Electrolux Memperkenalkan Mesin Basuh Dan Pengering Yang Menawarkan Program Cucian Khas Hijab & Batik – Siri UltimateCare
Lina Rosli
Electrolux memperkenalkan rangkaian mesin basuh dan pengering UltimateCare baharu yang direka khas untuk menjaga fabrik lembut seperti hijab dan batik. Bagi anda yang sering mengalami kesukaran untuk melakukan cucian bagi fabrik lembut, mungkin anda boleh menambah produk ini ke dalam senarai pembelian.
Hijab dan batik sering kali diperbuat daripada fabrik yang halus dan mudah rosak jika tidak dibasuh dengan betul. Menyedari keperluan ini, Electrolux melancarkan siri UltimateCare yang hadir dengan program cucian khas untuk fabrik-fabrik ini.

Dengan kitaran cucian lembut, ia bukan sahaja menghilangkan kotoran dengan berkesan tetapi juga mengekalkan kelembutan dan warna asal kain untuk tempoh yang lebih lama.
Tambahan pula, teknologi dalam siri ini direka untuk mengurangkan kesan haus pada fabrik, menjadikannya pilihan terbaik bagi mereka yang ingin mengekalkan keanggunan hijab dan keunikan batik mereka tanpa risau akan kerosakan.

Siri UltimateCare menawarkan program cucian penuh dalam hanya 45 minit pada suhu 30°C, menjadikannya pilihan praktikal untuk gaya hidup moden yang serba pantas. Selain itu, ia dilengkapi dengan fungsi Hygienic Care yang menggunakan wap lembut pada suhu 40°C bagi memastikan pakaian lebih bersih dan selamat, sesuai untuk pemakaian harian dan pakaian bayi.
Bagi mereka yang mengutamakan kebersihan maksimum, program Sanitize membolehkan cucian dan wap panas pada suhu lebih 60°C untuk menghapuskan lebih 99.99% bakteria dan virus, seperti yang disahkan oleh Swissatest.
Tawaran Istimewa Raya Bersama Tudungruffle
Sempena ketibaan Hari Raya, Electrolux turut berkolaborasi dengan jenama hijab terkenal, Tudungruffle, untuk menawarkan set hadiah eksklusif berupa hijab dan aksesori asli bernilai sehingga RM199 kepada pelanggan yang membeli model Electrolux UltimateCare S300 8-9kg, sementara stok masih ada.

Bagi yang berminat, rangkaian Electrolux UltimateCare kini boleh didapati di peruncit terkemuka dengan harga bermula dari RM2,059. Untuk maklumat lanjut, layari laman web Electrolux di https://www.electrolux.com.my/ atau ikuti media sosial rasmi mereka.