Google Raikan Hari Wanita Sedunia 2025 Dengan Doodle Istimewa
Maizuraa
Google meraikan Hari Wanita Sedunia 2025 dengan memaparkan Doodle khas di halaman utama enjin carian mereka. Doodle ini menunjukkan kepentingan wanita dalam bidang STEM, yang merangkumi sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik. Menurut Google, ilustrasi tersebut memaparkan kejayaan wanita dalam menerokai angkasa lepas, menemui artifak sejarah, serta menjalankan penyelidikan penting dalam bidang fizik, kimia, dan biologi.

Doodle ini juga meraikan sumbangan luar biasa wanita dalam pelbagai bidang tersebut, sekali gus menjadi simbol kemajuan berterusan ke arah kesaksamaan jantina. Google turut menjelaskan bahawa meskipun jumlah wanita kini hanya merangkumi 29% daripada tenaga kerja STEM global, tetapi angka ini terus meningkat setiap tahun yang memberikan harapan kepada masa depan yang lebih seimbang .
Dalam pada itu, Google turut menampilkan kisah inspirasi beberapa tokoh wanita hebat, termasuk:
- Marie Curie, wanita pertama yang memenangi Hadiah Nobel dalam dua bidang berbeza, Fizik dan Kimia, atas sumbangan besar beliau dalam kajian radioaktiviti.
- Katherine Johnson, pakar matematik NASA yang memastikan kejayaan misi angkasa, termasuk pendaratan Apollo 11 di bulan.
- Rosalind Franklin, saintis yang menyumbang kepada penemuan struktur heliks berganda DNA, asas kepada sains kehidupan moden.
- Ada Lovelace, orang pertama yang fikir bagaimana komputer boleh digunakan untuk pelbagai tugas. Idea dan kejayaannya menjadi asas kepada cara komputer berfungsi pada hari ini.
- Carol Shaw, perintis dalam dunia permainan video dan wanita pertama yang diiktiraf sebagai pereka permainan video yang berpengaruh.
Selamat Hari Wanita kepada semua! Setiap wanita adalah permata berharga yang mampu memancarkan keunikan, kekuatan dan inspirasi dalam setiap langkah kehidupan. Anda wanita luar biasa!