Obesiti Dan Kesihatan Buah Pinggang – Ancaman Senyap Kepada Kesihatan Rakyat Malaysia

March 12, 2025
Kesihatan

Lina Rosli

Makanan dan budaya makan di Malaysia tidak dapat dipisahkan. Dari nasi lemak pada waktu pagi hingga teh tarik pada waktu malam, hidangan ini telah menjadi sebahagian daripada rutin harian masyarakat. Namun, di sebalik keenakan makanan dan minuman tersebut, terdapat satu realiti yang membimbangkan, iaitu peningkatan kes kesihatan berkaitan obesiti.

Menurut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023, sebanyak 54.4% rakyat Malaysia mengalami berat badan berlebihan atau obes. Lebih membimbangkan, lebih 2 juta individu kini berdepan dengan penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes dan hipertensi. Namun, yang kurang disedari ialah kesan obesiti terhadap kesihatan buah pinggang.

Kajian juga menunjukkan bahawa obesiti meningkatkan risiko mendapat eGFR rendah dan albuminuria, yang merupakan ciri penyakit buah pinggang kronik.

Menurut Pendaftaran Dialisis dan Transplan Malaysia 2023, 56% daripada kes dialisis baharu di Malaysia berpunca daripada diabetes, diikuti oleh hipertensi sebanyak 30% – sekali gus membangkitkan kebimbangan kesihatan mengenai penyakit buah pinggang.

Risiko Obesiti Dan Kesannya Ke Atas Buah Pinggang

Secara umumnya, obesiti bukan sekadar berkaitan dengan berat badan berlebihan, tetapi juga merupakan faktor utama kepada pelbagai masalah kesihatan.

Menurut pakar perubatan, obesiti boleh mencetuskan keradangan kronik, tekanan oksidatif serta peningkatan tekanan darah dan kadar insulin. Kesemua faktor ini memberi tekanan kepada buah pinggang, organ utama yang berfungsi sebagai penapis dalam tubuh manusia.

Menurut Prof. Dr. Wong Hin Seng, Pakar Perunding Nefrologi dan Pakar Perubatan Pemindahan Buah Pinggang di Pusat Perubatan Sunway, obesiti boleh merosakkan buah pinggang secara perlahan-lahan tanpa disedari. Ini kerana buah pinggang beroperasi secara berterusan untuk menyingkirkan sisa toksik dan mengekalkan keseimbangan tubuh.

Tekanan berlebihan yang berpunca daripada berat badan berlebihan boleh menyebabkan penurunan fungsi buah pinggang secara progresif.

Golongan Muda Dan Risiko Awal Penyakit Buah Pinggang

Kebimbangan semakin meningkat apabila penyakit buah pinggang kini semakin banyak dikesan dalam kalangan golongan muda.

Kajian NHMS 2023 menunjukkan bahawa 84% individu dewasa berumur antara 18 hingga 24 tahun tidak menyedari bahawa mereka menghidap diabetes. Lebih membimbangkan, ramai dalam kalangan generasi muda tidak menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala. Tanpa pemantauan awal, penyakit ini boleh berkembang tanpa sebarang gejala sehingga ia mencapai tahap kritikal.

Peningkatan kadar obesiti di Malaysia berpunca daripada perubahan gaya hidup. Jika dahulu, makanan tradisional yang kaya dengan serat dan nutrien lebih menjadi pilihan, kini makanan segera dan minuman bergula semakin mendominasi diet harian rakyat Malaysia.

Selain itu, gaya hidup tidak aktif juga menyumbang kepada peningkatan kadar obesiti. Kanak-kanak lebih banyak menghabiskan masa dengan permainan video berbanding aktiviti fizikal di luar rumah, manakala golongan dewasa sering menghabiskan waktu berjam-jam di hadapan skrin komputer atau televisyen.

Satu lagi faktor yang menyumbang kepada masalah obesiti ialah budaya pemakanan tanpa mengira waktu. Di Malaysia, makanan boleh didapati 24 jam sehari, yang secara tidak langsung mendorong individu untuk mengambil makanan pada waktu yang tidak sesuai, termasuk sebelum tidur. Amalan ini boleh menyebabkan pengumpulan lemak berlebihan dalam badan, sekali gus meningkatkan risiko penyakit buah pinggang.

Langkah Pencegahan – Menjaga Kesihatan Buah Pinggang

Walaupun obesiti merupakan ancaman kesihatan yang serius, langkah-langkah pencegahan boleh diambil bagi mengurangkan risikonya. Antara langkah yang boleh diambil adalah:

  1. Mengamalkan pemakanan sihat – Mengurangkan pengambilan makanan diproses dan minuman bergula serta meningkatkan pengambilan makanan segar yang kaya dengan serat dan nutrien.
  2. Menjalani gaya hidup aktif – Meluangkan sekurang-kurangnya 30 minit sehari untuk melakukan aktiviti fizikal bagi mengekalkan berat badan yang sihat.
  3. Menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala – Pemeriksaan berkala dapat membantu mengesan masalah kesihatan pada peringkat awal sebelum ia menjadi lebih serius.
  4. Mengawal berat badan – Perubahan kecil tetapi konsisten dalam diet dan gaya hidup boleh membantu menurunkan berat badan dan mengurangkan risiko penyakit buah pinggang.

Obesiti bukan sekadar isu penampilan, tetapi lebih kepada kesihatan organ dalaman yang perlu diberi perhatian. Oleh itu, adalah penting untuk setiap individu mengambil langkah proaktif dalam menjaga kesihatan buah pinggang.

Dengan kesedaran dan tindakan yang tepat, rakyat Malaysia dapat mengurangkan risiko penyakit buah pinggang dan membina gaya hidup yang lebih sihat. Sebelum menikmati hidangan seterusnya, pertimbangkan juga kesan jangka panjang terhadap kesihatan buah pinggang anda.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd