Tinjauan Agoda Menunjukkan Pelancong Malaysia Lebih Mengutamakan Kelestarian Di Tahun 2025
Lina Rosli
Dalam era di mana kesedaran terhadap kelestarian semakin meningkat, Malaysia muncul sebagai salah satu negara yang paling prihatin terhadap pelancongan lestari di Asia.
Menurut Tinjauan Pelancongan Lestari 2025 oleh platform pelancongan digital Agoda, hampir 80% pelancong Malaysia mengambil kira faktor kelestarian dalam rancangan perjalanan mereka. Angka ini jauh lebih tinggi daripada purata keseluruhan pelancong Asia yang hanya berada pada 68%.
Tinjauan yang melibatkan lebih daripada 6,000 responden di 11 pasaran Asia ini menampilkan trend pelancongan yang semakin berkembang, di mana pengalaman autentik, perjalanan bermatlamat dan pelancongan luar musim menjadi keutamaan.

Impak Terhadap Komuniti Mendorong Pilihan yang Lebih Lestari
Kajian menunjukkan bahawa 28% daripada rakyat Malaysia memilih pelancongan lestari adalah disebabkan faktor ingin menyokong ekonomi dan komuniti setempat. Selain itu, 24% menyatakan bahawa keputusan mereka juga dipacu oleh nilai dan kepercayaan peribadi, sementara 24% lagi mengutamakan pengalaman perjalanan yang lebih bermakna.

Dengan peningkatan kesedaran ini, semakin ramai pelancong memilih untuk mengurangkan jejak karbon mereka. Misalnya, 24% pelancong Malaysia memilih untuk melancong di luar musim puncak bagi mengurangkan kesesakan di destinasi popular. Selain itu, 19% memilih penginapan dengan pensijilan kelestarian, sementara 18% menyokong perniagaan kecil dan sederhana serta usaha pemeliharaan budaya tempatan.
Agoda Dan Inisiatif Eco Deals
Melihat perubahan dalam trend pelancongan ini, Agoda turut memperkenalkan program Eco Deals yang menawarkan diskaun sehingga 15% bagi penginapan yang menyertai inisiatif ini. Melalui program ini, Agoda akan menyumbangkan US$1 kepada usaha pemuliharaan alam sekitar untuk setiap tempahan yang dibuat.
Menurut Fabian Teja, Pengarah Negara bagi Malaysia dan Brunei di Agoda, kempen ini bukan sahaja membantu pelancong mendapatkan tawaran terbaik, tetapi juga memberi peluang untuk mereka memainkan peranan dalam melindungi destinasi yang mereka lawati. Tahun 2025 juga menyaksikan penyertaan pertama Jepun dan Korea Selatan dalam program ini, menjadikannya lebih meluas di rantau Asia.

Seiring dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026, trend pelancongan lestari ini dijangka terus berkembang. Dengan lebih banyak inisiatif yang menggalakkan tanggungjawab terhadap alam sekitar dan komuniti setempat, masa depan pelancongan di Malaysia kelihatan lebih lestari dan bermakna.
Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai program ini, boleh layari www.agoda.com/ecodeals atau muat turun aplikasi Agoda untuk merancang perjalanan yang lebih bertanggungjawab dan berimpak positif.