Ini Sebab Mengapa Anda Tidak Digalakkan Minum Kopi Pada Waktu Sahur
Lina Rosli
Jika anda merupakan penggemar kopi tegar, pasti anda mempunyai keadaan di mana tubuh badan anda mengalami masalah cafein withdrawal atau turut dikenali sebagai nyahkafeina disebabkan oleh tempoh berpuasa.
Secara umumnya, kebanyakan penggemar kopi biasanya cenderung mendapatkan segelas kopi sewaktu memulakan hari. Dan seterusnya mungkin secawan lagi di sebelah petang sebelum mendapatkan hidangan makan malam.
Dan apabila berpuasa, rutin harian ini sedikit sebanyak terganggu dan terpaksa dibawa ke sama ada sewaktu sahur ataupun iftar. Namun, adakah ini solusi yang baik untuk kesihatan – atau sebaliknya?

Bolehkah Minum Kopi Masa Sahur?
Untuk pengetahuan anda, mendapatkan kopi pada waktu sahur sebenarnya adalah tidak digalakkan. Hal ini keran kafein bersifat diuretik – yang mana ia akan menyebabkan badan lebih cepat kehilangan air. Dan ini sekaligus membuatkan anda lebih cepat berasa dahaga serta dehidrasi.
Oleh yang demikian, untuk memastikan badan kekal segar dan bertenaga sepanjang hari, pakar mencadangkan beberapa alternatif yang boleh anda amalkan. Ini termasuk:
- Memilih jenis kopi rendah kafein atau decaf.
- Bertukar kopi kepada minuman lain seperti teh hijau yang lebih baik kesannya ke atas badan.
- Susu atau minuman berasaskan kurma boleh jadi pengganti tenaga semula jadi tanpa kesan diuretik.

Minum Kopi Selepas Berbuka
Jika anda masih memerlukan kopi untuk menjalani hari anda, adalah disarankan untuk anda mendapatkan minuman ini pada waktu:
- Selepas berbuka – Namun, harus diingatkan bahawa elakkan daripada terus minum kopi sewaktu perut kosong. Apa yang perlu andal lakukan adalah memulakan sesi berbuka puasa dengan air kosong dan makanan ringan dulu.
- Selepas tarawih – Ini merupakan masa paling sesuai untuk anda menikmati kopi tanpa mengganggu tidur atau menyebabkan dehidrasi keesokan harinya.
Kesimpulannya, sewaktu bulan puasa ini, adalah lebih baik jika anda mengurangkan pengambilan kafein pada waktu siang. Namun, jika anda tetap ingin minum, pilih waktu yang sesuai dan pastikan minum cukup air supaya badan kekal bertenaga sepanjang hari.