotor merupakan sebuah syarikat automotif dari China yang ditubuhkan pada 2015, terkenal dengan kenderaan elektrik (EV) pintar. Pada 2023, Leapmotor bekerjasama dengan Stellantis, yang kini memegang 51% kepentingan dalam Leapmotor International dan bertanggungjawab memasang, mengeksport, serta menjual produknya di luar China.

Dengan lebih 400,000 unit terjual sehingga Julai 2024, Leapmotor menjadi salah satu jenama EV baharu paling berjaya di China.
Pada Oktober 2024, Stellantis membawa masuk Leapmotor ke Malaysia dengan pelancaran SUV elektrik segmen D, Leapmotor C10, dan model lain iaitu Leapmotor T03. Dan yang paling menarik adalah, Malaysia merupakan negara pertama di Asia Tenggara yang menerima Leapmotor, dengan pasaran lain seperti Thailand dan Australia dijangka menyusul.

Konvoi Leapmotor C10 Dari Kuala Lumpur Ke Putrajaya
Perjalanan konvoi ini bermula dari M Resort & Hotel, iaitu titik mula sebelum meneruskan perjalanan ke kafe Glass Hopper yang terletak di Putrajaya.
Secara jumlahnya, konvoi yang terdiri daripada beberapa unit Leapmotor C10 ini melalui laluan yang dipilih khas – dirancang untuk menyerlahkan rekaan aerodinamik, prestasi unggul serta keselesaan pemanduan kenderaan elektrik ini dalam pelbagai keadaan jalan.
Waktu pertama kali saya buka pintu pemandu Leapmotor C10, perkara yang tertangkap di mata saya adalah keunikan warna dalaman kereta ini. Bahagian kabin juga kelihatan cukup terang – direka menggunakan warna jingga untuk tempat duduk dan juga kokpit.


Berdasarkan perkongsian Delinda Ye juga, Leapmotor C10 menampilkan tempat duduk berbalut kulit buatan yang diperakui OEKO-TEX STANDARD 100. Dalam pengalaman ujian saya, permukaannya terasa lembut dengan kemasan premium, memberikan keselesaan yang setanding dengan material kulit asli.
Selain itu, sifatnya yang kalis cecair dan mudah dibersihkan menjadikannya pilihan praktikal untuk pengguna yang mengutamakan kemudahan penyelenggaraan. Bukan itu sahaja, kulit OEKO-TEX ini juga mesra bayi, menjadikannya pilihan yang sesuai untuk keluarga moden yang mahukan gabungan gaya, keselesaan dan kelestarian dalam kenderaan mereka.

Perjalanan bermula tepat pada jam 11.30 pagi, konvoi kami memulakan perjalanan menggunakan Lebuhraya SUKE untuk menguji prestasi Leapmotor C10 dalam pelbagai keadaan pemanduan. Sewaktu memandu di jalan yang berselekoh, SUV elektrik ini menunjukkan kestabilan yang mengagumkan, dibantu oleh sistem suspensi yang menyerap hentakan dengan baik.
Pecutan juga terasa responsif, dengan motor elektriknya memberikan sokongan yang baik ke atas pemanduan. Ketika melalui laluan menurun, saya sempat menguji sistem brek regeneratif.

Sebaik sahaja pedal pemecut dilepaskan, kereta mula memperlahankan kelajuan dengan ketara, seolah-olah menekan brek secara automatik. Walaupun ini membantu menjana semula tenaga ke dalam bateri dan meningkatkan kecekapan, pemandu yang tidak biasa dengan sistem ini mungkin perlu sedikit masa untuk menyesuaikan diri.
Namun, selepas beberapa kilometer, gaya pemanduan boleh diubah untuk memanfaatkan sistem ini, menjadikannya lebih mesra tenaga tanpa terlalu bergantung kepada brek konvensional.

Kemudian, menuju ke Putrajaya, kami beralih ke Lebuhraya MEX untuk menguji keupayaan pecutan Leapmotor C10 di laluan yang lebih lancar dan panjang. Dengan hanya sedikit tekanan pada pedal, SUV elektrik ini meluncur dengan pantas mencerminkan kecekapan sistem motor elektriknya.
Walaupun dipandu pada kelajuan lebih tinggi, kawalan stereng kekal mantap, manakala bunyi angin dan tayar di dalam kabin dapat dikawal dengan baik. Transisi kelajuan terasa halus, membuktikan bahawa kenderaan ini bukan sahaja sesuai untuk pemanduan bandar, tetapi juga cukup bertenaga untuk perjalanan jauh di lebuh raya.

Bagi yang mungkin tertanya-tanya mengenai jarak pemanduan untuk Leapmotor C10 ini, ia hadir dengan keupayaan perjalanan sejauh 424 kilometer dengan satu cas penuh – yang mana ia sesuai untuk anda yang mungkin kerap melakukan perjalanan yang panjang.
Dari segi pengecasan pula, ia hadir dengan fungsi pengecasan pantas yang membolehkan bateri dicas dari 30% ke 80% dalam masa hanya 30 minit. Dengan ini, sekiranya anda sedang di dalam perjalanan pulang ke kampung, anda boleh berhenti mengecas bateri seketika, di samping merehatkan badan dan mendapatkan minuman yang menyegarkan di dalam kedai serbaneka.

Sepanjang perjalanan, peserta konvoi juga menguji pelbagai ciri keselamatan canggih yang disertakan dalam Leapmotor C10, termasuk Lane Keeping Assist (LKA) yang membantu mengekalkan kedudukan kenderaan dalam lorong serta Forward Collision Warning (FCW) yang memberikan amaran awal jika terdapat risiko perlanggaran.
Mod Khas Yang Berguna Kepada Pemandu
Selain aspek prestasi, Leapmotor C10 turut memberikan pengalaman digital yang interaktif menerusi paparan skrin inforia yang bersaiz 14.6 inci.
Dan sewaktu saya menatal dan menerokai fungsi-fungsi lain yang ditawarkan pada Leapmotor C10 ini, saya sempat mencuba mod khas yang mungkin akan menjadi kegemaran ramai – Nap Mode dan Camp Mode.

Kedua-dua mod ini memberikan fleksibiliti kepada pengguna, terutama bagi mereka yang sering menghabiskan masa di dalam kenderaan. Menerusi Nap Mode, ia akan menyesuaikan tempat duduk dan sistem penghawa dingin untuk mencipta suasana selesa bagi pemandu atau penumpang berehat sebentar. Malah, ia turut akan memasang lagu-lagu yang bersesuaian – dipilih berdasarkan ciri AI yang disertakan di dalam sistem inforia Leapmotor C10.
Sementara, Camp Mode pula mengekalkan sistem elektrik berfungsi tanpa menghidupkan enjin, menjadikannya ideal untuk mereka yang ingin berehat lebih lama, mendengar muzik, atau menggunakan peranti elektronik tanpa risau kehabisan bateri. Fungsi ini benar-benar menjadikan Leapmotor C10 bukan sekadar sebuah SUV elektrik, tetapi juga ruang peribadi yang serba guna.



Kami tiba di Glass Hopper, Putrajaya sekitar jam 12.30 tengah hari. Setibanya di kafe ini, kami disambut dengan hidangan tengah hari yang enak, memberikan peluang untuk berehat seketika selepas perjalanan menguji keupayaan Leapmotor C10.
Suasana nyaman di kafe bersama pemandangan tasik yang menenangkan, menambah lagi pengalaman keseluruhan pemanduan ini. Selepas menikmati hidangan, kami bersiap sedia untuk perjalanan pulang ke Kuala Lumpur, sekali lagi menguji kestabilan dan kecekapan tenaga SUV elektrik ini di lebuh raya.


Menyelusuri Masa Depan Automotif
Sepanjang ujian pemanduan, Leapmotor C10 menunjukkan keupayaan yang mengagumkan dalam aspek keselesaan dan prestasi.
Ditawarkan pada harga RM159,000 di Malaysia, model ini hadir dengan empat pilihan warna luaran iaitu Glazed Green, Pearly White, Canopy Grey dan Tundra Grey serta dua warna dalaman Criollo Brown dan Midnight Aurora.
Dengan komitmen Stellantis Malaysia dalam memperkasakan wanita dalam dunia automotif, acara ini menjadi satu langkah penting dalam membawa perubahan kepada landskap mobiliti moden di negara ini.